NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agenda hapus tulisan Jawi dan Kolonialisasi


oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
SECARA mudahnya Kolonialisasi bermaksud penjajahan. Pelbagai definisi yang dikemukakan oleh sarjana menghuraikan lagi maksudnya selari dengan era hidup sarjana tersebut. Perkataan yang hampir maksud dengannya ialah Imperialisme. Ini juga panjang huraiannya di sisi sarjana Barat.

a) Contohnya Moritz Julius Bonn yang menghuraikan imperialism dari sudut politik. Beliau mengatakan bahawa imperialisme adalah suatu dasar yang bercita-cinta untuk membentuk, menyusun dan memelihara sebuah empayar.

b) Manakala V.I.Lenin yang merupakan seorang pemimpin tertinggi Komunis Rusia menyatakan bahawa, imperialisme adalah satu fenomena ekonomi semata-mata, iaitu peringkat akhir kapitalisme.

c) Manakala Norman Daniel pula mendefinisikan imperialisme lebih kepada mencari dan membina sebuah empayar kekuasaan.

Walaupun di sana ada sedikit perbezaan di antara dua istilah ini, namun ia tetap membawa ke arah perbincangan yang sealiran. Iaitu Colonialization lebih kepada idea, kemudian imperialism merupakan hasil kepada colonize itu tadi.

Penjajahan Di Lakaran Sejarah

Jika dilihat dari segi sejarah, kita boleh lihat bagaimana generasi terdahulu, sama ada ketika zaman kenabian atau selepasnya, lebih merujuk kepada penjajahan fizikal, peluasan empayar, kekuasaan, penguasaan politik, kepentingan hasil bumi, kekayaan dan sebagainya.

Namun pada hari ini, atau lebih khusus selepas Perang Hittin di era 1190, Kerajaan Rom Byzantine telah membincangkan tentang kekuatan luar biasa tentera Islam yang dipimpin oleh Solehuddin al Ayyubi. Mereka mengkaji kekuatan tentera Islam yang luar biasa itu hinggalah mereka menemui punca kekuatan itu, iaitu al Quran dan Sunnah.

Para orientalis mula dikaderkan untuk mengkaji dan mendalami tentang 'rahsia' kekuatan Islam ini. Selepas kajian dan penelitian yang panjang mereka memikirkan strategi baru untuk menguasai Ummat Islam, iaitu dengan kaedah serangan pemikiran ŲŗŲ²Łˆ Ų§Ł„ŁŁƒŲ±

Maka kumpulan kolonialisasi yang pada mulanya berbentuk fizikal, bertukar kepada penjajahan pemikiran (Colonization of thought) yang lebih seni dan halus. Maka para Orientalisme bertugas sepenuh masa memerah keringat untuk mengkaji tentang Ilmu Islam untuk menghasilkan senjata senjata padu untuk menjahanamkan pemikiran ummat Islam.

'Nilai' Kejatuhan Abbasiah

Method colonization of thought yang dilakukan dalam banyak aspek dan banyak skop yang dituju. Antara skop yang paling berharga dan bernilai dalam menjajah sesebuah negara ialah penghapusan sejarah dan ilmu warisan setempat.

Kita perlu pelajari daripada kisah kejatuhan Khilafah Abbasiah di Damsyiq pada 1256M. Antara barang paling berharga dihapuskan ialah jutaan jilid kitab dan turath para Ulamak silam tenggelam di dasar sungai Euphrates dan Tigris dijadikan bahan tambakan.

Sebelum gelombang Mongol itu, para orientalis yang berselerak secara senyap di bumi Damsyiq melarikan diri bersama kitab dan turath yang dirembat daripada perpustakaan dan sebagainya, kemudian dikaji dan diteliti di Barat satu persatu sehingga mereka muncul sebagai sebuah tamadun selepas keruntuhan Abbasiah.

Kita perlu belajar dari lakaran sejarah yang terpahat di batu-batu warisan. Iaitu perkara yang paling bernilai untuk dijahanamkan di sesebuah negara ialah sejarah dan warisan ilmu mereka. Hilangnya dua perkara ini boleh membawa kepada kelumpuhan sesebuah Tamadun.

Tanah Melayu Dan Tulisan Jawi

Apa yang berlaku di Malaysia sejak penjajahan Tanah Melayu? Kenapa begitu mudah 'Mat Saleh' meninggalkan Tanah Melayu dan berlakunya kemerdekaan di Tanah Melayu? Sejarah ini ada yang cuba seleweng, dan ada yang cuba padamkannya.

Perjanjian Kontrak Sosial yang semakin tak dibincangkan. Asal usul Bangsa Melayu dan tulisan Jawinya tidak diketengahkan. Penjajah sebelum itu lagi sudah memperkenal dan menyuburkan tulisan rumi menggantikan tulisan jawi

Dalam buku "Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi" karangan Hashim Hj Musa menceritakan bahawa perkataan 'Jawi' (Ų¬Ų§ŁˆŁŠ) berasal daripada bahasa Arab 'Jawah' (Ų¬Ų§ŁˆŲ©). Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama, tidak dinafikan bahawa Bahasa Melayu Kuno sebelum itu, pernah menggunakan tulisan Pallava yang dikatakan datang dari Benua India. Kemudian, digantikan dengan kemunculan tulisan Jawi membuka lembaran baru dalam sejarah Bahasa Melayu.

Iaitu sebuah penemuan Batu Bersurat yang bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 M. Batu bersurat itu dipahat dengan huruf Arab-Melayu yang boleh dikatakan sebagai tulisan jawi tertua di Asia Tenggara yang melakarkan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW.

Kemunculan Tulisan Rumi (Latin)

Pada awal 1900-an, tulisan rumi diperkenalkan dan digunakan secara rasmi oleh para penjajah antara pelopornya ialah R.J. Wilkinson. Saya melihat bahawa tulisan rumi secara tiba tiba diperkenalkan sudah pasti mempunyai satu rancangan sulit untuk 'mengganggu' perkembangan Islam di Tanah Melayu yang menggunakan tulisan Bahasa Arab (Jawi).

Tambahan pula tulisan Jawi merupakan tulisan yang digunakan untuk menyebarkan dakwah Islam. Apatah lagi akhbar akhbar era tersebut menggunakan tulisan Jawi, antaranya:

a) 1876-1895 Akhbar Jawi Peranakan terbitan Munsyi Abdullah di Singapura

b) 1888 Akhbar Sekolah Melayu terbitan Mohd Ali

c) 1906 Majalah al Imam yang dikarang antaranya Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Ahmad al Hadi, Hj Abbas Taha dan ramai lagi.

Bermula dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 tulisan Jawi semakin dikuburkan. Walaupun di dalam akta tersebut tidak menghalang tulisan Jawi. Namun, apa yang terjadi hari ini, sudahlah tulisan tradisi ini sudah semakin terkubur, ia ditentang pula oleh pihak-pihak tertentu tanpa sebab yang munasabah.

Kesan Colonization Of Culture

Saya melihat bahawa penghapusan tulisan Jawi khususnya pada hari ini hanyalah semata mata untuk melaksanalan methodologi colonization of thought yang dilakukan oleh musuh Islam untuk mewujudkan jurang antara Melayu dan Islam, dan seni Islam yang terbumi di dalam jiwa orang Melayu ialah tulisan Jawi.

Tulisan-tulisan Cina diperagakan di dalam iklan-iklan dan surat surat rasmi kerajaan sejak pemerintahan Kerajaan PH. Seperti biasa, segelintir Bangsa Melayu diperkudakan untuk merealisasikan impian mereka itu.

Penghapusan jatidiri Melayu Islam disuntik sedikit demi sedikit, melalui serangan penghapusan tulisan Jawi ini. Selain daripada penjajahan pemikiran, boleh kita klasifikasikan penghapusan tulisan Jawi ini bertujuan Penjajahan Budaya (Colonization Of Culture).

a) Dari aspek penjajah pemikiran ialah mengorek jurang antara Melayu dan Islam. Islam dilihat 'maintain' di Malaysia disebabkan penggunaan tulisan Jawi.

b) Dari aspek Penjajahan Budaya ialah menghapuskan tulisan tradisi yang mengimbau sejarah Melayu terdahulu.

Sebab itulah kita boleh lihat negara-negara yang pernah dijajah, kebanyakannya masih mengekalkan 'style' penjajah. Dari sudut budaya kuningnya, bahasa pertuturannya, cara hidupnya dan lain lain. Apatah lagi generasi ayah kita lahir di era penjajahan, manakala kita pula lahir di era karat penjajah yang dikenali dengan ideologi sekularisme.

Sampai bilakah kita mahu berdiam diri di dalam kepompong penjajahan ini? Di zaman PH ini penjajahan bentuk baru pula yang diperkenalkan dan bagaimanakah generasi masa hadapan? Pertahankanlah tulisan Jawi kerana kita perlu bimbangkan generasi masa depan.

Sumber: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/12366-agenda-hapus-tulisan-jawi-dan-kolonialisasi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo