NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hab Petroleum Pulau Kerengga Tarik Minat Pelabur Dubai, China



KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Dua syarikat besar dari Dubai dan negara China berminat untuk melabur dalam rancangan pembangunan Pulau Kerengga sebagai hab petroleum kedua Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan, permohonan untuk membangunkan kawasan itu telah diterima dan kerajaan negeri sedang meneliti perancangan syarikat terbabit sebelum membuat keputusan lanjut.




Jelasnya, kedua-dua syarikat tersebut akan datang ke Terengganu pada 4 September ini bagi membincangkan perancangan mereka bersama kerajaan negeri dan mereka turut akan dibawa melawat ke kawasan hab petroleum kedua itu.

"Jika ada persefahaman segalanya berjalan mengikut perancangan antara syarikat Dubai atau China ini, dijangka ia akan mewujudkan 10 hingga 15 ribu peluang pekerjaan, apa pun kita akan teliti perancangan syarikat terbabit.

"Sebelum ini pembangunan hanya rancak di sebelah selatan (kemaman) jadi apabila wujudnya hab ini di Marang nanti, pembangunan turut rancak, mungkin pelabuhan akan diwujudkan sekali gus membuka ruang untuk perniagaan lain," ujarnya.




Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengedarkan Jalur Gemilang bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, di Pasar Besar Bukit Besar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan pihaknya sudah menerima pelan utama untuk melaksanakan projek Terengganu Silica Valley (TSV) yang memerlukan dana sebanyak RM4 billion

"Sekarang kita sedang aktif mencari dan menjemput pelabur-pelabur yang nak melabur dan membangunkan prasarana kawasan itu bersama kerajaan negeri.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa syarikat yang besar dalam dunia ini, respon mereka positif untuk projek itu," ulas beliau.

Untuk rekod, hab petroleum pertama Terengganu ialah Loji Penapisan Minyak Terengganu yang terletak di Kertih, Kemaman, dibuka secara rasmi pada 3 Okt 1983.

Ia adalah loji penapis minyak tempatan yang pertama di Malaysia, dimiliki dan diuruskan oleh Petronas melalui anak syarikatnya, Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/08/hab-petroleum-pulau-kerengga-tarik.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo