Isu Dr. Zakir Naik Laksana Lampu Merah


oleh: Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Bertarikh: 14 Zulhijjah 1440 / 15 Ogos 2019

Terdapat beberapa individu daripada kalangan penganut Islam memperkecilkan isu Dr. Zakir Naik tanpa pengetahuan yang sebenar dan bukan ahli dalam ilmu perbandingan agama.

Kalau mahu pengetahuan berkenaan perbandingan agama, biarlah orang yang mendalami dan mengalaminya. Kalau tidak laksana orang yang tinggal di hutan yang tidak bersekolah bercakap tentang ilmu angkasa lepas, kata orang tua, kalau kail panjang sejengkal, jangan mengail di lautan dalam.

Dr. Zakir Naik adalah seorang pengkaji perbandingan agama dan berhujah dengan ilmu perbandingan dengan hafazan kitab-kitab suci pelbagai agama dengan bahasa asalnya. Hujah untuk bertindak ke atasnya wajib ditolak, kerana semata-mata tidak mampu mematahkan hujahnya, bukan kerana dia membawa senjata untuk mengganas. Hentikanlah mencipta hujah yang tiada kaitan.

Sepatutnya hujah dilawan dengan hujah, inilah amalan dalam negara demokrasi, bukan dengan tindakan laksana Raja Namrud yang kalah berhujah menghadapi Nabi Ibrahim A.S.

Apabila mati hujahnya, maka Nabi Ibrahim A.S. dihukum bakar dalam api besar sebesar-besarnya yang dinyalakan untuk melepaskan geram dan marah kerana tidak mampu berhujah. Inilah sifat diktator pada zaman dahulu yang tidak sesuai lagi pada zaman sekarang yang menjunjung ilmu dan hujah.

Berhujah adalah pendekatan Al-Quran yang dibawa Rasulullah S.A.W. yang dihidupkan oleh Dr. Zakir Naik, kerana Al-Quran mengutamakan hujah dengan akal yang sihat dan mampu menahan nafsu kemarahan di atas dasar kebatilan. Kalau tidak mampu berhujah pulang ke rumah dan berfikir lagi mengikut firman Allah:

قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَادَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ (46)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)”. Sebenarnya tiada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di Akhirat)”. (Surah Saba’: 46)

Begitulah kalau Dr. Zakir Naik itu gila sekalipun, bawa sahaja dia ke hospital. Tetapi kalau dia tidak gila, maka yang bersuara lantang itu perlu diberi perhatian kerana ada kesilapannya yang tidak harus dibiarkan.

Janganlah pula orang Islam yang tidak mendalami agamanya sendiri, bercakap laksana botol yang sedikit air di dalamnya, maka kuat bunyi yang berdengung sahaja, kalau isinya banyak maka dengungannya tidaklah bising.

Sepatutnya mereka tahu dan sedar betapa kewajipan kepada penganut Islam mempertahankan agamanya dan melindungi pendakwahnya apabila diancam.

Saya tegaskan bahawa isu Dr. Zakir Naik jangan sampai melanggar lampu isyarat berwarna merah. Hanya orang Islam yang munafik sahaja atau imannya berpenyakit atau hilangnya kemanisan iman di dalam diri, sehingga menjadi laksana orang yang tidak kenal lampu isyarat merah dan hijau. Allah menegaskan di dalam Al-Quran terhadap golongan ini:

وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا (141)

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman”. (Surah An-Nisa’: 141)

Allah tidak mengizinkan sekali-kali Islam itu di atasi oleh pihak lain dan Rasulullah S.A.W. mewajibkan setiap penganut Islam mempertahankan saudaranya yang dizalimi atau hendak dizalimi dengan sabdanya:

“المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلِمُه، ومن كان في حاجة أخيه كان الله في حاجته، ومن فرج عن مسلم كربة من كرب الدنيا فرج الله عنه كربة من كرب يوم القيامة، ومن ستر على مسلم ستره الله في الدنيا والآخرة”. (هذا الحديث رواه البخاري ومسلم)

“Seseorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada si zalim) dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah menunaikan hajatnya, sesiapa yang melepaskan seseorang Muslim daripada satu kesusahannya, nescaya Allah melepaskannya daripada satu kesusahan daripada banyak kesusahan pada hari Akhirat, dan barang siapa yang menutup keaiban seseorang Muslim nescaya Allah menutup keaibannya di dunia dan Akhirat”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hanya sedikit daripada kalangan penganut bukan Islam itu yang melampau, dan masih ramai lagi yang berfikiran matang dan sejahtera yang boleh berbincang dengan kepala dingin.

Kepada yang melampau dibacakan firman Allah:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَىٰ عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ (23)

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimaterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”. (Surah Al-Jathiyah: 23)

Islam mewajibkan ditegakkan negara di atas sifat kemanusiaan dengan melindungi seorang bukan Islam yang dizalimi di negaranya, sehingga wajib diletakkan di tempat yang aman kalau kita tidak mahu mengizinkannya di negara kita, kerana firman Allah juga:

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْلَمُونَ (6)

“Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah Dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam)”. (Surah At-Taubah: 6)

PAS sangat menghargai ketegasan YAB Perdana Menteri dalam isu ini, walaupun dikelilingi oleh suara yang tidak matang dan sejahtera dengan hujah politik dan perundangan yang tidak berpijak dengan realiti negara Malaysia yang menegaskan Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi malangnya terdapat daripada kalangan penganut Islam sendiri yang buta Al-Quran yang lebih tidak matang daripada buta huruf.

Sebaliknya masih ramai daripada kalangan bukan Islam yang berfikiran matang dan berpendapat tidak perlu campur tangan dalam urusan Islam kerana mengundang ketegangan dalam masyarakat majmuk yang tetap dipelihara oleh Islam dan penganutnya.

Al-Quran menegaskan terhadap mereka yang mengambil pendekatan zalim setelah berhujah:

وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ (46)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri”. (Surah Al-‘Ankabuut: 46)

Percayalah bahawa ini bukan keputusan peripadi seorang Perdana Menteri, kerana lebih sejuta ahli PAS tidak mengizinkan Dr. Zakir Naik dibiarkan sahaja dan percayalah bahawa bersama kami juga umat Islam daripada pelbagai parti dan NGO yang peka serta kalangan bukan Islam yang tetap bermasyarakat majmuk dan berperikemanusiaan mendukung konsep demokrasi dan hak kebebasan manusia yang sebenarnya.

Jangan merempuh apabila lampu merah menyala, kerana hak persaudaraan Islam itu mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa. Inilah hakikatnya, bukannya menghasut.

“Islam Memimpin Perpaduan”

*ABDUL HADI AWANG ialah Presiden PAS
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget