NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teliti dulu DLP sebelum laksana semula PPSMI: iGuru


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Zulkaedah 1440H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran meneliti semula keberkesanan dasar Program Dwibahasa (DLP), sebelum mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam format baharu.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya menolak sebarang cubaan menjadikan murid dan guru sebagai bahan makmal uji kaji, melalui usaha mengembalikan PPSMI yang akhirnya memberi kesan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, mengembalikan semula PPSMI dalam format sebelum ini secara tergesa-gesa, dibimbangi akan mengakibatkan kegagalan murid luar bandar, yang rata-rata daripada golongan Bumiputera.

"iGuru melihat pihak KPM perlu merangka dasar baharu untuk memastikan penguasaan sains dan matematik dikalangan murid-murid terus meningkat dengan mengambil kira pencapaian murid Malaysia di dalam Timss dan PISA tanpa mengenepikan keupayaan menguasai Bahasa Inggeris.

"Aspek yang paling penting ialah sejauh mana penguasaan sains dan matematik menggunakan Bahasa Inggeris lebih berkesan dari menggunakan Bahasa Melayu," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, iGuru yakin penguasaan subjek Sains dan Matematik yang menggunakan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu adalah lebih berkesan berbanding bahasa Inggeris.

Justeru, beliau mencadangkan satu kajian menyeluruh dari aspek sumber manusia, fasiliti, akses internet, kemampuan kewangan, jurang sekolah luar bandar serta kaedah pembelajaran dan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) terkini, diambil kira sebelum dilaksanakan.

"iGuru tidak mahu langkah tergesa-gesa ini membawa padah pada bangsa dan negara nanti.

" Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah menifestasi kedaulatan undang-undang manakala memperkasa Bahasa Inggeris sebagai alat menguasai keilmuan adalah usaha mengukuhkan ia sebagai bahasa untuk mendepani cabaran teknologi dan abad digital," katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan dasar PPSMI sedang dikaji dengan menyediakan sistem baharu membabitkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Beliau berkata, melalui sistem itu, pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah, supaya kecekapan guru itu dapat dinikmati semua murid dan pelajar.

PPSMI pernah dilaksanakan pada tahun 2003 dan terbukti gagal. Berdasarkan kajian antarabangsa, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), pencapaian pelajar sekolah di Malaysia dalam bidang sains dan matematik merosot dengan mendadak apabila sistem berkenaan dilaksanakan.

Malah, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pernah menyarankan agar subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/16/teliti-dulu-dlp-sebelum-laksana-semula-ppsmi-iguru/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo