NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Zakir Naik: Ada banyak lagi kenyataan sensitif, tapi hanya sepihak dipersalah - Mufti Perlis

KUALA PERLIS: Banyak lagi kenyataan sensitif berbaur perkauman dan penghinaan, tetapi cuma sepihak sahaja yang dipersalahkan.

Itu pandangan yang dilontarkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika ditanya media berhubung status penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik yang dihalang meneruskan ceramahnya pada acara tiga hari Malaysia Revert Camp 2019 di Perlis, yang bermula hari ini.

Kata Mohd Asri, meskipun berbeza pendapat, adalah tidak adil apabila Dr Zakir dilayan sebegitu hingga dihukum keluar dari negara ini, hanya kerana ucapannya disalah guna pihak tertentu, sehingga diputarbelitkan menjadi maksud lain.

“Saya rasa untuk memberikan pandangan berbeza (dan) misalnya (mendapati) pendapat beliau kurang sesuai, itu boleh. Sebagai negara demokrasi, kita boleh beri pandangan.

"Tetapi mengapa ada layanan yang tidak adil? Maksudnya, jika Zakir Naik ucap satu ucapan yang kadang-kadang diambil di luar dari konteks.... hukumannya kena keluar.

"Sedangkan kita ada banyak lagi (individu yang mengeluarkan) kenyataan lain yang sensitif. Isu yang Dong Zong kata, isu tentang tentera, isu tentang Melayu pendatang... banyak lagi yang mereka kata (tanpa diambil tindakan) tetapi sepihak sahaja yang dilihat sebagai sensitif…” ujar beliau.

Mohd Asri bagaimanapun berharap agar kemelut yang melanda ketika ini, berlalu dengan cepat.

Katanya, keadaan jadi tidak terkawal kerana semua pihak dilihat mengeluarkan kenyataan tanpa ada satu garis panduan atau satu keputusan yang jelas berhubung status penceramah itu.

Dalam masa sama, Mohd Asri turut meminta semua pihak agar menyerahkan segala kenyataan mahupun keputusan kepada pihak yang selayaknya iaitu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Asri ditemui media, selepas solat jumaat di Masjid al-Hussein, Kuala Perlis.

Sebelum ini, dua menteri Kabinet, iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mahu Dr Zakir disekat dari aktiviti ceramahnya serta melarang beliau dari mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyentuh isu perkauman di negara ini.

Antara lain, mereka turut mendesak Tun Mahathir untuk menghantar penceramah itu pulang ke India namun Perdana Menteri tetap dengan pendiriannya untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir kerana bimbang dia akan dibunuh di negara asalnya.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-zakir-naik-ada-banyak-lagi-kenyataan-sensitif-tapi-hanya-sepihak-dipersalah-mufti-perlis-215147

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo