NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Israel tahan menteri Palestin




RAMALLAH, 27 Syawal 1440H, Isnin – Rejim pengganas Israel menahan Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) bagi Hal Ehwal Baitulmaqdis, Fadi Al-Hadami semalam, lapor Agensi Anadolu.

Sepasukan polis Israel dilaporkan menyerbu kediaman Fadi di Baitulmaqdis Timur awal pagi semalam, kemudian menahannya.

Penahanan itu didakwa berikutan penganjuran aktiviti di bandar itu yang kononnya melanggar peraturan Israel.

Difahamkan, rumah menteri berkenaan turut digeledah dan telefon bimbitnya juga dirampas.

Peguam Fadi, Mohannad Jbara berkata, penangkapan itu susulan beberapa program yang turut disertai Presiden Chile ketika lawatan ke masjid al-Aqsa baru-baru ini.

Setelah disoal siasat, Fadi dibebaskan beberapa jam selepas ditahan, kata Mohannad.

Selasa lalu, Fadi bersama Presiden Chile, Sebastian Pinera melawat masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar kompleks itu.

Perkara itu menimbulkan kemarahan Israel, yang mendakwa bahawa lawatan itu sebagai mencabul peraturan dan melanggar persefahaman yang dicapai dengan Santiago membabitkan lawatan ketua negara.

Menurut Kementerian Luar Israel, kedua-dua negara bersetuju bahawa Pinera tidak akan ditemani oleh menteri atau pegawai Palestin.

Bagaimanapun, Chile dalam kenyataannya berkata, kunjungan Pinera itu hanya bersifat peribadi, dan kehadiran Fadi bukan sebahagian daripada protokol rasmi.

Tindakan Israel itu bukanlah kali pertama dilakukan, bahkan sebelum ini beberapa menteri PA dan Gabenor Baitulmaqdis juga pernah ditangkap.- Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/01/israel-tahan-menteri-palestin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo