NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasir Gudang: Langkah menteri hanya kawal, bukan cegah




Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Enam langkah yang dikemukakan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mengawal udara di Pasir Gudang lebih ke arah pengawalan, bukannya pencegahan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, menerusi solusi itu, beliau tidak mendengar sebarang arahan untuk menghentikan operasi kilang terbabit secara sementara, kecuali kilang haram yang diarah tutup buat masa sekarang.

"Memandangkan keadaan di Pasir Gudang sekarang masih berada dalam keadaan tidak stabil, kenapa Menteri tidak arahkan kilang-kilang yang terlibat untuk berhenti operasinya secara sementara, mungkin sebulan dua?

"Bagi keadaan menjadi stabil dan terkawal dahulu, barulah boleh dibenarkan kilang-kilang tersebut untuk beroperasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Bee Yin memberitahu Dewan Rakyat mengenai enam langkah segera yang diambil kerajaan bagi menangani pencemaran di Pasir Gudang, antaranya memperkasakan pemantauan kualitu udara dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui pembangunan stesen pengawasan udara.

"Yang kedua ialah pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti Gasmet untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan, serta membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan 'carrying capacity' udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang," katanya menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerajaan harus mengemukakan penyelesaian yang bersifat jangka panjang, kerana rakyat yang terpaksa menanggung kesan kepada langkah jangka pendek.

"Sekarang penduduk-penduduk di kawasan berkenaan masih trauma dan rasa tidak selamat. Kerajaan perlu bertindak dengan lebih tegas dan dengan segera. Jangan hanya sekadar membuat 'meeting' demi 'meeting'.

"Harap Menteri lebih prihatin dan merasai keperluan dan denyut nadi rakyat. Jangan sebabkan takut syarikat-syarikat menanggung kerugian sehingga menggadaikan nyawa rakyat," katanya.

20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Ia adalah pencemaran kali kedua berlaku di Pasir Gudang selepas kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lalu, yang menyaksikan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 buah sekolah ditutup.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo