NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Sedia Pelan Induk Saliran Mesra Alam Tangani Banjir Kilat

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri kini dalam proses penyediaan satu pelan induk yang merupakan perancangan jangka panjang bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa daerah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pelan yang dinamakan sebagai Pelan Induk Saliran Mesra Alam dijangka siap pada akhir tahun ini dengan peruntukan lebih daripada RM1.2 juta.

"Pelan ini bermula pada 2016 dan apabila ia siap pada akhir tahun ini, ia boleh dijadikan rujukan kepada semua jabatan termasuk Jabatan Pengairan dan saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Muhammmad Khalil Abdul Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, selain dari pelan induk berkenaan, kerajaan negeri hendaklah membina sistem saliran yang baharu bagi menangani masalah banjir kilat sekali gus membantu menangani fenomena alam yang tidak dapat dijangka itu.

"Pada tahun lepas, kita telah menyiapkan satu sistem saliran di Padang Negara dengan kos RM15.8 juta.

"Dalam pembinaan sekarang ialah sistem saliran di Tok Jiring dan yang akan ditender pada akhir tahun ini adalah tebatan banjir di Gong Kiat di mana airnya akan dialirkan ke Sungai Ibai," kata Dr. Mamad.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM30 juta untuk kerja memperdalam serta membaik pulih sungai dan saliran di Terengganu.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/07/terengganu-sedia-pelan-induk-saliran.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo