NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malam kerja siang tidur?


oleh: Subky Latif

MALAYSIA mungkin akan jadi satu-satunya Negara yang siang malam bekerja jika lama lagi Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri. Jika setahun lagi dia berundur seperti yang pernah disebutnya ketika cuba mendapatkan sokongan PH menjadikannya calon Perdana Menteri bagi menumbangkan Najib dan BN dulu.

Baik berhentinya itu justeru menunai janji atau dipaksa PH bagi menjamin kemenangan PH dalam PRU15 maka cadangan kerja malam bagi pekerjaan kotor akan jadi seperti cadangannya semasa memerintah dulu untuk membina jambatan menghubungkan Semenanjung dengan Sumatera yang tidak pernah disebut lagi sekarang.

Tidak diperincikan bidang kerja kotor yang dimaksudnya. Seperti yang saya terkesan mengatakan bersawah. Kalau bersawah, maka mungkinlah berladang sawit yang kurang dapat dipasarkan sekarang. Jika sawit tidak jadi sumber rezeki utama lagi, tentu sawit yang ada tidak ditebang serta merta, maka yang hidup atas sawit jadikan ia kerja malam, sebelah siang buat kerja lain, bawa Grab atau buka gerai makan atau berjaja sebagai kerja sambilan. Bila malam turun ke ladang sawit.

Jika berkebun dan bersawah antara pekerjaan sebelah malam, maka kerajaan kena fikirkan semua sawah dan ladang pasang lampu. Jika tidak pakai lampu bagaimana hendak kerja dalam gelap. Masakan memadai dengan cahaya bulan. Bila bulan gelap macam mana?

Jika guna bekalan elektrik setiap malam dapatkah masing-masing menampung kosnya dengan hasil yang diperolehi? Biarlah pakar ekonomi menentukan cara paling ekonomi melaksanakan kerja sebelah malam.

Kita tidak nampak apa yang Mahathir nampak. Jika lama lagi dia memerintah, kita akan dapat saksi setengah rakyat tidur siang dan berjaga malam.

Setakat yang semua tahu, siang malam yng Allah jadikan itu ialah adanya siang semuanya bergiat menjalankan kehidupan. Adanya malam supaya mereka berehat. Tidur dan digalakkan menggunakan sebahagian malam itu berjaga demi beribadat.

Wawasan baru Mahathir itu ibarat menongkah fitrah, rehat siang dan berjaga sebahagian siang demi ibadat dan bekerja malam.

Sejak bumi didiami manusia bermula dengan Adam dan Hawa hinggalah kiamat siang digunakan untuk bekerja dan malam rehat bersama keluarga. Mahathir pula fikirkan sistem sendiri untuk Malaysia dan mungkin diikuti oleh dunia.

Bagaimana pun bukan asing bagi orang bekerja malam bagi sebahagian perkhidmatan seperti polis, hospital, operator keretapi, pemandu bas jarak jauh dan lain-lain. Tetapi bukanlah sepanjangnya kerja malam. Kerja siang malam itu ikut giliran. Bila misi kena giliran malam beberapa malam, mereka diikuti cuti seminggu. Kemudian kerja siang pula. Polis juga jaga malam beberapa jam dan bertugas siang pula beberapa jam.

Banyak juga restoran 24 jam. Tetapi kebanyakan restoran buka siang. Sekarang banyak restoran masakan panas menyediakan makanan Siam rata-rata bermula menjelamg Maghrib hingga pukul dua malam. Lepas itu ia pun rehat.

Seratus tahun dulu Malaya memperkenalkan tanaman getah. Pekerja ladang dan pekebun kecil getah mula khidmat seawal dini hari bukan diperaturkan begitu, tetapi susu getah hanya banyak sebelum matahari terbit. Bila matahari naik mereka berhenti menoreh, mereka pungut pula susunya dibekukan hingga diproses jadi getah keping, habis kerja sekitar sebelum tengah hari.

Getah tidak jadi komoditi utama. Penoreh memilih kerja lain. Tanaman getah tidak untuk susunya lagi tetapi batangnya jadi bahan perabot. Tiada bekalan elektrik di kebun getah. Penoreh guna pelita minyak diikat di dahi melihat batang yang ditoreh.

Moga-moga cadangan PM itu bukan membuang tabiat. – HARAKAHDAILY 7/5/2019

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo