Akta Hasutan : Menjawab Kesombongan Hanipa Maidin


oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD
15 Julai 2019 | 12 Zulkaedah 1440

TIMBALAN Menteri Undang-Undang YB Hanipa Maidin tanpa segan silu mempamerkan watak sombong dan bongkaknya dalam menyanggah Kenyataan Media Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang yang menyeru agar Akta Hasutan dikekalkan dan jangan disalahguna. Selain dari menyifatkan kenyataan itu sebagai “merapu”, Hanipa Maidin mengarahkan TGHH “diam” dan “tutup mulut” kerana kononnya TGHH tidak mempunyai pengetahuan tentang Akta Hasutan.

2. Dalam satu kenyataan media semalam, Presiden PAS menyifatkan bahawa Akta Hasutan adalah perlu dikekalkan kerana kehebatan sesebuah negara adalah sangat bergantung kepada kehebatan undang-undang bagi merealisasikan dasar-dasar dalam perlembagaan, justeru peranan undang-undang adalah penting untuk memelihara kehidupan bermasyarakat yang seimbang dan menjaga segala kepentingan semua lapisan masyarakat dan ras yang pelbagai. Apa yang penting ialah ia tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Nyata sekali kenyataan ini sangat signifikan dalam meredakan tekanan melampau pihak-pihak yang ingin melihat Akta Hasutan dimansuhkan secara total.

3. Sehari sebelum itu, Timbalan Presiden PAS YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan yang sama, mendesak agar Kerajaan tidak terburu-buru menghapuskan Akta Hasutan, dan hendaklah mempertimbangkan semua faktor dan jangkaan masa hadapan demi menjaga kestabilan negara, kerana perbuatan menghasut dalam apa keadaan sekali pun berupaya mencetuskan ketegangan antara kaum serta akan menghumbangkan negara ke lembah kekacauan. Apa yang penting ialah Kerajaan hendaklah memastikan ia tidak disalahgunakan.

4. Malang sekali walau pun mendabik dada kononnya mempunyai pengetahuan yang luas tentang Akta itu kerana pernah “disiasat di bawah Akta itu” dan “pernah mewakili anakguam yang didakwa di bawah Akta itu”, YB Hanipa dengan angkuhnya menolak secara total pertimbangan kewajaran fakta dan keresahan masyarakat sebagaimana yang diutarakan oleh Presiden PAS. “Akta ini is inherently unjust law (Akta ini secara semulajadinya tidak adil)” – herdik Hanipa!

5. Sandaran utama YB Hanipa ialah kerana di bawah Akta Hasutan, “kebenaran kata-kata bukan pembelaan”. “Tiada keperluan untuk Pendakwaraya buktikan seseorang itu menghasut”. “Cenderung sahaja sudah dianggap salah”.

6. Dalam keangkuhan untuk menyanggah kenyataan Presiden PAS, disinilah tersembulnya sisi dangkal Timbalan Menteri Undang-Undang itu berkenaan sifat, fungsi dan peranan Akta Hasutan. Akta itu sendiri adalah bersifat “preventif (mencegah)” iaitu ia merupakan instrumen undang-undang yang memberikuasa untuk mengambil langkah-langkah pencegahan, sebelum sesuatu jenayah yang lebih besar dan tidak dapat dikawal berlaku. Jika sesuatu kekacauan sudah berlaku seperti rusuhan kaum, rusuhan agama bahkan kebencian melampau terhadap Raja-Raja Melayu sudah berlaku, maka ia sudah terlambat. Dikala itu Akta seperti ini tidak lagi berguna.

7. Situasi pencegahan ini tentulah tidak sama dengan perlakuan jenayah individu seperti mencuri (sekadar mengambil contoh dari Hanipa), menyamun, merogol dan merompak. Perlakuan jenayah individu adalah titik akhir kepada sesuatu perlakuan jenayah, dan ia akan berakhir dengan sabitan dan hukuman ke atas penjenayah terbabit. Maka undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas penjenayah secara individu adalah bersifat “reaktif (reactive)” iaitu “selepas sesuatu jenayah telah berlaku” dengan menghukum individu tersebut. Jenayah sudah berlaku, maka kerosakan juga telah berlaku. Justeru menggunakan analogi “cenderung mencuri” untuk disamakan dengan “cenderung menghasut” hanyalah lawak murahan yang tidak wajar keluar dari mulut seorang Timbalan Menteri Undang-Undang.

8. Benar, dibawah Akta Hasutan, cenderung menghasut sudah dianggap salah. Seksyen 1(1) Akta Hasutan memperuntukkan bahawa “seditious tendency” (kecenderungan menghasut) adalah antara lainnya tindakan yang membawa kebencian, penghinaan atau menyemarakkan api kebencian. Memandangkan Akta ini sifatnya mencegah sesuatu “hasutan” untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar, maka mengkanunkan kecenderungan menghasut sebagai suatu kesalahan adalah hal yang wajar.

9. Hal ini adalah penting kerana Akta Hasutan berfungsi untuk melindungi hasutan-hasutan yang boleh merungkaikan tonggak kenegaraan, yang meliputi hasutan terhadap apa-apa perkara, hak, status, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang diwujudkan atau dilindungi oleh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152 [kedudukan Bahasa Melayu], Perkara 153 [Reservasi Quota berkait dengan perkhidmatan, permit dan lain-lain untuk kaum Melayu dan anak-anak Negeri Sabah & Sarawak] dan Perkara 181 [kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidangkuasa Raja-Raja Melayu dan Ketua Adat Negeri Sembilan] serta hasutan-hasutan yang melibatkan kaum dan agama.

10.  Lantaran itu, Hanipa perlu memahami kewajaran prinsip “kebenaran kata-kata bukan pembelaan” dalam Akta Hasutan. Memandangkan sifat Akta Hasutan adalah untuk mencegah kekacauan yang lebih besar, maka sudah tentu “benar atau tidak sesuatu hasutan/tuduhan” itu tidak perlu dibahas atau dibicarakan di Mahkamah. Membuka ruang kepada perbicaraan tentang benar atau salah dalam isu-isu yang melibatkan Raja-Raja Melayu, Bahasa Kebangsaan, penghinaan ke atas Agama dan Kaum, atau Hak-hak keistimewaan Melayu dan Anak-anak Negeri Sabah & Sarawak, hanyalah menyemarakkan api hasutan yang sedia berlaku, dimana kesan akhirnya adalah kacau bilau dan huru-hara. Tiada guna mencari kepuasan diri jika kacau bilau sudah berlaku dan tidak dapat dipulihkan lagi. Apatah lagi dalam keadaan benar atau salah sesuatu hasutan itu, adalah bersandarkan perkara yang bersifat subjektif. Hal itu akan hanya semakin melebarkan jurang masyarakat dan merosakkan perpaduan kaum dan agama. Nyata sekali kita tidak pun perlu menjadi Timbalan Menteri Undang-Undang untuk memahami kebijksanaan (wisdom) di sebalik penggubalan Akta Hasutan.

11. Adalah juga wajar diingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen kaku yang tidak bernyawa. Ia tidak mengandungi apa-apa peruntukan hukuman terhadap sebarang perlanggaran, pencabulan dan keingkaran terhadap mana-mana peruntukkan Perlembagaan. Demikian sifatnya sebuah Perlembagaan yang hanya menggariskan konsep dan struktur kenegaraan. Perlembagaan Persekutuan hanya dapat dipelihara dan dilindungi melalui Akta-Akta yang berasingan, dimana Akta-Akta inilah yang akan menentukan samada sesuatu perlanggaran, pencabulan dan keingkaran terhadap peruntukan-peruntukan Perlembagaan sebagai suatu kesalahan. Justeru di sinilah peranan yang dijelmakan melalui Akta Hasutan, iaitu untuk menjadikan sebarang hasutan dan pencabulan terhadap tonggak-tonggak kenegaraan akan dihukum dengan sewajarnya. Nampaknya pengalaman luas disoal siasat sebagai suspek hasutan, atau menjadi Peguam kepada orang didakwa di bawah Akta Hasutan, masih belum mampu memungkinkan Hanipa untuk menghargai keperluan instrumen undang-undang untuk “memberi nyawa” kepada tonggak kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

12. Dalam pada itu, LUHAM bersetuju sekiranya undang-undang ini diberikan nafas baharu dengan beberapa pindaan yang boleh mengurangkan ruang penyalahgunaan seperti meminda atau memansuhkan rujukan kepada mana-mana Kerajaan dan pentadbiran keadilan di Malaysia atau mana-mana negeri. Dalam sebuah negara yang mendokong prinsip demokrasi, sudah tentulah kritikan terhadap Kerajaan adalah sebahagian dari proses semak dan imbang yang tidak wajar dikekang. Peruntukan yang berkait dengan “hasutan” terhadap Kerajaan pada kebiasaannya adalah bersifat politik, dan tidak mempunyai garis pemisah yang jelas. Kekaburan definisi “hasutan” terhadap Kerajaan sewajarnya dikemaskini untuk mengembalikan roh yang wajar kepada Akta Hasutan. Penilaian semula definisi dan keperluan menjadikan pentadbiran keadilan sebagai suatu subjek di bawah Akta Hasutan juga adalah sangat wajar.

13.  YB Hanipa barangkali terlupa, sebagai anggota Kerajaan dengan kapasiti selaku Timbalan Menteri Undang-Undang, beliau berada pada posisi terbaik untuk menyediakan cadangan mengemaskini dan meminda peruntukan yang dianggap “zalim” atau “cenderung kepada kezaliman” bagi mengembalikan atau memperbetulkan roh sebenar Akta Hasutan, dan bukannya memansuhkan secara total. Malang sekali, walau pun sudah diamanahkan posisi yang tepat, Hanipa lebih gemar membuang masa di Facebook, dengan mengutarakan hujah picisan dan disulami watak sombong yang memualkan.

Islam Memimpin Perpaduan

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD ialah Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat

Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget