NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ramadhan Tautkan Muslimat PAS dan Wanita Umno



KANGAR: Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar yang telah diadakan kemarin mencatat sejarahnya tersendiri apabila turut dihadiri oleh wakil daripada Wanita Umno Bahagian Kangar.

Bertempat di Markaz PAS Batu 2, dekat sini, program yang menjadi tradisi setiap kali tibanya Ramadhan itu turut dihadiri kira-kira 70 orang muslimat.

Menyifatkannya sebagai sesuatu yang amat istimewa, Ketua Muslimat PAS Kawasan Kangar, Norhasmayati Che Me berkata, penyertaan wakil daripada Wanita Umno membuktikan kesungguhan kedua-dua pihak (PAS dan Umno) dalam menjayakan agenda perpaduan ummah demi memartabatkan kembali Islam di negara ini.

Ujarnya lagi, Ramadhan adalah titik mula terbaik dalam membina semula perpaduan sesama umat Melayu-Islam yang sekian lama renggang akibat perbezaan fahaman politik.

“Kita amat mengalukan kehadiran Wanita Umno ke majlis kita pada hari ini dan InsyaAllah pada masa akan datang, kita juga tiada halangan untuk memenuhi undangan dari pihak sana.

“Apa yang kita harapkan, hubungan dua hala yang terjalin ini adalah (terbina) demi kesatuan ummah, demi agama Islam yang kita cintai ini,” katanya.

Bakal menyusul, Majlis Tadarus dan Khatam Al Quran anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau yang bertempat di Surau Pauh 3 Beradik, Arau dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar di KOMTAR pada 18 Mei nanti.

Majlis peringkat negeri pula akan diadakan di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) yang sama akan turut dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis pada 22 Mei 2019.

Sumber: https://berita.pas.org.my/ramadhan-tautkan-muslimat-pas-dan-wanita-umno/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo