NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Himpunan Hari Wanita, Jawapan Hanipa Dangkal


KUALA LUMPUR – PAS mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Hanipa Maidin menarik balik jawapannya berhubung himpunan hari wanita yang dianjurkan beberapa NGO di Dataran Merdeka pada 9 Mac lalu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawapan kononnya perhimpunan yang turut melibatkan kumpulan LGBT itu tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan sub seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau menjelaskan, jawapan itu amat dangkal dan mengecewakan, lebih lagi apabila polis pula mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Saya merujuk kepada jawapan Timbalan Menteri itu kepada soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof pada Selasa yang bertanyakan sebab kes tersebut diberhentikan siasatan oleh polis dan diklasifikasikan sebagai NFA.


“Soalan tersebut berkait dengan Himpunan Hari Wanita yang telah dianjurkan oleh beberapa NGO di Dataran Merdeka pada 9 Mac.

“Jawapan Mohamed Hanipa amat dangkal dan mengecewakan. Beliau memberitahu penganjuran himpunan tersebut yang melibatkan kumpulan LGBT tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan sub seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Mohamed Hanipa turut mendakwa pihak Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah mana-mana undang-undang untuk mendakwa apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan Islam.

Katanya, kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seharusnya tidak menjejaskan kepentingan awam dan bercanggah dengan prinsip moral.

“Jelas jawapan itu bercanggah dengan kenyataan asal Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada 9 Mac lalu yang mengatakan tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu berikutan notis dikemukakan kepada polis kurang 10 hari.

“Saya desak supaya jawapan Timbalan Menteri ditarik balik kerana ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan kenyataan polis.

“Jawapan tersebut dilihat tidak menjawab isu sebenar dan boleh mengelirukan orang ramai. Golongan LGBT perlu dirawat dan tidak dibiarkan terus berleluasa sehingga boleh menjejaskan kemaslahatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo