Iftar Di Rumah Ibadat Bukan Islam Bertentangan Syarak


ALOR SETAR – Pelaksanaan ibadat di rumah ibadat bukan Islam termasuk berbuka puasa adalah bertentangan dengan konsep ibadat orang Islam mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Mufti negeri, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, tujuan utama sesuatu ibadat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menyemarakkan syiar Islam.

Menurutnya, suasana rumah ibadat bukan Islam yang terdapat gambar patung yang dipuja, binatang, lambang dan simbol serta tulisan yang jauh tersasar daripada roh Islam dikhuatiri boleh membawa perbuatan syirik kepada Allah.

"Mutakhir ini timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai isu berkaitan ibadat khusus orang Islam yang dilaksanakan di rumah ibadat orang bukan Islam seperti solat, berbuka puasa, tadarus, sahur dan seumpamanya.

"Berdasarkan nas-nas yang ada, Jabatan Mufti Negeri Kedah berpandangan bahawa melaksanakan ibadat khusus untuk umat Islam di rumah ibadat bukan Islam adalah makruh yang hampir kepada haram.

"Hal ini kerana implikasi perbuatan itu akan mengundang kemudaratan yang lebih besar berbanding maslahah ke atasnya," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syeikh Fadzil berkata, Islam adalah agama berbeza dengan agama lain dan setiap ibadat yang dianjurkan terdapat kaedah dan kemuliaan yang tersendiri sama ada dari sudut masa, tempat dan kualiti.

"Contohnya, fadilat solat di masjid berbanding di tempat lain, fadhilat bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain yang terdapat rahsia-rahsia tertentu eksklusif untuk umat Islam sahaja," ujarnya

Kata beliau, pandangan tersebut juga selaras dengan konsep Maqasid Syariah yang amat dituntut dalam Islam iaitu memelihara agama serta kaedah Usuliyyah iaitu menolak kerosakan lebih utama daripada mencari kemaslahatan dan menutup pintu-pintu kemudaratan.

Justeru, Syeikh Fadzil berkata, mana-mana pihak yang berhasrat meraikan kepelbagaian beragama atas dasar membina perpaduan dan keharmonian kaum disyorkan memilih platform lain demi mengelak timbul fitnah terhadap aqidah umat Islam.

Malah, tambah beliau, perkara itu juga dapat mengelak persepsi negatif masyarakat Islam kononnya ibadat boleh dilakukan di rumah ibadat bukan Islam kerana Allah telah menentukan setiap agama mempunyai rumah ibadat tersendiri agar dapat membezakan identiti agama.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir tetap meneruskan majlis berbuka puasa di kuil agama Sikh di Gurdwara Sahib, Johor biarpun mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak. – UTUSAN ONLINE
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget