NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulasan Buku | Kursus Perjuangan Kita: Mengenal Perjuangan (Amaluddin Darus, 1969)


šŸ“š ULASAN BUKU šŸ“š
Siri 4⃣
šŸ–±Facebook: https://www.facebook.com/mohdfadlighani
šŸ“±Telegram: https://t.me/drmohdfadlighani

KURSUS PERJUANGAN KITA: MENGENAL PERJUANGAN (AMALUDDIN DARUS, 1969)

PERJUANGAN menegakkan Islam merupakan kewajipan bagi umat Islam sebagai khalifah di atas muka bumi. Islam adalah agama yang harus ditegakkan hukum syariatnya, sehingga ia menjadi tujuan penciptaan manusia. Semenjak Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah pada 622M, telah berdirinya kerajaan Islam yang pertama, sebelum ia digantikan oleh Khulafa ar-Rasyidin (632-661), Daulah Umayyah (661-750), Daulah Abbasiyah (750-1517) dan Daulah Othmaniyah (1517-1924). Selepas kejatuhan sistem khalifah Islam pada 1342H (1924M), umat Islam menjadi seperti "anak ayam yang kehilangan ibu." Lalu para ulamak menubuhkan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia untuk memperjuangkan penegakkan semula khilafah. Dari situlah berbangkitnya soal perjuangan umat Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan umat melalui pergerakan Islam, sehingga munculnya gerakan seperti Sarekat Islam (1905) di Indonesia, Ikhwanul Muslimin (1928) di Mesir, Jamaat Islami (1941) di India, Masyumi (1943) di Indonesia, Hizbul Muslimin (1948) di Tanah Melayu dan sebagainya.

Dalam mengungkapkan hal ini, Ustaz Amaluddin Darus telah menggariskan persoalan tentang kewajipan perjuangan umat Islam dalam sebuah buku yang berjudul "Kursus Perjuangan Kita: Mengenal Perjuangan," yang pada asalnya sebagai bahan kursus pembinaan dan tarbiyah para Pemuda PAS di seluruh negara. Tajuk asal kertas ini ialah "Perjuangan Kita Menuju ke Negara Islam di Malaysia," tetapi ia diterbitkan secara bersiri, dengan Siri 1 bertajuk "Mengenal Perjuangan." Ia pada asalnya adalah bahan-bahan kursus dan kertas kerja dalam kursus-kursus perkaderan berkala Pemuda PAS pada dekad 1960-an. Kursus-kursus ini disediakan untuk Pemuda PAS seluruh Malaysia bagi membentuk kefahaman mereka terhadap perjuangan menegakkan Islam di negara ini. PAS sebagai mata rantai perjuangan gerakan Islam telah menganjurkan kursus-kursus ini supaya mereka bukan sahaja memahami kandungan perjuangan PAS, tetapi mereka turut bangkit berjuang bagi menuju cita-cita tersebut.

Amaluddin Darus (m. 1988) adalah seorang putera kelahiran Kulim, Kedah pada 1927. Beliau mendapat pendidikan agama di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang di bawah bimbingan Sheikh Abdullah Maghribi, sebelum berkhidmat dengan pasukan bomba di Kelantan sejak 1951. Beliau terkenal kerana menjadi pengasas PAS di Kelantan, di samping memegang pelbagai jawatan penting dalam PAS seperti Pengarah Pilihan Raya PAS (1959), Setiausaha PAS Kelantan (1954-1959), Ahli Jawatankuasa Agung PAS (1957-1962) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1962-1964). Beliau juga berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara (1959-1974), sebelum beliau berundur dari PAS pada 1974 setelah berkrisis dengan Dato' Mohd Asri Haji Muda. Beliau pernah menjadi Penolong Pengarang Suara Islam sejak 1956, sebelum menulis buku pertamanya pada 1962. Keseluruhannya, beliau menghasilkan lebih 30 buku antara 1962 hingga 1988. Pada akhir hayatnya, beliau kembali bersama PAS menjadi kolumnis Harakah untuk kolum "Kuliah Lima Minit" sejak 1987.

Kursus Perjuangan Kita: Mengenal Perjuangan (PAS Cawangan Kota Bharu, 1969) adalah cetakan kedua buku ini, setelah ia diterbitkan kali pertama oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah. Pada mulanya, Dewan Pemuda PAS Pusat menganjurkan Kursus Perjuangan Kita sebagai kursus-kursus pembinaan fikrah Pemuda PAS antara 1964-1965, kemudian diterbitkan sebagai buku-buku bersiri. Kursus Perjuangan Kita ini setebal 38 halaman ini mengandungi huraian-huraian tentang kewajipan umat Islam terhadap perjuangan, kewajipan memimpin umat ke jalan Allah, kepemimpinan politik umat Islam dan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia. Salah satu isu penting yang diangkat oleh penulis dalam buku ini ialah PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kerana kesedaran PAS terhadap kedudukan orang Melayu Islam "boleh hancur dan berubah" jika perjuangan untuk mempertahankannya tidak dilakukan.

Mohd Fadli Ghani
Institut Al-Balaghul Mubin
06 Zulhijjah 1440H / 07 Ogos 2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo