NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pencemaran Pasir Gudang: Risiko kanser jika lama terdedah gas akrilonitril, kata ahli akademik

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz (kiri) membantu pelajar Sekolah Kebangsaan Kopok, Pasir Gudang yang mengalami gejala sesak nafas dan mual, semalam. (Gambar Bernama)


JOHOR BAHRU: Gas akrilonitril yang dikesan dalam pencemaran di Pasir Gudang, Johor mempunyai sifat karsinogenik yang mampu mengakibatkan kanser jika seseorang terdedah kepada gas itu setiap hari atau terlalu lama, kata Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Zulkifli Abdul Rashid.

Beliau berkata, ia berdasarkan kajian saintifik dalam pangkalan data Badan Toksikologi untuk Penyakit Toksikologi dan Pendaftaran Badan Toksikologi (ATSDR) untuk akrilonitril.

"Jika mereka terdedah dengan bau gas ini (akrilonitril) terlalu lama, ia bukan saja memudaratkan kesihatan bagi kesan jangka pendek, tetapi boleh membahayakan organ dalaman sehingga bertindak balas menghasilkan bentuk kanser untuk kesan jangka panjang," katanya ketika dihubungi Bernama.

"Keputusan kajian epidemiologi menunjukkan akrilonitril boleh menjadi karsinogen kepada manusia. Melalui eksperimen, pendedahan bahan kimia atau gas itu terhadap tikus makmal mendapati ia boleh mengakibatkan tumor pada tikus, malah beberapa kajian saintifik juga menunjukkan bahan kimia akrilonitril ini juga dikatakan penyebab kanser paru-paru terhadap manusia."

Bagaimanapun, katanya, kebarangkalian penduduk berisiko menghidap kanser bergantung kepada beberapa faktor, antaranya sejarah perubatan sama ada mereka mempunyai asma, faktor umur, durasi dan konsentrasi pendedahan kepada gas itu.

"Selain itu, aspek geografi atau kedudukan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan punca pencemaran udara yang berlaku ketika ini lebih berisiko tinggi menghidap kanser dalam masa lebih singkat berbanding mereka yang tinggal berjauhan daripada punca pencemaran gas ini."

Jumaat lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, 3 jenis gas – methyl mercaptan, akrilonitril dan akrolein dikesan di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, sehingga kini, pihak berkuasa masih cuba menentukan punca sebenar pencemaran di daerah itu yang menyebabkan penduduk dan pelajar mengalami simptom sesak nafas serta muntah.

Gangguan kesihatan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu itu adalah yang ke-2 selepas kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim pada 3 bulan lalu yang menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 sekolah ditutup.

Semalam, 130 murid dan seorang guru Sekolah Kebangsaan Kopok, Pasir Gudang mengalami sesak nafas serta muntah pada hari pertama sesi persekolahan selepas semua sekolah di kawasan itu ditutup sejak 25 Jun hingga Khamis lalu.

Zulkifli menjangka wujud 5 gas toksik, termasuk 3 yang dikesan setakat ini memandangkan methyl mercaptan dan akrilonitril yang bertindak balas dengan unsur air boleh menghasilkan 2 gas toksik lain, iaitu hidrogen sulfida dan hidrogen sianida yang mengakibatkan bau busuk serta tengik.

Katanya, bau hidrogen sulfida menusuk hidung seperti bau telur busuk, manakala hidrogen sianida digambarkan sesekali mempunyai bau "badam pahit" tetapi tidak semua orang dapat mengesan bau itu.

Beliau berkata, bau "misteri" yang dialami penduduk di sekitar Pasir Gudang mungkin akibat terhidu satu daripada 2 gas itu.

Sebelum ini, media melaporkan kebanyakan penduduk di sekitar Pasir Gudang yang terjejas mengadu sentiasa terhidu bau busuk dan tengik selepas cuaca hujan dan waktu malam.

Kehadiran gas hidrogen sianidadicatatkan paling tinggi di Taman Tanjung Puteri Resort dalam kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 13 Mac lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo