Kerajaan Bacul Jika Tunduk Kepada Desakan Penentang Tulisan Khat


oleh: Dr Kamarul Yusof

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penolakan DAP Sarawak ke atas rancangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pada tahun hadapan.

Alasan yang Chong Chieng Jen berikan adalah kerana pelaksanaannya dilihat oleh majoriti rakyat Sarawak, terutamanya masyarakat Cina, dengan “syak wasangka, tentangan dan kebencian” (“suspicion, objection and resentment”).

Turut disebutkan oleh Chong Chieng Jen adalah bahawa DAP Sarawak akan menyampaikan penolakan DAP Sarawak ke atas rancangan ini kepada Kabinet pada minggu hadapan.

Hari ini pula, 10 pertubuhan Cina dan 2 pertubuhan Tamil telah bergabung tenaga bagi membincangkan perkara sama.

10 pertubuhan Cina terbabit adalah:
(1) Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Jiao Zong.
(2) Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong.
(3) Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia, Hua Zong.
(4) The Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM).
(5) Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia.
(6) Gabungan Persatuan Alumni Universiti Taiwan, Malaysia.
(7) Merdeka University Bhd.
(8) LLG Cultural Development Center.
(9) Majlis Bahasa Cina Malaysia.
(10) Persatuan Bekas Siswazah Universiti dan Kolej di China, Malaysia.

2 pertubuhan Tamil terbabit pula adalah:
(1) Tamil Foundation.
(2) Pertubuhan Titian Digital Malaysia.

Mesyuarat 12 pertubuhan ini memutuskan mereka tidak bersetuju dengan rancangan memperkenalkan tulisan khat ini kerana ia didakwa menimbulkan “kebimbangan dan keraguan orang ramai” dan pelaksanaannya diminta ditangguhkan untuk perbincangan semula.

12 pertubuhan ini juga akan menemui Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, esok, 6 Ogos, bagi menyampaikan pendirian dan permintaan mereka, termasuk supaya wakil-wakil pertubuhan Cina dan pertubuhan Tamil dilantik untuk menyertai semakan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan buku teks tersebut.

Hari ini juga, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau akan membincangkan balik isu tulisan khat ini sejurus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pulang dari dari lawatan kerja ke Fukuoka, Jepun, pada 8 Ogos ini kerana, kata beliau, “kita ambil maklum keresahan orang Tionghua dalam isu ini”.

Sungguh menghairankan sekali kesemua kenyataan ini kerana, mengikut laporan portal berita The Malaysian Insight semalam, tulisan khat yang diperkenalkan ini sebenarnya hanya memerlukan murid Tahun 4 tersebut belajar menulis dalam bentuk tulisan khat dan memahami contoh penggunaan lima simpulan Bahasa Melayu, iaitu “ringan tulang”, “buah tangan”, “ambil berat”, “ibu kandung” dan “baik hati”, sahaja.

Apakah yang terlalu sensitif sangat dengan lima simpulan Bahasa Melayu yang ditulis dalam bentuk tulisan khat ini sehingga ia kononnya mendatangkan “syak wasangka, tentangan dan kebencian”, menimbulkan “kebimbangan dan keraguan” atau menyebabkan “keresahan”?

Akan terjejaskah pegangan agama murid Tahun 4 tersebut semata-mata kerana mereka dikehendaki menulis dalam bentuk tulisan khat lima simpulan Bahasa Melayu ini?

Apatah lagi bila Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan, menyebut hari ini bahawa seni tulisan Cina dan Tamil telah lama dilaksanakan di sekolah, iaitu sejak tahun 2011 lagi.

Amat tidak rasional sekali ketakutan yang ditunjukkan oleh penentang tulisan khat ini.

Dan amat bacul sekali jika kerajaan tunduk kepada desakan penentang tulisan khat ini.

Sumber: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=2609817865728922&set=a.744213708956023&type=3&theater
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget