NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nelayan Akan Terus Berjuang Sehingga Pencerobohan Nelayan Vietnam Diselesaikan Kerajaan



Haji Ahmad Amzad Bin Hashim
19 Julai 2019/ 16 Zulkaedah 1440H

1. Saya mengucapkan tahniah kepada kesungguhan para nelayan yang konsisten memperjuangkan isu pencerobohan nelayan Vietnam. Banyak kali bantahan dilakukan kepada pihak kerajaan sehinggalah kemuncaknya pada 16 Julai 2019 lepas, wakil-wakil nelayan Pantai Timur yang terdiri daripada Terengganu, Pahang dan Kelantan ini telah datang berhimpun secara aman di luar pintu masuk utama Parlimen bagi menyerahkan memorandum untuk membantah Pencerobohan Nelayan Asing Vietnam dan Myanmar.

2. Kesungguhan ini telah pun membuahkan hasil sebelum ini apabila Kerajaan melancarkan OPS Naga di kawasan perairan tiga negeri pantai timur Semenanjung mulai 2 Mei 2019 sebagai respons kepada himpunan besar-besaran nelayan seluruh negara di Kuala Terengganu. Walaupun OPS Naga ini berjaya menangkap 52 buah bot, namun dikhuatiri sebaik sahaja operasi tamat, bot-bot nelayan asing tersebut semakin banyak dan mengganas. Hal ini kerana saya menerima pelbagai maklumat termasuk imej-imej satelit yang menunjukkan kedudukan bot-bot nelayan vietnam yang hampir dengan sempadan perairan Malaysia.

4. Isu-isu lain yang memerlukan perhatian segera menteri termasuklah dakwaan rasuah di kalangan pegawai perikanan dalam soal lesen C2 yang diberikan kepada bot nelayan vietnam terpakai yang menggunakan pukat tunda. Bot tempatan yang dikendalikan warga asing itu kemudiannya bersekongkol pula dengan pemilik kapal kargo asing terutama dari Vietnam untuk menarik pukat tunda di perairan negara ini. Mereka menggunakan kaedah tunda ganding iaitu dua kapal menarik satu pukat begitu juga kaedah tunda kokot(sikat/gerat) yang memusnahkan ekosistem dan hasil laut seperti anak-anak ikan dan sotong.

5. Nelayan asing ini mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan sebuah bot berlesen (kelas C2) dan apabila kegiatan dikesan, mereka segera memotong pukat pada kapal kargo untuk menunjukkan ia tidak menjalankan sebarang aktiviti perikanan. Malangnya, tindakan tidak dapat diambil terhadap mereka kerana tiada bukti kukuh. Bot yang digunakan oleh nelayan asing ini juga menggunakan lampu melebihi had kuasa yang dibenarkan yang telah mematikan telur ikan dan sotong. Dengan menggunakan lesen nelayan tempatan, mereka menyalahgunakan subsidi diesel dan menjual hasil ikan kepada kapal kargo asing di tengah laut tanpa didaratkan di Malaysia.

6. Saya menantikan tindakan yang lebih serius daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang nampaknya sudah dapat gambaran lebih jelas dan berjanji untuk membatalkan lesen ali baba yang menjadi punca besar pencerobohon ini. Pemilik-pemilik lesen ini hanya bersenang lenang menunggu hujung bulan duit sewaan lesen daripada pemilik kapal-kapal Vietnam dimasukkan ke dalam akaun bank mereka sedangkan nelayan yang tidak mampu terus diancam oleh kehadiran nelayan asing.

7. Saya juga ingin mengucapkan tahniah di atas jaminan menteri bahawa operasi akan diteruskan. Namun begitu, dengan kondisi aset penguatkuasa yang sedia ada, selama mana operasi ini boleh bertahan dengan sumber yang tidak cukup? Saya harap tiba giliran Menteri Dalam Negeri pula untuk memahami keperluan mencukupkan aset untuk pengawalan perairan negara. Kenyataan yang mengatakan bahawa aset yang ada sudah memadai seolah-olah beliau tidak mendapat maklumat yang tepat tentang situasi sebenar. Saya menyarankan agar beliau turun padang dan tinjau sendiri berapa buah kapal dan bot yang sudah uzur dan berapa pula yang boleh keluar ke laut dengan selamat.

8. Beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan yang begitu jika beliau sendiri turun lapangan untuk melihat peruntukan diesel dan kos menyelenggara kapal peronda mencukupi untuk membolehkan pengawasan daripada pencerobohan nelayan asing dilakukan. Adakah “bofors” atas kapal peronda itu boleh dipakai atau untuk hiasan semata-mata? Menteri perlu ingat, para nelayan ini bukan daripada orang senang. Merekalah rakyat yang paling memerlukan pembelaan daripada kerajaan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Haji Ahmad Amzad Bin Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo