NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pusat ‘latihan’ China paksa Uyghur tinggalkan agama, Amnesty tegur Mujahid



PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan hak asasi manusia tahu secara langsung "pusat latihan dan vokasional" di Xinjiang, China, yang menurut Menteri Mujahid Yusof Rawa dilawatinya baru-baru ini, memaksa orang Uyghur dan kaum berketurunan Turki lain meninggalkan agama mereka.

Amnesty International Malaysia berkata mereka itu ditahan di pusat-pusat berkenaan tanpa sebarang proses undang-undang kerana dianggap tidak setia pada pemerintah dan Parti Komunis China.

"Pihak berkuasa melabel kem-kem itu sebagai pusat 'transformasi menerusi pendidikan' tetapi kebanyakan orang menggelarnya kem 'pendidikan semula'," katanya Pengarah Eksekutif Shamini Darshni Kaliemuthu.

"Di kem-kem itu, mereka dikenakan indoktrinasi politik, dipaksa meninggalkan agama, dianiaya, dan dalam beberapa kes, didera."

Amnesty mengulas kenyataan Mujahid di Facebook tentang lawatannya ke "pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur", istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Menurut Mujahid, pusat itu menjalankan aktiviti "latihan perindustrian" seperti menjahit dan mengakhiri kenyatannya dengan #RahmatanLilAlamin.

Majoriti orang Uyghur dan kaum berketurunan Turki di China beragama Islam.

Amnesty berkata ramai pakar-pakar di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), badan-badan perjanjian, dan pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia bimbang akan situasi di Xinjiang dan meminta China memberikan akses tanpa sekatan ke rantau itu.

"China tidak memberi respon positif kepada permintaan ini," katanya, dan menambah sehingga September 2018, nasib lebih kurang 1 juta orang tidak diketahui.

"Amnesty menemuramah lebih 100 orang di luar China yang ahli keluarganya di Xinjiang masih hilang, serta individu yang mengatakan mereka diseksa sesama berada di kem tahanan."

Amnesty juga menarik perhatian kerajaan kepada seorang pelajar PhD di Universiti Teknologi Malaysia, Guligeina Tashimaimaiti yang tiada khabar berita sejak 26 September 2017 apabila dia pulang ke Xinjiang. - FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo