NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Lim, mari berhujah dengan Zakir Naik'




Kerajaan PAS Kelantan sedia menampung segala perbelanjaan pemimpin DAP, Lim Kit Siang untuk ke negeri itu bagi bertemu dan berbahas dengan pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Che Abdullah Mat Nawi mempelawa penasihat DAP itu berhujah dengan Zakir sekiranya yakin pendakwah itu "seorang penjahat".

"Kalau rasa Zakir ini jahat sangat, dia (Lim) mari berhujah biar semua tahu siapa yang benar," katanya seperti dilaporkan Utusan Online.


Che Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Pasca Sidang Dun & Parlimen dan Jerayawara Dr Zakir Naik peringkat Tumpat di tapak pasar malam Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat malam tadi.

Pada 1 Ogos lalu, Lim mengeluarkan kenyataan yang menyokong saranan penulis Anas Zubedy supaya pendakwah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Dengan memetik alasan Anas, Lim berkata Zakir perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara.

Alasan itu adalah kehadiran Zakir boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga, persepsi bukan Islam terhadap Islam, perbandingan agama tidak sesuai serta melambatkan pemulihan politik di negara ini.

Bagaimanapun, saranan Lim itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang meyifatkan Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu yang sepatutnya keluar dari negara ini.



Dalam pada itu Che Abdullah menjelaskan program siri jelajah Zakir di Kelantan akan bermula 7 hingga 10 Ogos dan Lim dijemput untuk menyampaikan pidatonya di pentas sama pada 9 Ogos.

Lim juga kata Che Abdullah boleh membawa seberapa ramai pembantu yang beliau inginkan.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Pengarah Program Jelajah Zakir Naik 2019 berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Kelantan supaya hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Katanya perdana menteri menghadapi tekanan daripada sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) supaya menghantar pendakwah tersebut pulang ke negara asalnya.

"Alhamdulillah Mahathir tidak menghantar balik Zakir walaupun dia kata dia serba salah tetapi dia tidak hantar balik.

"Keputusan Mahatir membenarkan Zakir untuk terus berada di Malaysia ini mendapat tekanan daripada rakan-rakan dalam kerajaan beliau sendiri, PH.

"Kalau kita lihat ini masalah apa, Zakir buat apa kesalahan, beliau hanya berhujah tetapi ini adalah satu kebencian agama yang ditunjukkan oleh pemimpin DAP terhadap pendakwah Islam ini," katanya lagi.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/486496

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo