Legasi kerajaan sepenggal


oleh: FIRDAUS HAMSIN

Pilihan raya umum Jepun pada 2009 menyaksikan Parti Demokratik (DPJ) memenangi 308 kerusi untuk “Dewan Perwakilan” ataupun dewan rendah - salah satu daripada dua dewan dalam badan perundangan tertinggi Jepun (DIET). 

Kejayaan ini menandakan berakhirnya penguasaan Parti Liberal Demokrat (LDP) sebagai pemerintah Jepun selama 50 tahun. Kekalahan LDP pada ketika itu telah dijangka. Namun dalam masa yang sama kemenangan besar yang diperolehi DPJ juga jauh melangkaui jangkaan.

Kemenangan DPJ itu berlaku di saat negara matahari terbit itu berhadapan dengan krisis ekonomi. Perkembangan ekonomi semasa itu menguncup serta menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyatnya. Negara Jepun ketika itu juga berhadapan dengan krisis kepimpinan berikutan pelbagai skandal yang melanda LDP.

Ada beberapa faktor yang cuba dikaitkan kejayaan DPJ. Antaranya sepanjang kempen pilihan raya tersebut, DPJ telah berjanji untuk menghapuskan serta mengurangkan projek-projek mega yang menelan perbelanjaan negara yang sangat besar.

Projek-projek mega disinonimkan sebagai simbol pembaziran kerajaan LDP. DPJ berjanji peruntukan daripada projek-projek mega tersebut akan disalurkan semula untuk menampung pembiayaan subsidi dan pemotongan cukai untuk mengurangkan beban rakyat kelak.

Selain menumpukan perhatian untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan pengundi di kawasan bandar, Ichiro Ozawa selaku strategis parti itu telah berjaya mengatur strategi kempen yang berkesan untuk mendapatkan sokongan meluas dalam kalangan penduduk kawasan desa Jepun. Antaranya ialah menjanjikan pemberian subsidi untuk membantu golongan petani di kawasan tersebut.

Janji-janji popular

Yukio Hatoyama telah dipilih sebagai perdana menteri pertama daripada DPJ. Pada mulanya populariti kerajaan pimpinannya sangat tinggi. Beberapa polisi yang dilaksanakan berjaya memenangi hati rakyat Jepun. Antaranya meningkatkan memperkenalkan sistem sokongan subsidi untuk meringankan beban keluarga yang mempunyai anak-anak kecil termasuk pemberian elaun untuk kanak-kanak.

Kerajaan Hatoyama juga meningkatkan perbelanjaan dalam sektor pendidikan serta kesihatan yang merupakan keperluan asas yang sangat dekat dengan rakyat. Banyak lagi polisi telah dirangka serta dilaksanakan untuk menyantuni keperluan golongan tua, pelajar, kanak-kanak dan pekerja berpendapatan rendah serta golongan penggangur ataupun mereka yang telah kehilangan pekerjaan akibat kemerosotan ekonomi.

DPJ turut menjanjikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan Jepun. Hotoyama telah melakukan langkah-langkah untuk menghapuskan kerenah birokrasi dengan memberikan lebih banyak kuasa kepada ahli politik iaitu menteri yang dilantik untuk merancang serta melaksanakan sesebuah polisi.

Pengkritik politik Jepun mengatakan sistem birokrasi Jepun yang berpusat di Kasumigaseki telah membayangi kuasa menteri-menteri. Ini termasuk aspek merancang sesebuah dasar yang sepatutnya menjadi tanggungjawab para menteri.

Langkah yang secara idealnya baik menjadi tidak berkesan apabila berlaku konflik antara menteri-menteri DPJ serta para pentadbir yang menguasai birokrasi Jepun. Keadaan diburukkan apabila ada menteri-menteri kerajaan Hotoyama gagal merancang dasar serta perlaksanaannya dengan baik sehingga menjejaskan kredibiliti kerajaan DPJ di mata rakyat.

Kegagalan mengawal serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan telah mula mengurangkan populariti Hotoyama dan DPJ. Keadaan diburukkan lagi apabila kerajaan beliau tetap mengekalkan pelaksanaan beberapa cukai seperti gasolin dan cukai jalan raya termasuk tol.

Cabaran dan kelemahan kerajaan DPJ

Menjelang setahun kemenangan DPJ, konflik serta perbezaan pandangan secara terbuka dalam kalangan ahli politik parti politik tersebut mulai mendapat perhatian rakyat Jepun menerusi saluran media. Ada pengkritik politik Jepun menilai konflik tersebut telah melemahkan kedudukan Hotoyama yang telah pun goyah akibat daripada tuduhan skandal politik wang sebelum itu.

Hatoyama mengumumkan peletakan jawatan beliau pada Jun 2010 setelah dikatakan gagal melaksanakan janji menamatkan penempatan tentera Amerika di Okinawa. Kepimpinan beliau digantikan dengan Naoto Kan. Beliau adalah menteri kewangan semasa berkhidmat dalam kerajaan Yukio Hatoyama.

Konflik DPJ terus membayangi kerajaan yang baru berusia setahun jagung itu apabila Ichiro Ozawa, mencabar kepimpinan Naoto Kan. Ichiro Ozawa adalah tulang belakang di sebalik kebangkitan DPJ khususnya dalam pilihan raya 2009.

Ichiro Ozawa, tulang belakang di sebalik kebangkitan DPJ pada 2009

Naoto Kan telah memenangi pemilihan parti DPJ. Pemimpin-pemimpin parti itu yang dikatakan menyokong Ozawa telah diketepikan daripada kabinet kerajaan yang dibentuk Naoto Kan. Di sebalik sokongan kukuh yang diterima Naoto Kan dalam partinya sendiri, ia tidak membantu memperbaiki populariti kerajaan DPJ.

Naoto Kan telah menaikkan cukai jualan yang menyaksikan populariti DPJ merudum dalam pilihan raya “Dewan Majlis” atau dewan atasan DIET. Keadaan ini melemahkan kedudukan politik parti itu khususnya ketika ingin mengetengahkan sebarang rang undang-undang baru.

Kepimpinan Naoto Kan digantikan dengan Yoshihiko Noda. Populariti DPJ terus merudum apabila kerajaan bawah kepimpinan beliau meningkatkan kadar beberapa bentuk cukai seperti kerajaan LDP sebelum ini. Kemerosotan DPJ berakhir kembalinya LDP sebagai parti pemerintah kerajaan Jepun setelah pilihan raya umum negara tersebut pada 2012 yang lalu.

Iktibar daripada kekalahan

Kekalahan DPJ ironiknya menandakan hidupnya amalan sistem politik berasaskan dua parti yang sebelum ini tampak mustahil untuk dilaksanakan di Jepun. Kemenangan DPJ pada awalnya diharapkan dapat merangsang perubahan yang positif dalam amalan politik negara matahari terbit tersebut.

Satu-satunya kesan positif yang jelas dirangsang daripada kerajaan DPJ ialah aspek amalan dua parti yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan kerajaan untuk menguruskan negara mereka.

Etika pengurusan dan kepimpinan yang positif daripada Jepun sememangnya tidak dapat kita sangkal lagi. Akan tetapi tidak salah secara khususnya untuk Pakatan Harapan (PH), BN serta parti-parti politik utama di negara ini dan rakyat Malaysia merenungi iktibar daripada kisah kerajaan Parti Demokratik yang memerintah Jepun dari tahun 2009 sehingga 2012.

Semoga iktibar ini dapat mematangkan rakyat serta ahli politik di negara ini dan seterusnya dapat mencorak perubahan yang bermakna untuk memenuhi gagasan dan aspirasi Malaysia Baharu.


FIRDAUS HAMSIN ialah penulis dan penyelidik sepenuh masa.

Sumber: 
https://www.malaysiakini.com/news/476159
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget