DAPSY Keliru Pendirian Sendiri Berhubung Fungsi Matrikulasi





oleh: MOHAMED KHALED NORDIN
1 Jun 2019

1. Saya amat mengalu-alukan wacana yang segar dan baru, terutama sekali dalam menentukan dasar atau polisi pendidikan negara kita. Namun begitu, wacana ini haruslah pragmatik dan tidak idealis, serta mesti mengakui dengan jujur realiti sosiopolitik negara.

2. Pemuda DAP (DAPSY) menuduh saya gagal memahami aspirasi dan naratif kesamarataan mereka. Kata mereka, saya tidak faham dengan pendirian mereka tentang Matrikulasi. Yang menariknya, segala kenyataan yang saya ulas dan terangkan, bahawa merit bukan kelayakan mutlak ke Matrikulasi, mereka boleh dakwa sebagai pendirian mereka juga. Apabila saya katakan bahawa Matrikulasi bukan instrumen kesamarataan tetapi keseimbangan, terus sekali lagi mereka dakwa, ini juga pendirian mereka. Tetapi, bukankah pada masa yang sama, mereka sendiri yang tidak berpuas hati dan menentang apabila Matrikulasi majoritinya adalah calon Bumiputera yang layak dan memerlukan bantuan? Mereka juga yang menuntut pertambahan kemasukan secara langsung berdasarkan ranking dan keputusan akademik.

3. DAPSY perlu sedar, biarpun kerajaan sudah bertukar, kehendak dan permasalahan rakyat masih lagi sama. Saya akui kami ditolak dalam PRU lepas. Tetapi, semua itu tidak membutakan kami untuk memahami realiti semasa demografi Malaysia. Barangkali wakil dari DAPSY itu sendiri, dek berdarah muda, enggan untuk mengakui realiti masyarakat kita kekal sekalipun pasca PRU-14. DAPSY perlu sedar, hanya kerana kerajaan bertukar, itu tidak sesekali bermakna yang segala legasi sosial dan kesenjangan yang wujud selama ini telah lenyap dengan sendiri.

4. Sebab itu dalam jawapan saya kepada DAPSY, saya sebenarnya memilih untuk menunjukkan beberapa perkara penting.

5. Pertama, DAP mendakwa mereka ini orang politik yang jujur dan benar-benar mahu membela nasib orang susah tanpa mengikut kaum, agama dan wilayah. Tetapi, secara realitinya, lihatlah fakta dan statistik. Berapa ramaikah anak-anak orang Bumiputera yang masih tidak mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam Negara? Bandingkan pula fakta dan statistik ini dengan bangsa yang lain. Terutamanya penyertaan dan akses Bumiputera kepada jurusan kritikal dan kemampuan untuk membiayai pengajian sedemikian. Lihat dan bandingkan. Saya yakin mereka ada fakta ini.

6. Jika DAP mahu menjuarai naratif ‘menolong orang susah’ sekalipun, UMNO dan BN telah terlebih dahulu selama 60 lebih tahun melakukannya. Dan UMNO BN tidak apologetik atau malu untuk mengakui bahawa orang susah majoritinya Bumiputera. Mereka masih jauh ketinggalan dan amat memerlukan satu instrumen intervensi agar mereka mempunyai peluang yang adil untuk sama-sama ke hadapan dengan kaum lain khususnya Cina dalam pendidikan. Dalam konteks sebegini, kesamarataan mutlak dan merit yang diperjuangkan DAPSY akan hanya terus meminggirkan mereka yang telah tertinggal. Manakala, mereka yang sudah terkehadapan, akan terus terkehadapan.

7. Kedua, DAPSY harus jujur dan terbuka untuk menerima hakikat. Bahawa intervensi seperti Matrikulasi dilakukan dengan cermat tanpa mengetepikan peluang kaum lain sama sekali. Ini kerana, jika ada calon dari komuniti Cina dan India yang cemerlang dan tidak berkemampuan dari segi ekonomi dan kewangan, bukankah mereka sebenarnya memang dibantu dan diberikan peluang yang selayaknya? Kewujudan dan peningkatan demi peningkatan kuota untuk masyarakat bukan Bumiputera di dalam Program Matrikulasi adalah bukti paling jelas. DAPSY sendiri tahu perkara ini.

8. Ketiga, saya tuntut DAPSY memberikan bukti yang benar dan konkrit, bukan cakap-cakap kosong atau hasutan politik, bahawa Program Matrikulasi di bawah Kerajaan Barisan Nasional hanya memberi manfaat kepada anak-anak kroni, elit dan kaya serta mereka yang mempunyai ‘kabel’. Buktikan dengan data dan fakta. Jika tidak, apa beza nilai dan status sebuah parti politik yang kononnya jujur dan progresif, dengan mereka yang diupah berdemo dan memekik di jalanan tanpa sebarang fakta?

9. Sangat jelas ‘wacana segar’ yang cuba dijuarai DAPSY masih lagi berlandaskan persepsi perkauman dan naratif politik yang sudah sekian lama mereka mainkan tanpa berdasarkan fakta yang ampuh. Lebih memualkan, DAP terus memilih untuk melihat isu dalam konteks Melayu/Bumiputera vs Bukan Melayu/Bumiputera dan ‘Malaysia Baru’ vs ‘Malaysia Lama’. Inilah ketidakjujuran yang telah memesongkan wacana polisi ini kepada sesuatu yang tidak sihat dan lebih bernuansakan politik.

10.Keempat, jika benar isu Matrikulasi ini tidak dilihat dari kaca mata perkauman, DAPSY harus menunjukkan bahawa calon-calon yang diterima masuk ke Matrikulasi selama ini adalah mereka yang tidak layak (dari segi pencapaian asas akademik dan kedudukan sosial keluarga). Tetapi mereka diterima masuk hanya kerana mereka Bumiputera.

11.Kelima, saya setuju agar pelajar STPM dan Matrikulasi diberikan persediaan untuk mendepani cabaran Revolusi Industri Ke-4 dalam konteks ekonomi global yang tidak menentu. Tidak ada siapa menafikan dan menyangkal keperluan seperti ini.

12.Cuma, saya amat tidak bersetuju apabila DAPSY berpandangan yang “ekonomi global tidak peduli tentang warna kulit, kepercayaan, adat resam kita”. Anggapan yang demikian adalah amat tidak matang atas beberapa sebab.

13.Satu, soal kepercayaan, adat resam dan bangsa adalah amat penting dan akan kekal menjadi penting dalam sebuah masyarakat yang majmuk. Perkara ini diakui sendiri oleh ramai saintis politik terkemuka global termasuklah Dr. Francis Fukuyama dalam The Politics of Identity.

14.Dua, adakah DAPSY mahu dan bersedia agar kerajaan sekarang tidak lagi mengiktiraf SJKC, SJKT, SMJKC, SMJKT dan lain-lain sekolah vernakular dan memadamkan segala pengiktirafan kaum dan bangsa sekali gus tegas menjadikan semua dasar di Malaysia ini sebagai dasar yang buta bangsa dan kaum? Adakah DAPSY benar-benar yakin bahawa perkara ini baik, hatta kepada orang Cina sendiri?

15.Bayangkan jika di Malaysia ini, kita semua tidak melihat Cina/India dan kebudayaan Cina/India sebagai perkara penting yang harus diiktiraf dan diberikan perhatian. Sebaliknya, kita padamkan semua itu semata-mata mahu menurut kemahuan DAP yang kononnya buta bangsa dan kaum. Baikkah dasar sebegini?

16.Percayalah, jika sesuatu dasar itu dibuat tanpa mengambil kira hal-hal yang demikian, sudah pasti ia tidak akan menjadi adil dan bermanfaat. Malah, hanya akan mengundang masalah demi masalah.

17.Keenam, saya melihat apa yang cuba didesak oleh DAPSY ini tidak ubah seperti satu jalan belakang untuk merendahkan Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang pengiktirafan kepada Bumiputera. Mereka mahu hapuskan peruntukan perlembagaan ini sebenarnya. Matrikulasi hanyalah isu yang ditunggang untuk menjustifikasikan keengganan mereka untuk benar-benar mengangkat Perlembagaan Persekutuan dan semangatnya. Jika DAPSY mahu memastikan, yang tidak wujud sebarang intervensi berasaskan kaum, saya cadangkan mereka usulkan terlebih dahulu pindaan Perlembagaan Persekutuan.

18.Sepatutnya wacana Program Matrikulasi ini dilihat dengan kaca mata yang lebih besar. Ia jalan yang perlu untuk menjadi pemangkin kepada penyelesaian/penghapusan systemic labour market discriminiation terhadap majoriti Bumiputera dalam sektor swasta terutamanya. Kajian yang dijalankan oleh Hwok-Aun Lee dan penasihat ekonomi YAB Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid harus diteliti dengan mendalam terutamanya bagaimana sinergi antara IPT, termasuklah Program Matrikulasi amat perlu bagi membetulkan ketidakseimbangan kaum dalam kedua-dua sektor tersebut.

19.Nasihat saya kepada DAP, jangan terlalu benak dan keliru dengan pembawaan sendiri sehingga terlupa untuk bersikap objektif. Politik tolak ansur yang diamalkan Barisan Nasional dahulu bukanlah sebuah ‘zero-sum’ game. Ia adalah satu amalan toleransi yang mengutamakan realiti negara Malaysia, tanpa penafian hak-hak kritikal mana-mana bangsa.

MOHAMED KHALED NORDIN ialah Naib Presiden Umno dan bekas menteri besar Johor.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget