NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pandangan Sosialis terhadap kenyataan Azmin?


oleh S. Arutchelvan

Kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang anehnya dikeluarkan di bawah kapasitinya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 29 Julai 2019, bahawa beliau menyokong pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk Mahathir dibenarkan menghabiskan tempoh penuhnya sebagai Perdana Menteri, menyakinkan saya bahawa Parti PAS ialah penentu atau Kingmaker politik masa kini.

Mengapa saya berkata demikian?

1. Azmin yang semakin kehilangan pengaruhnya di kalangan Pakatan Harapan (PH) dan sebahagian segmen PKR sebagai calon Perdana Menteri, kini dengan selesanya menggunakan PAS untuk mendapat sokongan. Kenyataannya juga dapat menunjukkan bahawa dia dapat menumpang sokongan PAS-UMNO berdasarkan agenda Perpaduan Melayu dan Ummah, yang mana PH semakin hilang sokongan.

2. Sebahagian besar ahli UMNO pula telah menolak panggilan Mahathir yang meminta pembangkang bergabung dengannya untuk menyatukan parti-parti Melayu. Keputusan UMNO untuk tidak bergabung dengan BERSATU terutamanya disebabkan oleh mereka kini melihat potensi PAS sebagai talian hayat mereka dan bukannya Parti BERSATU yang dipimpin Mahathir. UMNO melihat PAS sebagai rakan sekutu dan rakan utama mereka dalam misi merampas semula kuasa dalam PRU-15. Ini dapat dilihat dalam beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini apabila mereka berdua berdiri sebagai satu pasukan.

3. MCA pula melihat mereka mempunyai peranan untuk terus kekal dalam BN untuk mengimbangi pengaruh PAS.

4. MIC baru-baru ini pula mengambil pendirian bahawa PAS bukan radikal seperti yang digambarkan. Timbalan Presiden MIC Saravanan pula pernah berkata di Parlimen bahawa jika DAP sebelum ini dapat bekerjasama dengan PAS tanpa masalah, dia tidak melihat mengapa MIC tidak boleh berbuat demikian.

5. Perhimpunan anti-ICERD yang besar pada 8 Disember tahun lalu adalah bukti sokongan besar dalam mobilisasi PAS; yang pada suatu masa lalu digunakan oleh BERSIH untuk berjuang demi pilihanraya yang Bersih dan Adil di era BN.

Dengan semua ini, nampaknya PAS sebenarnya boleh melakar politik Malaysia kerana parti-parti komponen PH dilihat tidak mampu untuk bekerjasama secara berkesan. Parti-parti komponen PH sibuk memerangi satu sama lain dan cuba menjaring mata, bukannya memfokus pada isu-isu yang dihadapi rakyat.

Adalah dikatakan jika anda mempunyai kawan seperti dalam PH, anda tidak memerlukan musuh. Ini dapat dilihat dalam drama bagaimana orang nombor satu dan dua dalam parti terbesar memerintah negara seperti PKR bergaduh untuk mengulingkan satu sama lain.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia.

https://sosialis.net/2019/07/29/pas-ialah-kingmaker/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo