Hari raya cara Rasulullah


oleh: Mohd Rizal Azman Rifin

Masa berlalu begitu pantas. Dalam keasyikan melaksanakan ibadat pada Ramadan ini, akhirnya ia bakal meninggalkan kita beberapa hari lagi.

Apakah kita masih berpeluang bertemu lagi bulan Ramadan pada tahun akan datang?

Ramadan meninggalkan begitu banyak kesan dalam kehidupan beramal kepada Allah SWT serta amal kebajikan sesama manusia.

Masing-masing tidak mahu ketinggalan menyertai 'perlumbaan' meraih keberkatan dan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT.

Sebelum Ramadan, masjid hanya penuh ketika solat Jumaat saja. Pada bulan Ramadan satu transformasi berlaku tanpa dipaksa-paksa.

Pada fasa awal Ramadan ruang solat di masjid biasanya sudah dipenuhi jemaah. Namun, menjelang fasa kedua, semangat ke masjid menjadi berkurangan dan yang tinggal hanya beberapa saf saja.

Ketika satu Syawal begitu dinanti, kekuatan dan semangat mengimarahkan Ramadan semakin terhakis. Alunan lagu raya mengambil alih perhatian umat Islam daripada menumpukan kepada ibadat.

Kesempatan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan amal ibadat pada akhir Ramadan bertukar menjadi 'perlumbaan' mempersiapkan diri dan keluarga menyambut raya.

Tiada salahnya kita untuk menzahirkan rasa kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri kerana ia adalah hadiah Allah SWT atas kemenangan hamba-hamba-Nya menahan nafsu sepanjang Ramadan.

Menjelang ketibaan Syawal ini, kita perlu kembalikan semangat meraikan Aidilfitri mengikut gaya Baginda SAW supaya kegembiraan sambutannya beroleh pahala dan keberkatan di sisi-Nya.

Beberapa amalan sunah patut dilaksanakan pada sambutan Aidilfitri nanti antaranya mengenakan pakaian baharu.

Sahabat Baginda, Jabir pernah memberitahu, "Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari Jumaat." (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan Abdullah bin Umar akan mengenakan sebaik-baik pakaian pada hari raya. Maka, berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah amalan sunah yang pernah dilakukan Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Selain itu, kita juga dianjurkan mandi sunat hari raya sebelum keluar rumah untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya.

Imam Malik melaporkan, Abdullah bin Umar akan mandi terlebih dahulu pada hari raya Aidifitri sebelum beliau berangkat menunaikan solat sunat hari raya.

Imam An-Nawawi memberitahu amalan mandi sunat sebelum menunaikan solat hari raya disepakati dalam kalangan ulama.

Seperkara lagi adalah menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid bagi melaksanakan solat hari raya.

Rasulullah SAW dikatakan tidak akan keluar dari rumahnya pada hari raya melainkan Baginda memakan beberapa biji buah tamar terlebih dahulu.

Kita disunatkan makan apa saja hidangan dalam kadar sedikit bagi mengalas perut. Amalan itu adalah simbol hari kemenangan dan umat Islam diharamkan berpuasa.

Tidak menjadi halangan untuk makan apa yang terhidang sebelum ke masjid, namun amalan makan kurma itu sesuatu yang sangat digalakkan kerana ia sebahagian sunah Rasulullah SAW.

Seterusnya, bertakbir ketika keluar dari rumah. Sahabat Baginda sentiasa melakukannya ketika mereka keluar rumah menuju ke tempat solat hari raya.

Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan, Abdullah bin Umar akan bertakbir bermula saja beliau melangkah kakinya keluar rumah sehinggalah beliau tiba di tempat solat.

Sunah paling afdal dan terbesar adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah. Pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, solat Aidifitri dilakukan di kawasan lapang dan terbuka.

Ummu Athiyyah memberitahu, "Rasulullah memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada hamba, wanita yang uzur dan juga pemudi. Wanita uzur hendaklah menjauhi tempat solat dan saksikanlah kebaikan serta seruan kaum Muslimin." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Begitu juga dengan amalan bermaaf-maafan yang tidak dapat dipisahkan daripada sambutan hari raya. Kita dianjurkan membuka lembaran baharu dengan saling bermaafan.

Semoga Aidilfitri ini memberikan kita keberkatan dan ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT sama seperti apa yang kita harapkan pada bulan Ramadan ini.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget