Kelantan perkenal kampit beras segantang 'Baghdad'


KOTA BHARU 24 Mei - Kerajaan PAS Kelantan memperkenalkan semula sukatan gantang 'Baghdad' yang pernah digunakan pada zaman kegemilangan pemerintahan Islam untuk menjadi alternatif kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu dimulakan dengan penjualan beras bermutu tempatan keluaran orang Islam yang dibungkus dalam kampit mengikut sukatan satu gantang ‘Baghdad’ bersamaan dengan 2.7 kilogram.

Beliau berkata, penyediaan beras dalam sukatan berkenaan dengan harga RM7 sekampit lebih mudah untuk dijual kepada orang ramai yang boleh menggunakannya sama ada bagi kegunaan sendiri mahupun membayar zakat fitrah, fidyah ataupun untuk bersedekah.

“Perkataan gantang itu sendiri disebut dalam al-Quran merujuk kepada sukatan digunakan sejak zaman Nabi Yusuf lagi. Kemudian pada zaman pemerintahan Khulafa Ar Rasyidin, zaman kegemilangan Islam, ia terkenal dengan nama gantang Baghdad.

“Kita mahu perkenalkan balik supaya masyarakat tahu sejarah dan tahu kita ada sukatan yang pernah digunakan Nabi Muhammad SAW, dalam bab zakat fitrah pun begitu bila Nabi Muhammad SAW pernah bersabda tentang nilainya adalah satu gantang,” katanya selepas pelancaran Beras Berkat Al Falah sempena perasmian Ijtimak Pondok Semalaysia di Madinah Ramadan di sini semalam.

Program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Sementara itu, Tuan Mohd Saripudin berkata, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) iaitu Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) telah dipertanggungjawab untuk mengedar dan mempromosi Beras Berkat Al Falah dan buat permulaan sebanyak 500 kampit beras telah berjaya dijual semalam.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan alat pengukur gantang Baghdad milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sebagai contoh utama untuk mendapatkan sukatan beras paling tepat.

“Pengeluaran kampit beras segantang secara besar-besaran akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri dan buat masa ini kita sudah menerima banyak tempahan dari masjid dan pondok-pondok yang teruja dengan sukatan ini.

“Sebenarnya ada antara kita yang tidak mampu pun membeli beras kampit dalam sukatan standard di pasaran, jadi yang kita tawarkan ini sesuai dan bila kita kira boleh digunakan untuk memasak sehingga 30 pinggan nasi.

“Beras dalam kampit begini juga memudahkan pihak seperti individu perseorangan, wakil rakyat ataupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersedekah kerana faktor harga malah beratnya yang kurang dari tiga kilogram menyebabkan tidak susah untuk diagih dan dibawa ke mana-mana,”katanya.

Untuk rekod, keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri-negeri di Malaysia penggunaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram bagi ukuran nisab jenis-jenis zakat. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kelantan-perkenal-kampit-beras-segantang-baghdad-1.906848
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget