NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dasar Pelancongan Negara: Pacu industri ke arah teknologi digital - PM


KUALA LUMPUR: Mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Malaysia kini berusaha ke arah teknologi digital dalam sektor pembangunan pelancongan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030, Malaysia kini sedang melaksanakan konsep digitalisasi menyeluruh untuk mengubah industri pelancongan negara ke arah inisiatif pelancongan pintar.

Jelasnya, kerajaan percaya, menerusi keterangkuman spektrum digitalisasi, ia dapat menyediakan keperluan buat para penggiat pelancongan ke peringkat antarabangsa selain meluaskan perniagaan dan memendekkan tempoh rantaian bekalan.

"Untuk pastikan semua ini menjadi kenyataan, ekosistem pelaburan baru adalah penting untuk persekitaran yang kondusif bagi membolehkan industri pelancongan berteraskan teknologi memacu ke hadapan.
"Pelaburan dalam infrastruktur secara fizikal dan perisian perlu seimbang.

"Dasar negara perlu membenarkan insentif pelaburan dalam produk seperti pemerolehan data, penciptaan kandungan dan pengwujudan platform dalam talian," katanya pada ucaptama perasmian Persidangan Pelancongan Sedunia 2019 yang berlangsung di sini, hari ini.

Jelasnya, menerusi dasar tersebut, Malaysia akan mewujudkan Zon Pelaburan Pelancongan Khas di seluruh negara.

"Insentif khusus sedang diformulasi untuk menarik pelaburan infrastruktur fizikal dan perisian termasuk pelaburan berteraskan teknologi baharu dalam sektor pelancongan.

"Malaysia sedar bahawa kemajuan teknologi dalam pelancongan akan memecahkan sempadan industri sedia ada dan membuka peluang pertumbuhan seluasnya di peringkat global," katanya.

Ujarnya, pemegang taruh industri pelancongan kini mula memfokuskan kepada perkongsian ekonomi menerusi platform digital, integrasi media sosial termasuk analisis data raya.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, DPN 2020-2030 yang menentukan hala tuju strategik pelancongan negara bakal dilaksana tahun hadapan.

Jelasnya, dasar yang sedang digubal Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu akan menjadi panduan dalam merancang pembangunan sektor pelancongan bagi mengoptimumkan potensinya sebagai satu daripada pemacu ekonomi utama negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo