NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Pengampunan Diraja Tidak Membatalkan Sabitan Jenayah"


oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD

1. Kenyataan Setiausaha Agong PAS, YB Dato’ Takiyudin Hassan pada 10 Mei 2019 sewaktu berucap dalam ceramah bagi kempen di Pilihanraya Kecil (PRK) Sandakan, yang melabelkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang “bekas banduan” adalah tepat dan berlandaskan undang-undang.

2. Secara faktanya, DSAI telah mempunyai 2 sabitan kesalahan jenayah sebagaimana berikut:-

(a) SABITAN PERTAMA:-
Pada 4 April 1999, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Hakim Augustine Paul telah mensabitkan DSAI atas 4 pertuduhan melakukan perbuatan rasuah (corrupt practices) sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, dengan mengarahkan Dato’ Mohd Said Bin Awang (Pengarah Cawang Khas) dan Amir Bin Junus (Timbalan Pengarah Cawangan Khas II PDRM) untuk memperolehi pengakuan bertulis daripada Azizan Bin Abu Bakar bagi menafikan salah laku seks dan liwat, yang mana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 2(1) Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Dharurat, 1970.

Untuk sabitan tersebut, DSAI telah dihukum selama 6 tahun penjara. Rayuan DSAI ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah ditolak, sabitan dan hukuman penjara dikekalkan.

(b) SABITAN KEDUA:
Pada 11 April 2014, Mahkamah Rayuan melalui Hakim Mahkamah Rayuan (HMR) Balia Yusuf Wahi, Aziah Ali dan Mohd Zawawi Salleh telah membenarkan rayuan Pendakwaraya (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelumnya membebaskan DSAI) dan mensabitkan DSAI atas pertuduhan melakukan persetubuhan diluar tabii (liwat) dibawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Untuk sabitan ini, DSAI telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun. Rayuan DSAI ke Mahkamah Persekutuan telah ditolak, sabitan dan hukuman dikekalkan.

3. DSAI telah menjalani keseluruhan hukuman penjara bagi Sabitan Pertama, dan sebahagian hukuman penjara bagi Sabitan Kedua kerana telah diberikan Pengampunan DiRaja oleh YDPA pada 16.5.2018. Justeru dengan sabitan undang-undang dan proses hukuman penjara tersebut, adalah jelas bahawa DSAI adalah seorang “bekas banduan” pada kacamata perundangan.

4. Pengampunan DiRaja di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan adalah merujuk kepada kuasa YDPA untuk memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieve) dan lega hukum (respite) bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang telah disabitkan. Manakala berdasarkan Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan pula, YDPA juga diberikuasa tambahan untuk menggugurkan sekatan ketidaklayakan bagi seseorang yang telah disabitkan jenayah, untuk menyertai pilihanraya bagi tujuan dilantik sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

5. Penelitian lanjut kepada Seksyen 300 dan 301 Kanun Acara Jenayah, akan merujuk kepada kuasa YDPA/Sultan untuk menggantung perlaksanaan hukuman, meringankan dan/atau mengurangkan sesuatu hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah. Bahkan di bawah Seksyen 300(2) Kanun Acara Jenayah, apabila sesuatu permohonan pengampunan dibuat, YDPA/Sultan boleh (may) meminta Hakim/Majistret yang telah mensabitkan banduan tersebut untuk memberikan pendapatnya tentang samada sesuatu permohonan pengampunan itu layak dibenarkan atau sebaliknya.

6. Justeru penelitian penuh kepada semua peruntukan Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah, Pengampunan DiRaja (Royal Pardon) samada yang disebut sebagai full pardon atau free pardon hanyalah merujuk kepada pengampunan dalam konteks perlaksanaan hukuman semata-mata. Ia hanya merujuk kepada samada sesuatu hukuman yang sedang dijalani (atau akan dijalani) tersebut akan dilegakan, diringankan (digantikan dengan hukuman yang lebih ringan) atau ditamatkan serta-merta.

7. Pengampunan DiRaja samada oleh YDPA atau Sultan, tidak akan membatalkan sabitan jenayah (criminal conviction). Tiada mana-mana peruntukan Perlembagaan dan Undang-Undang yang memberi kuasa kepada YDPA / Sultan untuk mengenepikan sesuatu sabitan jenayah. Sabitan jenayah itu akan terus kekal, selagimana ia tidak diketepi dan dibatalkan oleh sebuah Mahkamah yang kompeten.

8. Dalam hal ini, tafsiran perundangan yang jelas telah diberikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad melalui satu Artikel bertarikh 7.10.2018 yang bertajuk: Pengampunan dan Pembatalan Kehilangan Kelayakan Untuk Menjadi Ahli Parlimen, dimana beliau menegaskan sebagaimana berikut:-

“Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan atau dipadamkan daripada rekod mahkamah. Perintah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside (mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu”

9. Justeru, kenyataan-kenyataan balas pimpinan Pakatan Harapan, khususnya dari Setiausaha Agong PKR yang menyanggah terma “bekas banduan” dan menyatakan “ia tidak lagi timbul kerana DSAI diberi pengampunan penuh (full pardon) oleh YDPA” adalah merupakan satu pembiasan politik yang sangat terdesak, untuk mengelirukan fakta sebenar seolah-olah sabitan jenayah DSAI telah dibatalkan sepenuhnya.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo