Gabung estet dengan Felda, peneroka tuntut penjelasan Dr M

oleh: Norhasnah Jamaluddin

Pada minggu lepas, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan pelan kerajaan untuk menggabungkan ladang-ladang para peneroka Felda kepada estet-estet besar.

Menurut pelan ini, estet-estet tersebut akan mempunyai keluasan kira-kira 405 hingga 850 hektar dan akan diuruskan oleh golongan yang terlatih dalam bidang pengurusan estet.

Seminggu kemudian, para peneroka masih tertanya-tanya tentang butiran pelan ini. Tun M seolah-olah telah mengumumkan sahaja pelan tersebut pada Hari Peneroka dan meninggalkan peneroka tanpa sebarang penjelasan.

Lihat sahaja dI media sosial, dalam kumpulan-kumpulan yang dianggotai warga Felda, majoriti besar menyatakan kekeliruan mereka terhadap pelan estet ini. Malahan ramai yang membantah tindakan mencantumkan ladang-ladang mereka kepada estet.

Kekurangan maklumat ini hanya menambahkan kekeliruan para peneroka Felda terhadap Kertas Putih yang dilancarkan pada April lalu.

Adakah penggabungan ladang kepada estet ini yang dimaksudkan dengan pengenalan ‘smart farming’ dan ‘precision agriculture’ seperti yang dibentangkan oleh Datuk Seri Azmin Ali semasa pembentangan Kertas Putih?

Tun Daim Zainuddin juga kerap menzahirkan galakannya untuk pertanian berteknologi tinggi seperti di China dan Belanda, namun tidak memberikan penjelasan yang kukuh dalam mengimplentasinya.


Penulis sendiri telah bertanya kepada beberapa orang peneroka di kawasan Felda Hulu Selangor dan ramai di antara mereka membantah konsep estet ini.

Bukanlah semuanya membantah. Para peneroka sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan daripada kerajaan, terutamanya dalam situasi harga minyak sawit yang rendah pada masa ini.

Jika ada pun yang terbuka dengan konsep ini, mereka menginginkan butiran yang lebih lanjut berkenaan perkara ini.

Seorang peneroka juga mengutarakan satu hujah yang perlu dipertimbangkan.

Setiap peneroka mempunyai ladang seluas 10 ekar dan masing-masing menguruskan tanaman mereka mengikut jadual sendiri.


Maka ada ladang yang tanamannya masih muda, pertengahan usia dan sudah tua. Adakah para peneroka yang mempunyai usia tanaman berbeza-beza dan tidak seragam ini sanggup menggabungkan ladang- ladang mereka kepada sebuah estet besar?

Dan yang lebih penting, bagaimanakah konsep estet ini akan mempengaruhi sumber pendapatan para peneroka? Adakah peneroka akan ditukar status kepada pekerja sahaja dan sekadar makan gaji dalam konsep ini?

Kenapa k'jaan tak berunding dengan peneroka?

Sebenarnya, satu taklimat tentang estet ini telah pun dirancangkan untuk makluman peneroka di kawasan Felda Hulu Selangor, yang merangkumi Felda Gedangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi.


Taklimat ini dijadualkan pada hari Sabtu, 13 Julai 2019 pada pukul 9.00 pagi.

Akan tetapi, pada malam Jumaat sebelumnya, peneroka telah diberitahu bahawa taklimat tersebut akan ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditentukan.

Ini membuatkan para peneroka dan penulis sekarang tertanya-tanya jika sebuah perancangan yang terperinci sudah dilaksanakan sebelum Tun Mahathir mengumumkan konsep yang radikal ini.

Konsep estet ini mampu merubah nilai-nilai teras Felda yang telah diamalkan sejak penubuhannya pada 1956.

Bukankah lebih elok jika kerajaan berunding dengan para peneroka secara peribadi dahulu dan bukannya terus diumumkan kepada pihak awam?

Jika hal itu berlaku, pastinya kekeliruan yang melanda para peneroka sekarang ini dapat dikurangkan. Akan tetapi, sekarang kita hanya boleh tunggu dan lihat jika kerajaan akan memberikan perincian tentang konsep estet ini secepat mungkin.

Malah penulis juga tertanya-tanya jika kita betul-betul mahu menyelamatkan Felda, adakah konsep estet ini yang diperlukan atau pun perubahan yang lebih serius perlu dilakukan terhadap pihak pengurusan atasan Felda.

NORHASNAH JAMALUDDIN ialah anak peneroka Felda dan kini jurutera di bandar besar Kuala Lumpur.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget