MB T'ganu: Politik, politik juga tapi ingat dosa pahala


Semua pihak digesa berpolitik secara sihat dan mengelakkan diri daripada melakukan fitnah yang boleh mendatangkan dosa, kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cubaan pihak tertentu mengaitkan insiden membakar kereta rasmi mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini dengan Unit Amal PAS dan parti itu.

"Saya tidak mahu komen secara spesifik kerana perkara ini (kes bakar kereta Mufti Perlis) dalam siasatan pihak berkuasa, cuma saya ingin memberi saranan kepada semua pihak.

"Politik, politik juga, tetapi perkara benar kena nyatakan. Jangan cuba timbulkan kekeliruan dalam masyarakat," katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Menurut Ahmad Samsuri, sesuatu perkara yang telah menjadi fitnah sukar untuk diperbetulkan semula.

"Kerana satu perkara salah yang kita sampaikan kepada masyarakat dan (jika) terbukti apa yang kita sebut itu fitnah, bagaimana kita hendak betulkan persepsi yang berakar umbi dalam masyarakat?"

"Ia melibatkan soal dosa dan pahala, semua ahli politik dan orang awam harus elakkan diri dari melakukan perkara yang boleh mendatangkan dosa," katanya.

Ditanya apakah kenyatan beliau merujuk kepada Dr Asri, Ahmad Samsuri berkata: "Pada saya, kita kena lebih strain lagi, jaga diri masing-masing. Saya tidak kata dekat dia (mufti perlis) hanya secara umum sahaja."

Pada 22 Mei lalu Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengesahkan tiga anggotanya ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan insiden berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JAM Mohd Nazree Mohd Aris berkata beliau pelik dengan penahanan tersebut dan langkah itu dibuat mungkin disebabkan JAM mempunyai kredibiliti yang sangat baik sebelum ini.

Susulan itu pengendali laman Facebook Mohd Asri memaparkan dua gambar anggota Jabatan Amal Malaysia bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan catatan kes berkenaan sebelum ia dipadamkan.

Tindakan itu kemudian menerima kecaman daripada Pemuda PAS.

Mohd Asri pada hari yang sama memohon maaf susulan tindakan pengendali laman Facebook beliau.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget