NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Alu-Alukan Pelantikan Latheefa Koya - Abdul Hadi


KUALA TERENGGANU, 8 Jun - PAS mengalu-alukan dan menyokong pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang turut mempersoalkan sikap segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih Latheefa Koya.

Katanya lagi, Setiausaha Agung PAS telah pun membuat kenyataan dan juga keputusan parti.

"Terpulang kepada Perdana Menteri untuk pilih siapa yang dia nak, kalau kepemimpinan PH boleh pilih dia (Dr. Mahathir) jadi Perdana Menteri mengapa tak boleh setuju apabila dia pilih Latheefa?

"Pelantikan itu hak Perdana Menteri. Apa yang penting ialah Latheefa perlu membuktikan kemampuannya apabila melaksanakan tugas kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Perantau 2019di Dewan Besar Taman Tamadun Islam, Pulau Warisan, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengalu-alukan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dan menggesa peguam itu membuktikan bahawa dia boleh melakukan tugas tanpa memihak.

"PAS yakin Latheefa Koya adalah seorang yang berkelayakan dan berperwatakan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.

"Walau bagaimanapun beliau perlu membuktikan dengan lebih jelas bahawa beliau boleh melaksanakan tugas jawatan tersebut dengan ‘tanpa takut atau memihak’ (without fear or favour) demi memerangi gejala rasuah di semua peringkat," kata kenyataan media yang dikeluarkan oleh Takiyuddin baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Hadi turut memberi jaminan PAS sentiasa terbuka untuk disiasat di bawah kepemimpinan baharu SPRM itu sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam parti.

"PAS tidak terlibat dengan apa-apa perkara yang menyalahi undang-undang dan saya pernah buat kenyataan dahulu yang kerajaan kita di Kelantan dan Terengganu sentiasa terbuka untuk disiasat SPRM. Kita mahukan sebuah kerajaan yang bersih," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo