Faisal Tehrani dan agenda liberalisme


oleh:Prof Madya Dr Khalif Muammar

PORTAL Free Malaysia Today semalam, 22 Ogos 2019, menerbitkan tulisan Faisal Tehrani yang menghina ulama khususnya para mufti di negara ini. Penghinaan beliau terhadap institusi mufti ini suatu tindakan yang melampau. Suatu kebiadaban yang tidak boleh dibiarkan berleluasa.

Faisal Tehrani antara lain menulis: "Kita sukar memahami lojika agamawan. Sehingga kita merasakan seorang ulama, ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk berfikir. Kadang-kala agamawan memikirkan mereka lebih baik daripada semua yang ada di dunia ini kerana mereka – konon – tidak menyembah berhala. Mereka terlupa berhala boleh ada dalam diri sendiri. Ia dinamai ego. Kadang, melihat muka mufti pun kita tahu dia penyembah berhala. Yakni berhala dalam diri. Mukanya sombong sekali. Mulutnya termuncung-muncung angkuh".

Seseorang itu boleh saja tidak bersetuju dengan pandangan seseorang mufti, apabila ia memiliki ilmu yang cukup untuk menilai dan memiliki hujah yang kuat untuk berbeza pendapat. Akan tetapi walaupun ia tidak bersetuju dengan pandangan seseorang mufti tertentu ia tidak sewajarnya menghina institusi mufti. Tiada sedikit pun kewajaran untuk seseorang membuat tuduhan umum dan melakukan generalisasi bahawa [semua] mufti dan agamawan adalah orang-orang yang bodoh, sombong dan tidak berfikir dengan logik.

Tindakan menghina institusi mufti boleh dianggap sebagai hasutan agar masyarakat membenci institusi Islam. Tindakan membenci institusi Islam sama dengan membenci institusi raja, kerana raja adalah penaung institusi Islam. Menghina MAIS sebagai contoh adalah sama dengan menghina Sultan, kerana kewujudan MAIS bukan sahaja atas perkenan Sultan bahkan mengikut Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

Persoalan yang lebih mendasar adalah mengapa Faisal Tehrani membenci institusi mufti? Beliau bukan hanya seorang yang hauskan perhatian dan ingin terkenal dengan cara menyalahi kebiasaan. Faisal Tehrani sebenarnya memiliki agenda yang lebih besar iaitu memperjuangkan idea-idea liberal. Golongan liberal secara umumnya membenci dan menentang agamawan, para alim ulama kerana bagi mereka golongan ini adalah sama dengan golongan clergy di Eropah yang menjadi penghalang kepada kebangkitan Eropah. Mereka beranggapan bahawa satu-satunya cara untuk maju adalah dengan menghapuskan pengaruh gereja ini dengan menghapuskan kuasa golongan agamawan. Selain itu, mereka juga ingin menghapuskan institusi raja ataupun menjadikannya hanya sebagai simbol negara tanpa kuasa sedikit pun. Di Barat, golongan liberal telah berhasil melakukan revolusi di Perancis, di Britain dan di Amerika Sarikat dan menggantikan sistem monarki dengan sistem republik. Kecuali di Britain yang masih mengekalkan raja sebagai simbol negara tetapi sistem pemerintahan yang digunapakai adalah sistem demokrasi liberal.

Mereka tidak sedar bahawa andaian bahawa institusi mufti, dan institusi Islam adalah penghalang kemajuan adalah tidak benar. Apa yang berlaku di Eropah berlainan dengan apa yang berlaku di alam Melayu atau di dunia Islam umumnya. Para ulama tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan, justeru mereka adalah pelopor dan pemicu kepada kemajuan masyarakat. Para ulama ini jugalah yang menjadi saintis, ahli perubatan, ahli matematik, bahkan ahli falsafah. Dalam dunia Islam tidak berlaku dualisme antara sains dengan agama seperti mana yang berlaku di Barat. Maka suatu kecerobohan dan kedangkalan berfikir jika Faisal Tehrani menganggap bahawa institusi ulama ini sama dengan institusi clergy di Eropah.

Apa yang jelas daripada tulisannya Faisal Tehrani menganggap para ulama itu bodoh dan sombong kerana mereka mempunyai pandangan yang berbeza dengan dirinya. Oleh itu, secara tidak langsung beliau sebenarnya ingin mengatakan bahawa hanya dirinya sahajalah yang cerdik dan tidak sombong sedangkan orang yang berbeza pandangan dengannya adalah orang yang bodoh dan sombong. Apa bezanya sikap seperti ini dengan sikap golongan ekstremis radikal yang menuduh orang Islam yang tidak menyertai mereka sebagai sesat dan kafir? Kedua-duanya bersikap ekstrem dan eksklusif, hanya selangkah sahaja lagi untuk sampai kepada pandangan bahawa oleh kerana mereka itu sesat dan kafir maka mereka itu boleh diperangi dan dibunuh.

Dengan kaedah memperbodohkan dan menyerang institusi agama, Faisal Tehrani dan kelompoknya dengan sedar mahupun tanpa sedar sebenarnya sedang menyebarkan teologi kebencian di kalangan masyarakat Islam. Golongan ini suka melihat agama Islam dihapuskan daripada ruang publik supaya yang tinggal hanyalah ritual di ruang peribadi dan tidak mempunyai peranan sedikit pun dalam pembentukan masyarakat yang baik, harmoni dan bahagia.

Agenda liberalisme adalah agenda meruntuhkan institusi agama Islam. Mereka berusaha menghina dan memperkecilkan peranan para ulama dan agamawan. Kerana liberalisme sebagai sistem sosial, politik dan ekonomi tidak akan berjaya ditegakkan selagi institusi agama ini berdiri kukuh memelihara agama Islam daripada diselewengkan oleh golongan yang keliru dan mengelirukan.

*Prof Madya Dr Khalif Muammar ialah Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget