Tekanan Ke Atas Empat Ahli Akademik Satu Tindakan Salah.


oleh: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
UTMKL
5 May 2019

Tekanan berterusan kepada ahli akademik yang memberikan pandangan ilmiah berkaitan keputusan dan tindakan kerajaan amat dikesali. Dalam isu Statut Rom misalnya, empat ahli akademik yang memberikan pandangan berasaskan kajian dan ilmu terus menerus dituduh dengan berbagai tuduhan oleh pemimpin negara.

Dalam perkembangan terbaru, seperi yang dilaporkan semalam (5 Mei 2019), Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah terus membuat tuduhan kononnya para ahli akademik berkenaan telah 'memalsukan fakta'. Ini satu tuduhan yang berat.

Beliau menyebut: "Permohonan maaf itu sebenarnya perlu dilakukan oleh mereka kerana telah memalsukan fakta, bukan saya. Mereka telah menggunakan kedudukan mereka untuk memanipulasi laporan Status Rom."

Sebelum ini beliau menggelarkan mereka sebagai 'profesor kangkung'.

Saya telah membaca nota penerangan empat ahli akademik seperti yang tersebar dalam media sosial. Saya mendapati hujah-hujah yang diberikan adalah berteraskan kajian, ilmu dan pemerhatian yang berpandukan pengalaman. Tiada pemalsuan fakta. Memalsukan fakta dalam dunia akademik adalah kesalahan besar.

Tidak dinafikan terdapat juga pandangan-pandangan ilmiah yang berbeza dengan pandangan empat tokoh akademik berkenaan. Namun, perbezaan pandangan dalam dunia akademik adalah biasa, lebih-lebih lagi dalam hal tafsiran undang-undang. Pilihan yang diambil oleh empat ahli akademik berkenaan lebih kepada pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan risiko luar jangka.

Sebenarnya tekanan ke atas empat ahli akademik yang membuat pembentangan kepada Raja-raja Melayu berkaitan Statut Rom ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Pertamanya, ahli akademik berkenaan sekadar memberikan hujah berdasarkan kajian dan ilmu mereka, dan terserah kepada pihak Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-raja Melayu untuk membuat pertimbangan. Jika ada sebarang keputusan dan titah, rasa tidak puas hati tidak sepatutnya dihalakan kepada ahli-ahli akademik berkenaan kerana bukan mereka yang membuat keputusan.

Kedua, menyalahkan ahli-ahli akademik berkenaan seolah-olah bermaksud menganggap YDPA da Raja-raja Melayu tidak tahu membuat keputusan sendiri. Sedangkan ketetapan yang dibuat adalah datangnya dari kewibawaan ilmu, pengalaman dan ketelitian YDPA dan Raja-raja Melayu. Jangan ingat Raja-raja Melayu tidak mempunyai ilmu dan pengalaman yang cukup untuk membuat sesuatu keputusan.

Ketiga, sesi pembentangan kepada YDPA dan Raja-raja Melayu melibatkan pihak-pihak lain termasuklah Peguam Negara sendiri, Pihak Angkatan Tentera Malaysia, serta ahli akademik yang lain. Saya percaya keputusan YDPA dan Raja-raja Melayu bukan berdasarkan pandangan empat ahli akademik itu sahaja, bahkan juga dari pembentang yang lain, selain daripada ilmu dan pengalaman Raja-raja Melayu sendiri.

Keempat, menekan dan membuat tuduhan berterusan ke atas empat ahli akademik yang memberikan pandangan yang selari dengan ketetapan YDPA serta Raja-raja Melayu ibarat 'pukul anak, sindir menantu'. Kita memuji langkah Perdana Menteri dan kabinet yang membatalkan penglibatan dalam perjanjian Statut Rom selepas mendengar pandangan YDPA dan Raja-raja Melayu. Tetapi, langkah itu sepatutnya dibuat dengan penuh ikhlas tanpa disusuli dengan tindakan menyindir dan memperlekeh--walau pun secara tidak langsung. Sepatutnya anggota kabinet, khususnya Menteri Luar tidak lagi mengungkit dan mempersoalkan ketetapan yang telah dimuktamadkan melalui mesyuarat kabinet.

Kelima, pandangan ahli akademik itu berteraskan kajian dan ilmu mereka. Mereka menggabungkan kepakaran dari sudut undang-undang antarabangsa, undang-undang perlembagaan, dan undang-undang jenayah. Bahkan salah seorang dari mereka membuat kajian khusus berkaitan Statut Rom. Amat sedih jika langkah mereka melaksanakan kewajipan sebagai insan yang dikurniakan ilmu telah dituduh dengan tuduhan-tuduhan serta gelaran yang amat hina.

Keenam, tekanan berterusan ini bertentangan dengan janji manis sebelum pilihan raya berkaitan jaminan kebebasan akademik.

Kita amat berharap agar pihak kerajaan segera membetulkan sikap dan tindakan. Kita mengharapkan sebuah negara yang diterajui oleh pemimpin yang mempunyai sikap demokratik, terbuka dan sedia untuk diimbangi kuasanya oleh institusi lain, termasuk institusi istana. Kita juga mahukan kerajaan yang memanfaatkan keberanian ahli akademik untuk sama-sama membangunkan negara ke mercu kegemilangan atas landasan yang betul. Moga hari esok lebih baik, insyaAllah.

Ramadhan kareem.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget