Ancaman fenomena pluralisme


oleh: AB JALIL BACKER

RAMADAN kali ini menyaksikan fenomena liberalisme dan pluralisme Islam yang agak membimbangkan.

Liberal secara literasi membawa konotasi yang positif iaitu berfikiran terbuka, bebas, demokratik, pluralisme dan rasional. Namun Islam liberal merujuk kepada kumpulan manusia yang giat memperkenalkan persamaan sejagat antara agama (pluralisme) sehingga tidak lagi dapat membezakan antara kebaikan sejagat dan tuntutan khusus agama.


Islam adalah agama yang penuh kasih sayang antara manusia walaupun berbeza agama dan warna kulit, namun ia mempunyai had dan ketertiban tertentu.

Mungkin agak kasar, namun saya melihat sepanjang Ramadan ini ada usaha 'melacurkan' ibadah Islam bagi memberi gambaran bahawa kerajaan ini lebih terbuka dan sama rata kepada semua agama.

Di Pulau Pinang sudah wujud kes pemimpin bukan Islam dibenarkan menyampaikan bantuan zakat kepada umat Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam mempertahankan tindakan Baitumal Pulau Pinang itu menghukum 'harus' bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf Islam.

Pandangan beliau tidak diiringi sebarang nas al-Quran dan Sunnah atau ijtihad para sahabat dan ulama-ulama terdahulu.

Memang tiada dalil jelas larangan perilaku ini. Namun zakat merupakan satu kerja ibadah khusus yang disebut berpuluh kali dalam al-Quran. Banyak kali kewajipan zakat ini diletakkan setara dengan solat.

ALLAH berfirman dalam surah An-Nur 24:56, “Dan tunaikanlah solat dan laksanakanlah zakat, serta taatilah Rasul, nescaya kamu beroleh rahmat,” surah Al-Baqarah 2:43, “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.”

Ulama-ulama muktabar terdahulu banyak berbincang mengenai kadar zakat, penerimanya dan pembahagian asnaf.

Imam Syafie menegaskan pemberian zakat hanyalah kepada orang Islam. Imam-imam mazhab lain ada yang berpandangan sebahagian kecil zakat boleh diberikan kepada bukan Islam yang mahu belajar mengenai Islam.

Adalah mudah untuk memahami mengapa tiada perbahasan dalam mewakilkan orang bukan Islam mengagihkan zakat. Ini kerana tidak pernah terjangkau dalam pemikiran mereka bahawa ada orang Islam membenarkan ia terjadi demi politik dan kuasa.

Apakah semua orang Islam sudah kudung tangan sehingga terpaksa menggunakan bukan Islam untuk melaksanakan perintah ALLAH ini?

Malah Ramadan kali ini telah dijadikan pesta untuk menunjukkan pemimpin bukan Islam dari DAP terkehadapan memberi bantuan dan sumbangan kepada orang Islam, masjid dan surau.

Ramadan adalah bulan untuk umat Islam beribadah puasa dan sedekah. Namun yang terjadi, kita menerima sedekah dan bantuan daripada bukan Islam. Lebih menyedihkan, ada ahli politik bukan Islam menyampaikan bantuan wang kerajaan mendabik dada di media sosial bahawa beliau prihatin kepada orang Islam. Merempat sangatkah orang Islam di negara ini?

Majlis buka puasa

Tidak cukup itu, acara berbuka puasa menjadi pesta makan mengaitkan dengan agama-agama lain atas nama muhibah dan persaudaraan antara agama.

Ada wakil rakyat Muslim menganjurkan majlis sambutan Hari Wesak bersama majlis berbuka puasa. Wesak adalah hari keagamaan penganut Buddha, ia tidak harus bercampur dengan majlis berbuka puasa yang merupakan ibadah dalam agama Islam.

Ada pula wakil rakyat Muslim mengadakan majlis berbuka puasa di kuil Sikh seolah-olah ada kekangan tempat dan ruang untuk majlis ibadah kita.

Saya ingin ingatkan bahawa menyatukan kepercayaan agama lain dengan ibadah Islam sangat merbahaya dan jika tidak berhati-hati boleh terjerumus syirik. Orang Islam yang berbangga berbuka puasa di gereja, kuil dan rumah ibadat agama lain perlu bertanya kepada diri sendiri – anda sedang membesarkan syiar Islam atau memalukan agama sendiri dengan perlakuan itu.

Malah orang bukan Islam yang waras dan rasional juga akan kehairanan mengapa orang Islam di negara ini memerlukan bantuan bukan Islam untuk menyampaikan zakat atau berbuka puasa di rumah ibadat mereka.

Zakat dan puasa adalah ibadah khusus yang diarahkan oleh ALLAH SWT kepada Muslim. Oleh kerana ia ibadah khusus maka etika dan ketertiban itu perlu ada. Ingatlah firman ALLAH,

Selamat hari raya, maaf zahir batin. Semoga ALLAH menerima semua ibadah kita pada bulan Ramadan ini.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/31195/KOLUMNIS/Ancaman-fenomena-pluralisme
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget