Terengganu: Jambatan angkat, kemusnahan usahawan dan kegagalan kerajaan terdahulu


oleh: Rosli Khan

Dalam lawatan ringkas ke tapak beberapa hari sudah, saya diberitahu pada 2 Jun ini rakyat Terengganu akan dapat menyaksikan pembukaan satu projek baru, iaitu sebuah jambatan angkat merentasi muara Sungai Terengganu yang menghubungkan Kampung Tanjung (nama asal) dengan Seberang Takir.

Projek yang memakan masa hampir 5 tahun untuk disiapkan ini dirancang oleh kerajaan negeri yang terdahulu dan dibina oleh firma dari tanah besar China, dengan kontrak keseluruhan sebanyak RM350 juta termasuk pengambilan tanah dan jalan sambungan ke lapangan terbang.

Projek ini diurus dan dibayar oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau East Coast Economic Region (ECER) Development Council dan dibiayai wang royalti minyak Petronas untuk Terengganu.

Banyak implikasi yang boleh dipelajari dari projek jambatan angkat ini, serta sejarah Kampung Tanjung yang dulunya terkenal dari segi usahawan tempatan dan Seberang Takir itu sendiri, yang begitu lama terpinggir dari arus pembangunan dan rasanya masih berada di paras kemiskinan.
Rakyat Terengganu pasti tidak lupa tentang Kampung Tanjung. Asalnya ialah satu-satunya perkampungan Melayu di pinggir bandar Kuala Terengganu yang sehingga beberapa tahun lalu sangat terkenal dengan kain tenun, pembuatan batik, songket dan industri tembaga.

Kampung Tanjung dan kampung bersebelahan, Kampung Ladang, dipenuhi dengan rumah tradisional Melayu Terengganu yang dibuat dari kayu dan papan mengikut hasil nukilan 1950-an dan 60-an. Di kedua kampung inilah terdapat ramai pengusaha dan kepakaran dalam industri pembuatan yang disebutkan tadi; istilah sekarang ialah usahawan-usahawan sepertimana yang dicanang oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

Kampung Tanjung ini pada keseluruhanya bukan saja perkampungan Melayu bandar seperti Kampung Abdullah Hukum di Jalan Bangsar contohnya tetapi mempunyai ciri-ciri keunikan dan kesenian asal Terengganu.

Sekian lama usahawan-usahawan disini menjadikan kampung mereka pusat tarikan pelancong terhadap kesenian pembuatan dan penjualan hasil kraftangan. Pasaran mereka bukan hanya di Terengganu, malah terkenal serata Malaysia dan luar negara.

Kampung Tanjung juga menjadi pusat latihan pekerja-pekerja baru yang datang dari banyak pelusuk lain di Terengganu demi untuk belajar dan menghalusi teknik pembuatan dan penghasilan kraftangan di dalam industri kain tenunan, batik, songket dan peralatan tembaga.

Roboh satu-persatu

Malangnya sejak 2012, rumah-rumah di kampung ini dirobohkan satu persatu atas alasan penduduknya tidak mempunyai hak milik tetap di tanah yang mereka duduki.

Tanah-tanah yang tiba-tiba menjadi begitu berharga kerana terletak di pinggir bandar diambil alih oleh kerajaan negeri melalui proses yang dianggap penduduk sebagai kurang cekap, tidak berperikemanusian, tidak mengikut lunas hak asasi, musykil dari segi hukum, dan tidak mengambil kira aspek keusahawanan yang menjana ekonomi rakyat tempatan pada sekian lama.

Semua ini dilakukan dengan hanya satu tujuan iaitu memenuhi keperluan perkembangan bandar yang dikatakan memerlukan ruang yang lebih luas untuk membangun.

Tetapi di manakah lokasi ganti 4 industri usahawan yang penting dari Terengganu ini? Apa yang terjadi pada kemahiran, kesenian, kekayaan teknis dan kreativiti yang terbina sekian lama dalam kalangan penduduk kampung Tanjung tadi? Ke mana perginya pengusaha-pengusaha yang sekian lama berusaha?

Mereka ini yang tidak pernah meminta bantuan kerajaan negeri dalam menjana ekonomi usahawan sendiri ternyata diabaikan begitu saja.



Sebagai sebuah bandaraya baru, apakah Kuala Terengganu tidak lagi perlu sebuah kampung tradisi untuk mengisi sejarah kepada generasi akan datang? Apakah kerajaan negeri tidak memberi nilai kepada kemahiran dan kesenian rakyat mereka?

Sememangnya Kampung Tanjung tidak tersusun dan tidak menggambarkan pemodenan bandaraya Kuala Terengganu, tetapi ia masih boleh memainkan peranan penting dari segi ekonomi, mengisi pekerjaan dan mengorak kesenian industri yang tersendiri di masa akan datang.

Kenapa kesenian dan industri ini dimusnahkan begitu saja semata-mata untuk mengejar wang ringgit dari hasil pembangunan hartanah? Apakah tidak ada strategi perniagaan yang lebih baik supaya kesenian, kraftangan dan industri kecilan dapat terus berkembang dan membangun bersama pembangunan hartanah?

Di mana peranan unit perancang ekonomi negeri dalam hal-hal sebegini? Siapa sebenarnya yang merancang untuk merangsangkan ekonomi penduduk setempat?

Kegagalan kerajaan negeri pada waktu itu untuk menangani fakta-fakta penting sebegini ternyata memberi implikasi politik yang agak jelas dengan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu. Diharapkan kerajaan negeri sekarang belajar dari kesilapan yang berlaku.

Kerajaan terdahulu bertindak merobohkan sebanyak 326 buah rumah tradisional Terengganu dan mengambil balik tanah-tanah di Kampung Tanjung ini dengan bayaran ganti rugi yang dikatakan tidak setimpal, tidak berlandaskan faktor ekonomi pembuatan yang berdekad lamanya, tiada perhitungan ke atas kehilangan nilai komersil dan penghasilan kesenian yang sehingga sekarang tidak lagi berganti.

Jumlah pampasan tidak melebihi RM20,000 untuk setiap isi rumah amat memalukan kerajaan yang kononnya berfungsi untuk membantu usahawan-usahawan Melayu.

Statistik dan realiti

Di Seberang Takir, perkampungan nelayan yang agak ketinggalan dari arus pembangunan kotaraya Kuala Terengganu dan yang terpisah sekian lama, jambatan angkat ini mungkin akan memberi nafas baru dari segi perhubungan pangangkutan yang lebih baik.

Dulunya penduduk di Seberang Takir terpaksa menaiki penambang untuk ke Kuala Terengganu dengan bayaran RM1 sehala. Dengan adanya jambatan baru ini, jurang pemisahan itu didekatkan dan mungkin ianya akan membuka peluang-peluang pekerjaan dan juga perniagaan yang baru untuk penduduk di Seberang Takir.

Satu faktor yang nyata di Terengganu ialah tentang purata pendapatan bulanan yang begitu rendah dalam kalangan penduduk setempat. Statistik kerajaan negeri ternyata tidak tepat jika dibandingkan dengan realiti yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Contohnya Seberang Takir yang unit-unit perumahannya rata-rata kelihatan seperti berada di bawah paras kemiskinan.

Apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri sekarang ialah memulai dengan mengadakan kempen kebersihan untuk menjadikan kawasan kediaman di perkampungan nelayan ini lebih teratur.

Contoh yang perlu diikuti ialah seperti Kampung Morten di tepi sungai di Melaka, di mana kawasan perumahan di sana dibaiki, dicat semula dengan pelbagai warna, dihiasi dengan peralatan dan perabot antik dan unik, serta dijadikan contoh kampung Melayu dahulu kala, persis seperti sebuah "living museum".

Kerajaan negeri perlu membantu dari segi kos penambahbaikan dan memastikan kawasan perumahan ini sentiasa dijaga dengan bersih dan teratur. Kawasan ini boleh dijadikan tarikan pelancong apa lagi dengan jenis-jenis perniagaan makanan tradisi Terengganu yang sedia ada dan popular.

Satu lagi tarikan yang boleh menghasilkan pendapatan untuk penduduk di Seberang Takir ialah inap desa dengan menggunakan kaedah AirBnB yang begitu popular di serata dunia. Penginapan di rumah tradisi akan menarik pelancong dari luar negara sekiranya kemudahan asas seperti kamar tidur, kamar mandi dan tandas bersih disediakan bersama.

Jadi apa yang kerajaan negeri patut lakukan ialah memberi bantuan baik pulih permulaan untuk menyediakan kemudahan kamar dan tandas yang berkualiti. Dengan bantuan kecil ini, dengan sendirinya kehidupan harian penduduk di Seberang Takir akan berubah dan menjadi lebih baik.

Bayangkanlah, pengambilan balik tanah-tanah di Kampung Tanjung dibuat atas dasar ianya akan dibangunkan untuk pusat bandar baru Kuala Terengganu (KTCC), yang akan menjadikannya lebih teratur, moden dengan kemudahan asas yang lebih baik. Ianya akan menelan belanja sebanyak RM4.5 billion.

Saya menghitungkan penambahbaikan kemudahan asas untuk keseluruhan rumah-rumah di Seberang Takir (400 buah rumah), pada kadar RM10,000 sebuah rumah, tidak akan melebihi RM4.5 juta sahaja atau 0.001% dari kos KTCC.

Pemaju KTCC boleh mengadakan program tanggungjawab sosial korporat ke arah ini bersama kerajaan negeri. Ini akan memenuhi slogan PHB untuk membantu kalangan Bumiputra dalam bidang hartanah dan untuk hidup dengan lebih selesa.

Antara projek yang sedang dibina berhampiran jambatan angkat ini, berdekatan tapak yang diambil-alih dari rakyat asal di kampung Tanjung ini, termasuklah Mayang Mall, di mana Sogo akan mengurus dan membuka kedai-kedai mereka.

Sayangnya, apabila kompleks beli-belah ini siap dibuka nanti barangan pembuatan hasil tangan industri Terengganu sudah tiada lagi untuk dijual. Ini kerana tempat pembuatan dan kemahiran kerja dan hasil tangan asal Terengganu telah terhapus dengan pemusnahan usahawan-usahawan di Kampung Tanjung.

Apakah ini yang dilaung-laungkan sebagai pembangunan?
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget