Kerajaan PH defisit integriti?


oleh: Hazwan Mohamad

1.Setahun berlalu, Pakatan Harapan menduduki Putrajaya. Umum mengetahui bahawa PH memenangi undi di Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu adalah hasil dari kelemahan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang dituduh penuh rasuah dan kleptokrat.

2.PH, lantas menjanjikan sesuatu yang kononnya lebih baik dan manis. Selain dari menjanjikan bulan dan bintang kepada anak muda seperti tol dihapuskan, harga barang diturunkan, PTPTN dihapuskan dan harga minyak murah, PH juga turut secara tidak langsung menjanjikan sebuah pemerintahan yang lebih berintegriti, berkeyakinan dan mampan.

3.Maka semua janji-janji diatas kelihatan indah belaka sebelum tanggal 9 Mei 2018. Menyebabkan ramai anak muda, memangkah mereka.

4.Namun segalanya berubah apabila sudah berada dipuncak kuasanya. Lain pula ceritanya. Bulan dan bintang yang dijanjikan akhirnya satu persatu gugur menyembah bumi.

5.Malah ada ketika, perubahan yang didambakan kelihatan lebih memburuk dari apa yang sudah terlaksana oleh kerajaan terdahulu.

KONSEP RAHMATAN YANG DISELEWENG

6.Salah satunya adalah apabila kegagalan kerajaan PH membendung kemaraan golongan liberal pasca 9 Mei. PH memang sudah lama terlihat ‘mesra-liberal’. Maka tidak hairanlah kelompok liberal benar-benar mengambil manfaat terhadap kemenangan PH.

7.Antara peristiwa hitam awal adalah ketikamana Menteri Agama, Mujahid Rawa membuat sidang media bersama dengan tokoh utama gerakan LGBT di Malaysia iaitu Saudara Nisha Ayub yang lantas menggemparkan apabila golongan ‘maknyah’ atau transgender ini dibenarkan untuk menggunakan tandas wanita.

8.Paling banyak yang mengambil manfaat adalah pejuang LGBT ini, bukan sekadar berarak di ibu kota sambil melaung ‘Hidup LGBT’ malah wakil mereka juga turut mendapat tempat bersuara di pentas PBB.

9.Belum bercerita bagaimana buku-buku tulisan aktivis liberal Arshad Manji dan tulisan pro-Syiah yang dahulunya diharamkan kini diterima untuk memasuki Malaysia lagi.

10.Konsep Rahmatan Lil ‘alamin yang diselewengkan oleh Menteri Agama kini sedang benar-benar menghantui umat Islam. Tak hairanlah umat Islam berasa tertekan dan tertindas, mana tidaknya, konsep ini seolah-olah membenarkan apa sahaja yang orang bukan Islam buat kepada kesucian agama Islam. Sedang Islam menganjurkan untuk kita berbuat baik kepada semua namun tidak bermakna kita berlembut terhadap mana-mana perbuatan yang mencemari kedaulatan dan nama baik agama Islam.

INTEGRITI PEGUAM NEGARA

11.Tidak kurang juga jika kita meneliti keputusan mahkamah pasca 9 Mei. Sejak Peguam Negara bukan Islam pertama dilantik iaitu Tommy Thomas, negara dikejutkan dengan terkejutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika Peguam Negara itu membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah banglo. Tambah curiga apabila SPRM menegaskan perkara tersebut ditarik balik oleh Peguam Negara dan bukan atas keputusan SPRM.

12.Juga sedang berlangsung kini kes panas Terowong Dasar Laut yang juga mungkin turut melibatkan Menteri Kewangan.

13.Integriti Tommy sekali lagi menjadi pertikaian apabila kecoh satu negara tersebarnya video beliau bersama dengan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dalam satu majlis tari menari dan juga kelihatan seorang aktivitis Peguam kontroversi bernama Siti Kasim.

14.Siti Kasim yang dituduh dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan ketika pemerintahan Barisan Nasional tahun lalu atas dakwaan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum berkenaan RUU 355 uga akhirnya tidak jadi didakwa atas keputusan Jabatan Peguam Negara dibawah Tommy Thomas sebulan selepas tersebarnya video tari menari.

15.Kemudian Peguam Negara ini sekali lagi mencetuskan kecurigaan apabila membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan (nolle prosequi) ke atas seorang warga Indonesia yang merupakan salah seorang tertuduh kes bunuh warga Korea Utara Kim Jong Nam. Namun pada masa yang sama mengekalkan seorang lagi tertuduh warganegara Vietnam. Kes ini menjadi perhatian antarabangsa yang turut mempersoalkan tindakan Tommy.

16. Terbaharu, dalam isu yang paling sensitif bagi seluruh bangsa Melayu iaitu kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib, seorang anggota bomba yang terbunuh dalam kes rusuhan kuil. Pelbagai bukti dan petunjuk bahawa wujudnya campur tangan kerajaan terutama melalui Peguam Negara ini bagi menutup kebenaran!

SIJIL PALSU

17..Turut menjadi igauan kerajaan Malaysia Baharu ini adalah penipuan ijazah di kalangan Menteri Kabinet. Saya ulang, dikalangan Menteri Kabinet. Individu yang sepatutnya menjadi tulang belakang integriti sesebuah negara, kini dibayangi kes penipuan sijil.

18.Bermula dengan kontroversi ijazah ‘Cambridge’ yang dimiliki Timbalan Menteri Luar Negeri dari Bersatu seterusnya kepada persoalan kelulusan Menteri Pertahanan dari PAN, Menteri Kewangan dari DAP sekali lagi dan Menteri Perumahan dari PKR. Tidak terlepas diperingkat negeri juga dua menteri besar turut terpalit isu ijazah palsu iaitu bekas MB Johor dan Perak kedua-duanya dari Bersatu.

19.Bukanlah nilai sijil itu yang menjadi ukurannya, tetapi isunya adalah sikap integriti individu itu sendiri. Mana mungkin rakyat boleh mengharap pada seorang Menteri untuk menjalankan urustadbir negara dengan penuh integriti sedang sijilnya sendiri adalah palsu!

KESIMPULAN

20.Saya kira cukuplah tiga perkara ini dahulu untuk saya coretkan dalam isu integriti kerajaan PH hari ini. Bayangkan dalam keaaan rakyat disuruh untuk bersabar dan memberi ruang serta peluang untuk mereka membangunkan dan membaiki negara, namun apa yang rakyat dapat hasil kesabaran? Sedikit demi sedikit tindak tanduk mereka menjarah kepercayaan dan meninggalkan mereka dengan defisit integriti yang seharusnya dibuang dengan segera. Dibahagian kedua nanti saya akan tulis berkenaan bagaimana defisit integriti kerajaan PH terhadap dasar dan polisi pentadbiran mereka pula.

Rakyat Bangkit!

Hazwan Mohamad ialah Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA
Presiden Professional Muslim Community (PMC)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget