Kebebasan Bersuara : Antara Hak Islam Dan Tuntutan Barat


oleh: Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman
8 ZulKaedah 1440H / 11 Julai 2019

▪️ Pengenalan
Isu pemenjaraan ke atas Wan Ji Wan Hussin oleh Mahkamah Sesyen sebelum ditambah hukuman dari 9 bulan kepada setahun penjara diatas kesalahan menghina DYMM Sultan Selangor oleh Mahkamah Tinggi mendapat perhatian ramai kalangan ahli politik dan masyarakat awam.

Ada pihak yang melihat kewajaran hukuman tersebut kerana penggunaan bahasa oleh Wanji yang cukup biadap dalam kesalahan yang disabitkan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 Akta Hasutan kerana menghina dan menghasut membenci institusi DiRaja dalam negara ini khususnya di negeri Selangor.

Namum terdapat pihak khususnya kalangan komponen parti PH yang melihat bahawa hukuman yang dikenakan tidak wajar malah berat sehinggakan kenyataan rasmi 4 Ketua Pemuda dari komponen PH yang mendesak agar Wanji dibebaskan serta ditambah fokus agar Akta Hasutan dihapuskan. Ini kerana dengan Akta Hasutan yang sedia ada mengakibatkan tiada kebebasan bersuara.

▪️Konsep Kebebasan Bersuara Menurut Islam
Islam mengiktiraf beberapa hak kebebasan manusia tanpa mengira agama yang mereka anuti. Antaranya ialah kebebasan bersuara. Walau bagaimanapun, ia hendaklah mengikut batas-batas syariat dan tidak mendatangkan kesan negatif dan kerosakan.

Namun begitu, kebebasan bersuara ini pada perkara yang tidak mencampuri urusan ketetapan muktamad agama untuk diubah serta bukan pada menjisimkan perkara ghaib. Kebebasan bersuara juga tidaklah pada soal yang melibatkan hal-hal agama yang sewajarnya diberikan kelayakan pada ahli dalam membicarakannya.

Maka dalam konteks yanng umum dan melibatkan soal keharusan duniawi umum manusia diberikan ruang dalam bersuara dan memberikan pandangan selagi menjaga syariat dan adab.

Malah dalam sirah, Nabi Muhammad SAW juga membuka ruang perbincangan kepada para sahabat menyuarakan pandangan mereka dalam hal yang bukan ketetapan muktamad dari wahyu Ilahi. Ia dapat dilihat pada cadangan para sahabat pada penentuan kedudukan tentera Islam dalam perang Badar al-Kubra, majoriti suara dalam berperang di luar Madinah bagi perang Uhud, strategi penggalian parit dalam perang Ahzab dan banyak lagi.

Dalam masa yang sama sekiranya berlaku penyelewengan dan kemungkaran maka ia mesti dinasihati, ditegur dan dicegah agar dapat membendung dari kerosakan yang semakin teruk.

Amalan ini selaras dengan firman Allah SWT:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." - Surah Ali Imran : 104

Dan juga firman Allah SWT :

إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ

Maksudnya :" Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." - Surah al-'Asr : 3

Sebarang kemungkaran termasuk bersuara yang melanggar syariat serta mendatangkan kerosakan dan penyelewengan termasuk dalam kategori mungkar yang mesti dicegah berdasarkan kemampuan. Ia sebagaimana hadith dari Abu Said al-Khudri bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

Maksudnya : “ Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” - riwayat Muslim

▪️Garis Panduan Kebebasan Bersuara Menurut Perspektif Islam

Kebebasan yang diberikan hak oleh Islam kepada manusia bukanlah satu kebebasan tanpa displin sehingga mengakibatkan huru-hara dan kerosakan. Islam menetapkan sesuatu perkara dengan garis panduan dan sempadan agar kehidupan manusia terjamin dari kerosakan dan ia mendatangkan kebaikan, maslahat dan manfaat.

Setiap individu sama ada kalangan rakyat umum atau pemimpin tidak terkecuali kerana keadilan yang dibawakan oleh Islam adalah ke atas semua. Sehubungan itu garis panduan yang diberikan dalam kebebasan bersuara secara umumnya ialah :

a. Kebebasan bersuara bukanlah pada suara pada perkara yang tidak
mendatangkan faedah untuk diri, bangsa, dan agama.

Hadith dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

من حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya : "Antara yang menunjukkan keelokan Islam adalah dengan
meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah untuk dirinya." riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah

b. Kebebasan bersuara bukan dengan mengadakan perhimpunan atau majlis yang membincangkan perkara yang haram atau sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam. Firman Allah SWT:

لَّا خَیۡرَ فِی كَثِیرࣲ مِّن نَّجۡوَىٰهُمۡ إِلَّا مَنۡ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوۡ مَعۡرُوفٍ أَوۡ إِصۡلَـٰحِۭ بَیۡنَ ٱلنَّاسِۚ وَمَن یَفۡعَلۡ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱبۡتِغَاۤءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوۡفَ نُؤۡتِیهِ أَجۡرًا عَظِیمࣰا

Maksudnya : "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." - Surah an-Nisa' : 114

c. Kebebasan bersuara hendaklah menjauhi dari sebarang kata-kata kesat yang berbau penghinaan, cemuhan dan seumpamanya yang boleh mencetuskan perbalahan sesama manusia serta kerosakan umum.

Ini berdasarkan kepada hadith dari Abdullah ibn Mas'ud bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ

Maksudnya : "Seorang Mukmin yang sempurna imannya bukanlah seorang pengutuk, pelaknat, pelaku perkara-perkara keji dan bukan juga seorang yang bercakap kotor." - riwayat at-Tirmizi

d. Kebebasan bersuara bukanlah berkata apa sahaja menurut sesuka hati malah adabnya ialah menjauhi perkara yang sia-sia serta lebih elok berdiam dari berkata perkara yang tidak elok.

Firman Allah SWT :

وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ

Maksudnya : "Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia" - Surah al-Mu'minun : 3

Hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam" - riwayat al-Bukhari

▪️Kebebasan Bersuara Menurut Perspektif Barat

Kebebasan menurut perspektif Barat ialah dengan memberikan kebebasan kepada individu tanpa batasan. Merujuk kepada kontrak sosial versi Barat yang memaparkan teori pembangunan masyarakat berbentuk materialistik yang bebas daripada garis panduan keagamaan.

Muhammad al-Bahiy dalam kitabnya "al-Islam fi al-Waqi' al-Idiyuluji al-Muʿasir" menyatakan:

"Apa yang kita fahami aliran materialisme (kebendaan) menyeru kepada kebebasan, dan kami juga memahami kerohanian (keagamaan) hanya membawa kepada batasan dan statik, tetapi kami tidak memahami kebebasan sebagaimana pegangan materialisme adalah di antara bentuk kemajuan yang mengangkat manusia ke tahap kematangannya".

Ideologi Barat yang mucul atas nama apa pun adalah berasaskan matlamat yang sama pada dasarnya iaitu “view of life without god centric” yang bermaksud sudut pandangan kehidupan tanpa paksi ketuhanan. Kesannya kebebasan apa jua sekalipun termasuk kebebasan bersuara adalah satu konsep kebebasan mutlak tanpa memikirkan dosa dan pahala dalam sesuatu pertimbangan. Kebebasan yang tidak terikat dengan pandungan dan bimbingan agama. Kebebasan yang ingin dikecapi ialah pada soal memenuhi keinginan nafsu tanpa memahami neraca kebenaran yang sepatutnya dipatuhi.

▪️Agenda Barat dalam Kebebasan Bersuara

Barat yang memperjuangkan agenda kebebasan tidak lain adalah untuk memenuhi tiga jenis tuntutan individualisme yang iaitu :

1. Menghilangkan nilai akidah dan unsur kerohanian jiwa sehingga tiada pertimbangan dosa dan pahala.

2. Memperjuangkan kehendak manusia secara mutlak tanpa pedulikan peraturan agama.

3. Hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa mengambil kira pencabulan ke atas prinsip dan konsep hak secara keseluruhannya.

Ketiga-tiga agenda ini akan merosakkan kehidupan manusia malah menghancurkan ummah dan negara. Ini kerana nafsu yang diangkat akan menjadikan manusia sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan pertimbangan kebenaran menurut neraca agama.

Akhirnya, kebebasan bersuara menurut perspektif Barat ialah berkata apa sahaja demi keingingan nafsu tanpa mengira adab dan kesan negatif yang bakal tercetus.

▪️ Kebebasan Bersuara dan Akta Hasutan dalam Pengamalan di Malaysia

Akta Hasutan 1948 mula diperkenalkan pada zaman British, kemudiannya dikemaskini beberapa kali termasuklah melalui satu pindaan signifikan selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969. Akta ini diperkenalkan serentak dengan era darurat yang bermula tahun 1948 kerana ancaman komunis dan melalui perubahan penting selepas darurat 1969 diisytiharkan.

Asasnya Akta Hasutan ini untuk mengawal agar kebebasan bersuara tidak mengundang kesan negatif dengan sebarang hasutan terutama terhadap perkara prinsip dan kerukunan negara.

Sedangkan dalam Akta Hasutan juga telah memberikan definisi bagi hasutan serta penjelasan pengecualian dari termasuk definisi hasutan yang boleh disabitkan kesalahan bawah akta ini berdasarkan penjelasan pada Seksyen 3 (2). Boleh rujuk Akta Hasutan bagi perincian.

Namun isu yang berlaku mungkin pernah disalah guna oleh pihak kerajaan terdahulu menjadikan ia dilihat sebagai menutup kebebasan bersuara. Menjadikan golongan yang memperjuangkan kebebasan bersuara pro-Barat mahu memansuhkannya.

Sedangkan golongan ini tidak melihat isu yang asal pada hukuman ke atas Wan Ji apabila penggunaan bahasa yang sungguh biadap dan jelas menanam kebencian dengan menghina institusi DiRaja.

▪️Penutup

Dalam isu hukuman penjara ke atas Wan Ji adalah isu yang jelas dan wajar diberikan hukuman perdasarkan pertimbangan kebijaksanaan mahkamah agar soal prinsip dan kerukunan negara terpelihara dari sebarang unsur negatif yang boleh mendatangkan kekecohan dan kerosakan negara.

Dalam kebebasan bersuara, batasan menuruti panduan agama sangat penting agar kebebasan tidak disalah erti dengan menuruti perspektif Barat yang akhirnya merosakkan ummah dan kerosakan negara.

Justeru, golongan pro-Barat dalam tuntutan kebebasan bersuara dengan memainkan isu mansuh Akta Hasutan adalah tidak menghormati perundangan dan tidak menjunjung kehormatan kerukunan negara yang menjadi sendi penting asas tertegak negara seperti tidak sensitif pada penghinaan kepada institusi DiRaja.

Sehubungan, jika terdapat pada penyalahgunaan Akta Hasutan ini atas sesuatu peruntukan yang samar tafsirannya maka layak difikirkan tindakan hanya pindaan dengan perincian yang lebih baik tanpa mansuh secara total.

Dalam masa yang sama mengekalkan ketegasan terhadap pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dengan hasutan dan tidak memelihara kehormatan pada prinsip dan kerukunan negara.



Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget