NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cina Menuntut Hak Mengundi Secara Jus Soli: PAS Pertegas Penolakan


šŸ‡²šŸ‡¾ WARKAH MERDEKA šŸ‡²šŸ‡¾
Siri 1

CINA MENUNTUT HAK MENGUNDI SECARA JUS SOLI: PAS PERTEGAS PENOLAKAN
oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
1 Zulhijjah 1440 / 2 Ogos 2019

PROSES menuntut kemerdekaan yang disuarakan sejak selepas Perang Dunia Kedua telah menjadi isu yang penting ekoran wujud Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia 1948 yang mahukan semua tanah jajahan dimerdekakan. Di Tanah Melayu, proses awal tuntutan kemerdekaan ini bermula melalui usaha ke arah berkerajaan sendiri. Langkah utamanya ialah dengan menuntut diadakan pilihan raya umum Persekutuan Tanah Melayu (PTM) untuk melantik ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan (Federal Legislative Council). Ia dianggap permulaan bagi membolehkan orang Melayu menduduki jawatan-jawatan pentadbiran awam negara, yang sebelum ini dikuasai oleh penjajah British. Dalam membuat tuntutan ini, parti-parti kanan yang mengambil langkah bekerjasama dengan British telah terbahagi dua ekoran persaingan politik dalaman Umno. Kumpulan yang diketuai oleh pemimpin serpihan Umno, Dato' Onn Jaafar, iaitu Ahli Dalam Negeri yang juga pemimpin Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) menubuhkan National Conference, sedangkan Tunku Abdul Rahman Putra yang mengambil alih kepemimpinan Umno menubuhkan National Convention. Kedua-dua badan ini menuntut diadakan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri.

PAS ketika ini telah bertindak menyertai kedua-dua badan politik tersebut sebagai langkah untuk menyokong sebarang usaha memerdekakan PTM. Pada awalnya, PAS bersama National Conference yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, tetapi pada 26 September 1953, PAS memutuskan untuk menyokong National Convention pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Walau bagaimanapun, pada 26 Disember 1953, setelah mengkaji kedudukan masa depan orang Melayu dalam perjuangan National Convention, PAS telah menarik diri dari badan ini. Faktor utamanya ialah kerana orang Cina yang bermati-matian menuntut supaya mereka diberikan hak politik untuk mengundi dalam pilihan raya itu kelak, walhal mereka bukan rakyat PTM. MCA yang mewakili orang-orang Cina ketika itu telah menggunakan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi Perikatan Umno-MCA untuk menuntut supaya orang asing, khususnya orang Cina yang tidak mempunyai kelayakan sebagai rakyat PTM mengikut Ordinan Kerakyatan PTM (Pindaan) 1952 yang berkehendakkan seseorang mesti berdomisil selama minimum 10 tahun untuk memohon menjadi rakyat PTM.

MCA Meninggalkan National Conference

Setelah Umno tewas dalam Pilihan Raya Bandaran Georgetown pada 1951, mereka telah mengambil langkah membentuk kerjasama politik dengan MCA Selangor dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur pada Februari 1952. Langkah ini telah berhasil membentuk Perikatan Umno-MCA, sedangkan sebelumnya MCA adalah bersekutu dengan parti-parti kiri bukan Melayu dalam All Malayan Councils Joint Action (AMCJA), selain bekerjasama dengan parti-parti kiri Melayu, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Oleh kerana IMP memperjuangkan hak semua bangsa, mereka menyokong IMP setelah Dato' Onn berpecah dari Umno, yang kemudiannya menjadi sekutu IMP dalam National Conference pada awal 1953. Orang-orang Cina dalam MCA telah bermain kayu tiga dengan pemimpin politik Melayu. Dari satu sudut mereka mendukung Dato' Onn kerana menuntut pilihan raya segera untuk perjuangan multi racial, tetapi dalam masa yang sama mereka membentuk Perikatan Umno-MCA untuk membolehkan mereka menguasai politik bandar.

Ketika MCA masih aktif dalam National Conference, hubungan mereka dengan Umno telah membolehkan mereka merancang untuk mengadakan National Convention. MCA sedar bahawa Tunku Abdul Rahman lebih mudah diperkotak-katikkan berbanding Dato' Onn, seorang ahli politik senior. Umno sendiri terdesak kerana Dato' Onn lebih berpengaruh berbanding Tunku Abdul Rahman, lalu mereka mempergunakan pula MCA untuk melemahkan National Conference. Antara sebab kecenderungan MCA kepada Umno ialah kesediaan Umno untuk memberikan hak mengundi kepada orang Cina dalam mengalihkan sokongan orang Cina dari Dato' Onn. Orang Cina mengambil kesempatan ini kerana menyedari Umno sedang terdesak setelah parti itu berpecah dengan IMP dan PAS pada 1951, sedangkan Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu anjuran Umno pada 14 Ogos 1953 tidak mendapat sambutan parti-parti orang Melayu. Dalam bulan Ogos 1953, MCA secara rasmi terkeluar dari National Conference kerana menjadi penaja kepada pembentukan National Convention bersama Umno. Wakil MCA dalam National Conference, Yong Shok Linn (Presiden MCA Selangor) yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja National Conference tidak lagi aktif dalam badan ini.

Orang Cina Menuntut Hak Mengundi

Selepas Perang Dunia Kedua, jumlah orang Cina di PTM bertambah dengan mendadak kerana dibawa masuk oleh British sebagai pekerja lombong dan ladang mereka. Pada 1951, jumlah orang Cina di PTM ialah seramai 2,043,971 orang, berbanding seramai 1,928,965 orang pada 1949. Sedangkan jumlah orang Melayu pada 1951 hanyalah 2,631,154 orang. Orang bukan Melayu yang lain seperti India dan Eurasia ialah 642,100 orang, sekali gus menjadikan jumlah kaum pendatang lebih ramai daripada penduduk peribumi. Keadaan ini sangat membimbangkan PAS, tetapi MCA melihatnya sebagai peluang untuk mendesak Umno memberikan hak mengundi dan kerakyatan secara mudah kepada mereka. Di atas terdesaknya Umno untuk mendapatkan sokongan orang Cina jika pilihan raya yang dituntut itu diadakan, orang-orang Cina melalui MCA telah mendesak supaya "sebarang orang yang diperanakkan di Tanah Melayu dan tinggal lima tahun di Tanah Melayu terdahulu dari pilihan raya" dan "sebarang orang yang diperanakkan di Singapura (rakyat British) yang tinggal di Malaya tujuh tahun dahulu dari pilihan raya" diberikan hak untuk mengundi, walaupun mereka bukan rakyat PTM.

Tuntuan orang-orang Cina adalah bersalahan dengan Ordinan Kerakyatan PTM (Pindaan) 1952 yang menetapkan bangsa-bangsa asing perlu berdomisil sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum layak menjadi rakyat PTM, apatah lagi untuk mendapat hak politik iaitu mengundi dalam pilihan raya. Orang Cina mendesak supaya mereka diberikan hak politik ini secara jus soli, iaitu berdasarkan tempat lahir, jika telah tinggal di PTM lima tahun sebelum pilihan raya. Orang Cina yang berjumlah lebih dua juta orang itu sebenarnya adalah rakyat British di Negeri-negeri Selat dan pekerja asing di negeri-negeri Melayu bersama keluarga mereka. Mereka sama sekali bukan rakyat PTM atau rakyat Raja-raja Melayu, melain sejumlah kecil sahaja yang telah mendapat kerakyatan di bawah Ordinan Kerakyatan PTM 1948. Oleh kerana mereka bukan rakyat PTM, mereka tidak mempunyai hak politik di negara ini, tetapi mereka memanfaatkan kelemahan Umno bagi menuntut hak tersebut. Dua kelemahan Umno yang dipergunakan oleh orang Cina ialah:

I. Persaingan politik Tunku Abdul Rahman - Dato' Onn, di mana Tunku Abdul Rahman sangat berharap kepada sokongan MCA bagi membendung pengaruh National Conference, sehingga akhirnya MCA berpihak kepada National Convention untuk mendapatkan hak-hak politik tersebut; dan

II. Kegagalan Umno dalam Pilihan Raya Bandaran Georgetown pada akhir 1951 dan kejayaan Perikatan Umno-MCA dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur. Umno sedar bahawa sokongan MCA akan membolehkan mereka menjadi parti yang dominan di PTM mengatasi IMP pimpinan Dato' Onn.

Kesempatan ini dipergunakan sepenuhnya oleh orang-orang Cina untuk mendesak Umno memberikan kepada mereka hak mengundi secara jus soli dalam Pilihan Raya Umum 1955 walaupun mereka bukan rakyat PTM.

Sikap dan Tindakan PAS

Desakan orang-orang Cina supaya Umno menerima tuntutan mereka agar diberikan hak mengundi secara jus soli telah menyebabkan Umno dan MCA selaku penaja National Convention telah menggariskan empat dasar berkait tuntutan pilihan raya segera itu yang dibawa dalam perhimpunan pada 23 Ogos 1953. PAS yang menyertai perhimpunan ini bertegas bahawa 'blue print' National Convention itu "merugikan perjuangan kita (orang Melayu) di Tanah Melayu." PAS bertegas untuk mengangkat empat tuntutan baru iaitu:

I. Menolak usaha meluaskan hak mengundi mengikut dasar jus soli;

II. Cadangan susunan semula anggota Majlis Undangan Persekutuan dengan menambahkan wakil ekonomi Melayu dan mengurangkan wakil bangsa asing;

III. Mewujudkan suruhanjaya yang berkecuali untuk persempadanan pilihan raya; dan

IV. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Majlis Undangan Persekutuan.

Tuntutan PAS ini dibawa ke dalam National Convention pada 11 Oktober 1953. Tetapi Perikatan Umno-MCA telah menggunakan kedudukan mereka sebagai parti dominan untuk menolak dua cadangan pertama PAS itu. Perikatan Umno-MCA sebagai penganjur perhimpunan mempunyai 28 orang wakil, sedang parti-parti lain hanya mempunyai dua wakil sahaja. Persetujuan Umno di atas desakan MCA telah memberikan keuntungan politik kepada orang-orang Cina, walaupun mereka sebenarnya langsung tidak berhak. Bagi PAS, tindakan orang Cina yang memperalatkan Umno ini bukan sahaja merugikan perjuangan orang Melayu, tetapi telah "membuka pintu kecurangan dalam demokrasi di Tanah Melayu." PAS kemudiannya mengambil sikap "membantah sekeras-kerasnya" dasar hak mengundi secara jus soli ini, dan memutuskan pada 26 Disember 1953 untuk menarik diri daripada National Convention. Walaupun PAS pada dasarnya mendukung tuntutan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri, tetapi PAS menentang sekeras-kerasnya pemberian hak mengundi secara jus soli kepada pendatang asing, terutama dari China.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo