Perutusan Khas MB Terengganu Sempena Hari Guru 2019


TEMA : " GURU, OBOR HEMAH MENYINARI  PERTIWI "

Bunga tanjung harumnya masih,
Sayang  mawar pohon berduri;
Sejunjung budi sejambak kasih,
Hari Guru disambut bermadah penyeri.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera

Tuan-tuan dan puan-puan warga guru yang disanjungi sekalian,

Setiap tahun, tanggal 16 Mei merupakan tarikh keramat yang disambut sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan warga pendidik di seluruh negara.

Syukur Alhamdulillah kerana sudah hampir lima dekad rakyat Malaysia menyambut dan merayakan Hari Guru, iaitu buat kali yang ke-48 pada tahun ini.

Pengiktirafan dan penghormatan kepada para guru amat layak diterima atas kegigihan dan kesabaran mereka menitiskan segala ilmu, tunjuk ajar serta khidmat bakti demi mendidik anak bangsa menjadi insan cemerlang yang berpengetahuan dan berakhlak mulia.

GURU adalah sebagai mualim, mudarris, mursyid dan murabbi untuk membentuk insan bagi mencapai kejayaan di dunia dan  di akhirat.

Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi mentarbiah dan membimbing anak muridnya mengaplikasikan ilmu serta berpekerti terpuji dalam kehidupan.

Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat, Kerajaan Negeri Terengganu akan membawa agenda "Pelan Induk Terengganu Sejahtera" bagi mencapai taraf negeri yang "Maju, Berkat dan Sejahtera."

Sesungguhnya segala pengorbanan guru amat disanjung tinggi oleh segenap lapisan masyarakat kerana jasa bakti yang menggunung dalam mendidik anak-anak bangsa sehingga menjadi insan yang berilmu dan berkeperibadian unggul.

Sejak dahulu lagi, guru berperanan memastikan pembentukan jati diri anak bangsa yang bertamadun berlandaskan lima prinsip Rukun Negara serta nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Oleh yang demikian, seyogialah " Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi " dipilih sebagai tema Hari Guru tahun 2019 ini.

Pemilihan tema ini bertepatan dengan peranan dan akauntabiliti yang tergalas di bahu para pendidik sebagai obor yang sentiasa beriltizam, berkualiti serta berhemah tinggi dalam memikul amanah sebagai pembina generasi gemilang pewaris negara.

Oleh yang demikian, setiap tahun sambutan Hari Guru diraikan secara rasminya di peringkat kebangsaan, iaitu di Kementerian Pendidikan Malaysia, turun ke Jabatan Pendidikan Negeri, seterusnya ke Pejabat Pendidikan Daerah dan ke setiap sekolah di pelosok negara.

Sambutan ini juga memberi ruang dan peluang kepada anak-anak didik, ibu bapa serta masyarakat amnya untuk turut merai dan menghargai para pendidik yang terus berbakti untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersahsiah tinggi.

Sesungguhnya bermula dari profesion mulia seorang gurulah yang telah mengajar, mendidik, membentuk, mencungkil bakat serta mengasah pelajar sehingga akhirnya mereka berjaya mencorak kehidupan dalam pelbagai bidang.

Oleh hal yang demikian, pembangunan pendidikan adalah menjadi fokus utama kerajaan negeri demi mempertingkatkan keterbilangan anak-anak Terengganu yang terjana daripada sistem pendidikan yang dilaksanakan.

Sesungguhnya besar dan tinggi harapan saya kepada para guru kita agar terus melangkah sederap dan sehasrat dalam usaha melestarikan pendidikan yang merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi pewaris kepemimpinan negara yang berpersonaliti unggul.

Terima kasih buat semua guru, jasamu dikenang, namamu dijulang. Semoga pengorbanan suci ini kekal terpahat indah dalam lipatan sejarah buat sesiapa sahaja yang telah pun berjaya dalam kehidupannya.

Guru umpama obor yang terang menyala, suluh cahayanya penerang jalan, sepatah kata dijadikan pelajaran, segumpal pesan dijadikan pedoman, ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

Saya mengambil peluang dan  kesempatan ini  untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik,  khususnya di  negeri Terengganu.

Tumbuh gaharu tepian siantan,
Dahlia,berangan dahan bersilang;
Jasamu guru bagaikan lautan,
Mulia pengorbanan indah dikenang.

Selamat Hari Guru.

Terima kasih cikgu!

"Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi"

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

YAB  DR. AHMAD SAMSURI BIN MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget