NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tommy Thomas Perlu Beri Penjelasan Dakwaan Penglibatan Dalam Inkues Adib


oleh: Haji Ahmad Amzad Bin Hashim

1. Seluruh negara telah dikejutkan dengan berita penarikan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Puan Syazlin Mansor daripada mewakili KPKT, pihak bomba dan keluarga Allahyarham Adib.

2. Telah berlegar dalam kalangan rakyat dakwaan bahawa Tommy Thomas telah menghantar surat kepada YB Zuraida menyuruh KPKT menarik diri dari menjadi pihak berkepentingan kerana kononnya tindakan Puan Syazlin telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mewakili kerajaan.

3. Penarikan diri beliau dipercayai akan turut menjejaskan keterangan saksi iaitu Prof Shahrom Abdul Wahid yang sepatutnya dipanggil semula untuk memberikan keterangan. Sebelum ini, beliau telah mempertikaikan percanggahan dan pendapat berbeza dari laporan saksi pakar forensik yang dipanggil oleh pihak pendakwaan.

4. Adakah kerana keterangan Prof Shahrom yang menyatakan bahawa punca kecederaan Allahyarham Adib kerana beliau telah ditarik keluar dan dipukul bertentang dengan keterangan saksi pakar forensik pihak pendakwaan yang mengatakan Adib tidak dipukul dilihat sebagai memalukan kerajaan?

5. Umum mengetahui bahawa Puan Syazlin sebelum ini berjaya menjejaskan kredibiliti pakar forensik tersebut apabila beliau dilihat mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah. Beliau juga sebelum ini mendakwa bahawa Allahyarham Adib yang keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang sedang mengundur.

6. Dakwaan ini dilihat sangat serius kerana ia akan menjejaskan kepercayaan awam terhadap keputusan inkues ini nanti. Sudahlah sebelum ini Pejabat Peguam Negara memfailkan affidavit menyatakan Allahyarham Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai. Rakyat akan terus melihat ia sebagai satu konspirasi untuk menutup punca kematian sebenar Allahyarham Adib sekiranyaTommy Thomas gagal memberi penjelasan yang meyakinkan dengan segera.

“Islam Memimpin”

Haji Ahmad Amzad Bin Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo