NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lgbt Bukan Budaya Malaysia



oleh: Siti Zailah Mohd Yusoff
17 Zulkaedah 1440H/ 20 Julai 2019

1. Perarakan LGBT di ibu kota Kuala Lumpur pada 9 Mac 2019 sempena Himpunan Hari Wanita telah menerima kecaman pelbagai pihak dan lebih 50 laporan polis telah dibuat. Namun ia telah diklasifikasi di bawah “tiada tindakan lanjut / No Further Action (NFA)”.

Berikut adalah petikan jawapan rasmi Timbalan Menteri berkait perkara ini:

“ (a) Perarakan yang melibatkan sekumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) semasa Himpunan Hari Wanita ini tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan subseksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

(b) Sekiranya pun benar dakwaan YB bahawa apa yang dilakukan bercanggah dengan Islam, pihak Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah mana-mana undang-undang yang sedia ada untuk mendakwa apa-apa perbuatan yang dikatakan bercanggah dengan Islam.”

2. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta kebenaran perhimpunan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menjadi justifikasi membenarkan perarakan golongan LGBT ini bersama golongan wanita lain. Keadaan ini sebenarnya telah memperakui pernyataan bahawa golongan ini setaraf wanita lain.

3. Persoalannya, adakah Peguam Negara telah menggunakan kuasa sepenuhnya dalam isu ini? Adakah Peguam Negara telah menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, menasihati berkait Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 berhubung dengan kesalahan orang lelaki berlagak seperti perempuan?

4. Jika sikap sebegini terus diamalkan oleh kerajaan maka normalisasi LGBT semakin menjadi-jadi di negara kita. Ia bukan lagi dianggap suatu yang salah tapi normal bahkan diterima. Pengaruh LGBT akan menyerap masuk dalam masyarakat secara lebih terbuka. Mereka diterima sebagai duta kesihatan, kecantikan dan sebagainya. Wajar ibubapa lebih gusar fenomena ini mudah mempengaruhi anak-anak dan keluarga apabila ia kelihatan normal.

5. Saya bersimpati dengan golongan ini. Namun, mereka harus dididik dan dirawat dengan kaedah yang sesuai. Bukan diiktiraf, didedahkan dan dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.



Siti Zailah Mohd Yusoff ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo