NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Doa Untuk UMNO

oleh: Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

Muktamar PAS ke-65 - Doa Untuk UMNO

Kini saya berdoa untuk UMNO. Saya berdoa semoga UMNO berubah dan menang kembali. Dulu sebaliknya. Dulu, saya berdoa dan aminkan doa agar UMNO kalah dan hancur.

Ada yang teragak-agak. Kata mereka, muafakat dengan UMNO akan memberi nyawa kepada UMNO. Bukankah itu melanggar doa sendiri?

Saya berkata, UMNO telah pun kalah. Tiada kekalahan sebesar kekalahan hilang kuasa di Putrajaya yang dikuasai UMNO lebih 60 tahun. Ia kesakitan yang melebihi kesakitan yang telah dialami oleh PAS pada sepanjang zaman melawan UMNO. Kekalahan UMNO adalah penawar bagi PAS. Doa ahli PAS diterima Allah.

UMNO kalah, tapi tidak hancur sebagaimana doa dan kehendak ahli dan penyokong PAS. Itu kehendak Allah. Kalah, tetapi tidak hancur. UMNO masih hidup di Parlimen dan di mana-mana. Bezanya, UMNO kini tewas dan menjadi pembangkang. Lebih PAS sikit. PAS kekal pembangkang, tetapi menambah jumlah kemenangannya.

Ada yang menyoal, mengapa tidak terus berdoa agar selepas kalah, UMNO terus hancur dan tak hidup-hidup lagi?

Saya berkata, dulu kita berdoa agar UMNO kalah dan hancur kerana UMNO zalim. Zalim dengan kuasa di tangan. Tak perlulah dibilang-bilang kezaliman UMNO. Jenuh nak bilang.

Kini dengan kekalahan dan tanpa kuasa, kezaliman baharu sudah tiada daripada UMNO. Ada UMNO zalim hari ini? Tak ada. Yang ada adalah bebanan kezaliman lampau. UMNO terpaksa memikulnya hari ini. Itu hukum alam. Hukum alam adalah hukum daripada Allah, tuhan pencipta alam, isi dan sistemnya.

Kemudian, UMNO datang kepada PAS dan meminta maaf atas kesalahan lampau. Ia dibuat secara terbuka. Semua tahu. Mereka bahkan mahu bersama bermuafakat.

Adakah boleh terus mendoakan keburukan ke atas mereka yang telah memohon maaf secara terbuka dan berjanji untuk bermuafakat?

PAS berjiwa besar. Perbalahan sesama umat bukan untuk selamanya. Bahkan ia mesti dicari sebab dan puncanya, seterusnya dihilangkan dan diikat semula talinya . Di antara kewajiban khilafah di muka bumi adalah memupuk dan mengukuhkan persaudaran sesama muslim. Muslim adalah bersaudara seluruhnya. Itu mukjizat agama. Agama menyatu padukan umat manusia.

Ada yang bersoal lagi, UMNO akan tipu lagi selepas beroleh kuasa. PAS akan tertipu lagi.

Saya berkata, itu telahan, sangkaan dan amaran terhadap bahaya menanti. Sangkaan dan amaran tidak boleh menghentikan langkah dan perjalanan. Jalan terus dan berhati-hatilah. Bahkan, bergabunglah dengan janji Allah dengan bertawakal kepada-Nya. Tiada sebarang tipu daya kecuali kejahatannya akan kembali kepada tuannya.

ŁˆŁ„Ų§ ŁŠŲ­ŁŠŁ‚ Ų§Ł„Ł…ŁƒŲ± Ų§Ł„Ų³ŁŠŲ¦ Ų„Ł„Ų§ ŲØŲ£Ł‡Ł„Ł‡ - Ų³ŁˆŲ±Ų© ŁŲ§Ų·Ų±:Ł¤Ł£

UMNO telah merasai keperitan itu. PAS pula kekal melepasi tipu daya musuh politiknya dari dalam dan luar kerana kebergantungannya kepada Allah dan janjinya.

Oh ya, daripada asyik menanti UMNO menipu PAS, marilah sedar bahawa PH sedang menipu rakyat seluruhnya. Tinggalkan PH dan datanglah kepada PAS yang sedang melangkah gagah memimpin perpaduan umat.

UMNO dan PAS sedang menjalin ta'awun dan terus mengukuhkannya. Muktamar PAS kali ke-65 telah menerima usul meneruskan ta'awun dan tahaluf PAS-UMNO. Ia satu sejarah sedang dilakar.

Mengapa bimbang UMNO bernafas? Apa erti muafakat, kerjasama dan ta'awun jika mahu UMNO tak lagi bernafas? Itu bukanlah akhlak yang mulia. Ia mendekati sifat nifaq yang terkeji.

Bahkan, itu hanyalah tipu daya PAN-DAP yang nyata dan jelas.

Jika anda bertanya, apa lagi doa ustaz? Saya jawab, saya berdoa untuk kekalahan dan kehancuran PH. Itu doa saya dan amin saya untuk doa presiden PAS.

Ų„Ł† ŁŁ‰ Ų°Ł„Łƒ Ł„Ų°ŁƒŲ±Ł‰ Ł„Ł…Ł† ŁƒŲ§Ł† Ł„Ł‡ Ł‚Ł„ŲØ Ų£Łˆ Ų£Ł„Ł‚Ł‰ Ų§Ł„Ų³Ł…Ų¹ ŁˆŁ‡Łˆ Ų“Ł‡ŁŠŲÆ - Ų³ŁˆŲ±Ų© Ł‚:Ł£Ł§

#IslamMemimpinPerpaduan
#UlamakMemimpin

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz ialah AJK PAS PUSAT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo