NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muafakat Menjunjung Titah Tuanku Sultan Selangor



Berikutan titah Tuanku Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shahyang menzahirkan rasa dukacita akan permasalahan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan melihat kini sudah sampai ke tahap yang amat kritikal, menitah agar perpecahan ini segera ditangani supaya gejala perpecahan di kalangan orang Melayu tidak sampai ke tahap parah.


Sama seperti apa yang dilihat oleh Baginda Tuanku Sultan Selangor, MUAFAKAT juga melihat perkara perbalahan dan pertelingkahan sesama Melayu hari ini sudah sampai ke tahap parah apabila ia dilakukan secara terbuka dan di mana-mana sahaja termasuklah di media sosial dan media arus perdana.

Perbalahan ini mencakupi semua aspek dari perkara tidak begitu besar tetapi diperbesar-besarkan sehinggalah kepada perkara remeh yang sengaja dijadikan punca kepada pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan yang ketara.

Fitnah dengan penuh hasad dengki, pengkhianatan dan kesumat saling membenci dipamerkan terang-terangan seolah-olah dijadikan semacam satu budaya di kalangan orang Melayu dan lebih mendukacitakan kita merupakan penganut agama Islam yang diajar supaya sentiasa mengutamakan penerapan nilai-nilai murni dalam diri sebagaimana diajar dalam ilmu tasawuf, namun ia tidak diamalkan, seolah-olah mereka lupa bahawa batas-batas agama menghalang berlakunya perpecahan dan pertelingkahan yang semuanya berpunca daripada masalah hati.

MUAFAKAT amat bersetuju dengan nasihat Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut mengingatkan orang Melayu bahawa perbalahan tidak membawa sebarang manfaat dan kita bakal kehilangan segala-galanya, baik hak beragama, hak membangunkan ekonomi, hak mentadbir dalam politik dan hak mendapat pendidikan yang sempurna sekiranya perpecahan terus-menerus berlaku dan akibatnya kehidupan jadi porak-peranda lalu akan ada pihak lain yang mendapat keuntungan dari perpecahan sesama kita.

“Adakah kita mahu melihat suatu hari nanti orang Melayu hidup merempat dan menjadi hamba di tanah air tempat tumpah darah kita sendiri? Adakah kita mahu melihat orang Melayu dijajah dari segi agama, ekonomi, kuasa politik, pendidikan, pemikiran dan pelbagai aspek kehidupan yang lain?” tegas Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda yakin semua perkara yang baginda sebutkan akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat jika permasalahan ini tidak segera diatasi.

Baginda bertitah, sebagai Raja di Selangor, “Bersatu tidak bermakna dirinya seorang ‘racist’ kerana rakyat sentiasa mahu dapat hidup dalam keadaan selesa, harmoni serta menikmati kekayaan negara secara adil dan sama rata.”

Dan baginda menyeru semua orang Melayu supaya bersatu-padu dan mengenepikan perbalahan tanpa mengira parti politik dan menghentikan segala budaya politik retorik serta tidak lagi melabelkan kaumnya sendiri dengan pelbagai kecaman negatif seperti kata malas, bodoh dan lemah.

MUAFAKAT yakin dengan sokongan kuat daripada baginda dan kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu akan perkara ini nescaya orang Melayu akan dapat bersatu semula dan memupuk perpaduan erat, dan sebarang kelemahan boleh diatasi jika sesama Melayu sentiasa mengamalkan sikap berbaik sangka, tiada hasad dengki, tiada pengkhianatan, tidak berdendam, tetapi saling mahu bekerjasama, bantu-membantu serta tidak mementingkan diri sendiri.

“Para pemimpin Melayu perlu memainkan peranan untuk membantu orang Melayu secara efektif tanpa memberi cercaan dan jolokan tidak baik terhadap kaum sendiri hingga menyebabkan orang Melayu terus lemah dan hilang keyakinan. Pemimpin Melayu jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek dan hanya semata-mata mencari populariti dalam satu kumpulan tertentu sehingga mengenepikan perkara asas dalam memelihara kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya,”titah baginda.

Sejarah hitam kejatuhan empayar Kesultanan Melaka suatu masa dulu akibat wujudnya sifat hasad dengki, khianat, tamak, perpecahan dan perebutan kuasa, adalah contoh terbaik, dan Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan orang Melayu supaya sentiasa belajar dan mengambil iktibar daripada kesilapan yang lampau itu.

“Beta berkeyakinan penuh jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama erat, tiada rintangan yang tidak dapat diatasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula seterusnya menjadi satu bangsa yang kuat dan bermaruah,”titah baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika berkenan merasmikan Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25 baru-baru ini.

BANGKITLAH MELAYU akan menjadi pembakar semangat aktivis MUAFAKAT dalam semua gerak kerja persatuan bagi menjayakan titah perintah Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, in sya’ Allah.

DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!

Haji Rashidi Haris
Ketua Media MUAFAKAT

https://www.editormalaysia.com/10263/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo