NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengenali Pimpinan PAS Yang Dipilih Oleh Perwakilan Muktamar Kali 65.


MENGENALI PIMPINAN PAS YANG DIPILIH OLEH PERWAKILAN MUKTAMAR KALI 65.

Oleh : Dr  Riduan Mohamad Nor

Perwakilan  Muktamar telah memilih saf  kepimpinan sesi 2019-2021, membariskan calon-calon pelbagai latarbelakang untuk menggerakkan nakhoda kepimpinan PAS di zaman yang semakin mencabar ini .PAS diratib namanya oleh kawan dan musuh atas apa jua alasan, menunjukkan harakatul ummah ini sangat relevan dan signifikan  dalam iklim politik dan dakwah dalam negara ini. 

Ustaz Khalil Abdul Hadi,mantan Ketua Dewan Pemuda sesi lepas yang mendapat undi paling tinggi kali ini. Anak butir Presiden PAS ini adalah ADUN Batu Buruk yang mendapat pendidikan di Pakistan,Yaman, United Kingdom dan sedang menyiapkan ijazah Kedoktoran.  Suami kepada Dr Farhana Hasbullah ini juga memiliki lima orang cahayamata. Beliau mengikuti misi "Food Flotilla For Mynmar " pada Februari 2017.

Mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang energetik, Hajjah Siti Zailah Yusuf. Seorang tokoh muslimah yang semenjak muda bergulat dimedan jamaah. Alumni UITM dan juga mendapat pendidikan pondok, wanita besi ini terkenal kerana reputasinya membantu rakyat di Kelantan. 

Exco kerajaan Kelantan potfolio Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Dr Fadzli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam kajian Pengislaman  undang-undang Perlembagaan. Anakanda kepada Almarhum Ustaz Hasan Kaabah yang juga pemimpin PAS Kelantan.

Dato Ar. Iskandar Abdul Samad, alumni MCKK yang membesar di Lembah Klang. Beliau belajar Senibina di Universiti Humberside United Kingdom . Semenjak usia muda membangunkan kerja jamaah di kawasan Ampang dan Pandan. Mantan Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan kerajaan Selangor selama dua penggal.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS  Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid dan konsert-konsert hedonisme yang lain. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales, United Kingdom . Dr Mohd Zuhdi adalah bekas pensyarah kanan Universiti Malaya, kini beliau adalah Rektor KUIZM.

Anak kepada tokoh agama di Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin bin Sheikh Fakhrurazi, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah sebelum ini juga  merupakan tokoh pendidikan . Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Syariah Undang-Undang daripada UKM,  dan MA dalam Undang-Undang Perbandingan di UIAM. Manakala,  mantan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah ini berdoktorat Pengajian Islam di UKM. 

Ustaz Solehen Mukhyi, mantan Exco kerajaan Selangor dan mantan ADUN Sabak adalah tokoh gerakan mahasiswa di zaman mudanya, iaitu Presiden Ikatan Studi Islam UKM.  Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Anak tuan guru pondok yang terkenal di Pasir Mas, Ustaz Dato' Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan potfolio Penerangan ,Agama dan Seranta yang juga  dijoloki sebagai "Singa PAS". Tokoh agama ini popular dengan kuliah dan ceramah yang berapi dan menarik pendengar.

 Berdarah keturunan Cina serta aktivis tegar Yayasan Amal Malaysia, Dr Halimah Ali dilahirkan di Marudi Sarawak, mantan Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania,  mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperolehi Ijazah Perubatan daripada Universiti Tasmania. Mantan Exco Selangor dan mantan ADUN Selat Klang ini juga mempunyai Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Pengerusi alumni Pondok Pasir Tumbuh Kelantan dan juga penulis prolifik , Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Beliau juga merupakan pengasas kepada Kompleks  Pendidikan An Nur di Kuantan, Pahang. Suami kepada dua isteri ini adalah bekas tahanan ISA yang pernah mendekam dalam tahanan tanpa bicara.

Pensyarah sebuah kampus tempatan yang juga mantan pendidik Kementerian Pendidikan, Ustaz Misbah Munir Masduki, mantan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga aktivis Yayasan Amal Malaysia merupakan lulusan Universiti Malaya untuk Ijazah Pertama. Mendapat MA (Sains Politik) daripada UKM. Calon PhD ini juga ialah Mudir Pusat Dakwah Serantau (PDS) yang aktif mencetak kader-kader dakwah. 

Exco Pertanian kerajaan Terengganu yang juga ADUN Jabi mendapat undi kedua tertinggi ,Dr Azman Ibrahim adalah anak  kelahiran Besut Terengganu pula mendapat pendidikan di Matrikulasi Universiti Malaya. Mendapat Ijazah Pergigian di Universiti Baghdad Iraq, seterusnya berkhidmat dengan Hospital kerajaan sebelum mempunyai Kliniknya sendiri di Kubang Kerian Kelantan. Azman juga adalah pengasas grup penulis dan wartawan yang dikenali sebagai KAMI.

Anak Perak yang berjaya, Dr Najihatussalehah Ahmad, merupakan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat yang aktif. Beliau bergraduat daripada Universiti Malaya dalam bidang Perubatan dan aktif dengan gerakan Mahasiswa Islam semenjak di alam kampus. Figura ini mempunyai keunikan lain seperti mampu berbahasa mandarin dan aktif dalam kerja kebajikan.

Berasal daripada Kelantan serta usahawan minyak  yang berjaya, Kamaruzaman Mohamad,mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ialah penggerak utama bantahan awam di negara ini. Beliau memiliki ijazah Sains Pendidikan daripada kampus UPM serta Ijazah Sarjana daripada Universiti yang sama dalam bidang Pengurusan Teknologi Maklumat. Figura  ini juga adalah calon PhD di sebuah universiti tempatan.

Mantan Ketua DPPM, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok  yang juga mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia  ialah satu-satunya anak almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlibat secara aktif dalam PAS diperingkat nasional. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Deoband India, seterusnya ke Universiti al Azhar Mesir.

Dr Khairuddin At Takiri Ahli Parlimen Kuala Nerus adalah bekas pensyarah kanan UKM . Beliau mengideakan konsep pasaraya wakaf dan masih dalam pembinaan di Dungun Terengganu. Beliau terlibat dengan perniagaan kosmetik, pakaian , penerbitan dan lain- lain. Mendapat ijazah Pertama dan MA di Jordan, berdoktorat daripada UKM. 

Ustaz Nasrudin Hasan anak kelahiran Besut yang pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Dibesarkan di Rompin , bermukim ilmu di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan, Pondok Sungai Durian, Syria dan Al Azhar Mesir. Beliau penulis yang prolifik , mantan Ahli Parlimen Temerloh pada sesi 2013-2018.

Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UITM,  johan Pidato peringkat  kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM di zaman kampus , mendapat ijazah Pertama dan MA daripada UKM Bangi . Ustaz Idris Ahmad pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sesi 2013-2018. Beliau memimpin Lujnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS dengan berkesan dengan penyusunan kurikulum yang sistematik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga ADUN Panchor, Dato Nik Amar Nik Abdullah, bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi Kelantan. Wataknya sederhana dan mudah didekati , mewarisi darah ulama terkenal tanahair kita, iaitu Tok Ayah Kedah.  Anak tokoh PAS Kelantan yang tersohor,  Ustaz Nik Abdullah Arshad, beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham United Kingdom. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM .

Anak Besut yang kini Naib Presiden PAS paling muda, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar adalah Menteri Besar Terengganu yang mendapat sorotan media paling lumayan. Mantan Setpol Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini ialah pakar aero angkasa Malaysia, mendapat pendidikan tinggi di UKM dan berdoktorat daripada Universiti Leeds United Kingdom. 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat mulai 2013, Penyelaras Parlimen Besut)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo