Sokongan PAS Kepada Penyata Razak Membentuk Asas Hari Guru



PENYATA Pelajaran Razak 1956 adalah salah sebuah penyata pelajaran terpenting dalam proses pembentukan dasar pelajaran kebangsaan menjelang kemerdekaan. Sebelum itu, Penyata Jawatankuasa Barnes 1951 dan Penyata Jawatankuasa Fenn-Wu 1952 telah menggariskan beberapa dasar berkaitan dasar pendidikan dalam menangani masalah perpaduan masyarakat. Ia adalah lanjutan daripada Penyata Jawatankuasa Cheeseman 1939 berkaitan pendidikan vokasional. Asas utama Penyata Pelajaran Razak 1956 adalah mewujudkan perpaduan melalui sistem sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu menjadi pengantar.

Penyata Pelajaran Razak telah dibentangkan oleh Menteri Pelajaran, Dato' Abdul Razak Hussain pada 15 Mei 1956 di Majlis Undangan Persekutuan. Ia bertujuan untuk menggabungkan penyata ini ke dalam Seksyen 3 Ordinan Pelajaran 1952 bagi membentuk Ordinan Pelajaran 1957. Pada asalnya, Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran ditubuhkan oleh Menteri Pelajaran untuk mengkaji ketidakpuasan hati rakyat pelbagai kaum terhadap Penyata Barnes dan Penyata Fenn-Wu. Penyata Pelajaran Razak kemudiannya diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan pada 16 Mei 1956 dengan sokongan penuh ahli-ahli majlis tersebut, termasuk wakil tunggal pembangkang, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin (PAS - Krian).

Wakil PAS yang berucap untuk membahas dan menyokong penyata ini pada 16 Mei 1956 telah mempertegaskan beberapa aspek, iaitu:

I. Menyokong Penyata Pelajaran Razak dalam memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pelajaran dan bahasa kebangsaan;

II. Mempertegaskan kedudukan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan nasional;

III. Mencadangkan semua sekolah diwajibkan menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar kerana masih ramai imigran yang tidak menguasai bahasa Melayu; dan

IV. Mempersoalkan kegagalan kerajaan menyediakan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah persendirian, sehingga memungkinkan sekolah-sekolah tersebut ditutup.

Terdahulu, ketika Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran sedang menjalankan kajiannya, pada 14 Mac 1956, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah membangkitkan dalam mesyuarat Majlis Undangan Persekutuan supaya Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran turut mengkaji bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Bantuan Sekolah Agama Rakyat, sebagai sebahagian daripada isu penting dalam pembentukan dasar pelajaran. Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Menimbang Bantuan Kewangan Kepada Sekolah Agama Bukan Kerajaan yang diketuai oleh Abdul Rahman Talib, Timbalan Menteri Sumbet Asli dan Kerajaan Tempatan.

Dengan sokongan padu daripada PAS ini, proses pembentukan dasar pelajaran kebangsaan melalui Ordinan Pelajaran 1957 telah berjalan dengan lancar, terutama apabila ordinan ini diluluskan dengan sokongan penuh pada 16 Mei 1956. Tarikh ini dianggap sangat penting kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan sebelum ia dikemaskan lagi oleh Penyata Pelajaran Rahman Talib 1960. Menghargai proses pembentukan dasar pelajaran pada 16 Mei 1956 ini, tarikh tersebut telah dipilih sebagai tarikh sambutan Hari Guru setiap tahun.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Mei 2017

********

Sejarah Hari Guru

Tahukah anda?

Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin atau nama sebenarnya Nikmatullah Ahmad, wakil rakyat PAS yang pertama (27 Julai 1955) mewakili kawasan Krian (Perak) telah berjasa dengan menyokong Penyata Razak sehingga hari ucapan beliau pada 16 Mei 1956 dijadikan asas sambutan Hari Guru di Malaysia.

PAS telah menyokong cadangan Penyata Razak untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Selain melihat bahasa Melayu sebagai mekanisme perpaduan nasional, PAS juga mencadangkan supaya semua sekolah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Tuan Guru Nikmatullah Ahmad mengingatkan Kerajaan Malaya tentang masalah pendidikan dengan menyebut, "We know in a sweet fruit, such as the chiku, they may be worms inside it which may destroy the seed. Here we must be realy alert so that we may not suffer defeat in time to come."

Semakin membaca sejarah PAS semakin cinta kepada PAS.

Orang PAS bangsa membaca.

Amiruddin MR
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget