NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ke Mana Hala Tuju Inkues Allahyarham Adib?


oleh: Haji Ahmad Amzad Bin Hashim
30 Mei 2019/ 25 Ramadhan 1440H

1. Tindakan peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga Muhammad Adib menarik diri sudah pasti sangat mengejutkan, namun lebih mengejutkan alasan-alasan Peguam Negara (AG) yang masih boleh dipertikai.

2. Persoalan besar yang masih gagal ditanggapi AG dengan alasan-alasan beliau adalah, mengapa perlu sekarang "bantahan" beliau dikemukakan terhadap peguam Syazlin Mansor, ketika inkues berada di fasa-fasa akhir?

3. Tambahan lagi, bagaimana alasan konflik kepentingan boleh timbul jika seorang peguam itu mewakili KPKT, JBPM dan juga mewakili keluarga Adib dalam satu masa, sedangkan ketiga-tiga pihak mempunyai kepentingan yang sama iaitu untuk mencari keadilan kepada Adib.

4. Bagaimana pula alasan "tindakan agresif" peguam Syazlin dikatakan "memalukan dirinya" kerana dilihat "bertentangan dengan pendirian Pendakwa Raya" (bawah AG juga), sedangkan tujuan inkues adalah mencari sebab kematian, bukan memulakan prosiding pendakwaan lagi?

5. Malah, bagaimana alasan suami Syazlin adalah SU Akhbar kepada Menteri KPKT dianggap "kukuh" untuk menggugurkan beliau pada saat-saat akhir?

6. Jelas alasan ini memperlihatkan sikap tidak profesional AG malah boleh dianggap sebagai "cuai".

7. Akhirnya ke mana kesimpulan inkues Adib yang akan bersidang semula Jun depan?

8. Ia masih bersifat spekulatif dan telahan kasar. Cuma jika diperhatikan "puzzle" yang ada, ia seakan-akan menggambarkan kemungkinan tersebut.

9. Pertama, sejak awal lagi kes Adib menimbulkan keresahan ramai. Ketika AG mengarahkan inkues, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mahariamman telah mengumumkan Adib mati disebabkan kemalangan. Namun, ia disangkal (bekas) Ketua Polis Negara.

10. Kedua, afidavit AG bertarikh 3 April yang mengatakan Adib mati kemalangan. Laporan media menjelaskan afidavit itu memasukkan keterangan saksi inkues yang mengatakan Adib mati kemalangan.

11. Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman sejak dari awal memohon supaya menjadi pihak dalam prosiding inkues.

12. Permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Koroner pada Februari kerana mereka tiada "real, substantive dan reasonable" untuk turut serta sebagai pihak dalam inkues ini.

13. Kes tersebut dibawa sehingga ke Mahkamah Rayuan, namun pihak Jawatankuasa Kuil menarik balik rayuan pada pertengahan April kerana menerima afidavit tersebut.

14. Afidavit itu mengatakan Adib bukan mati akibat dipukul tetapi kerana kemalangan. Mengapa pihak AG membuat kesimpulan sedemikian sedangkan inkues yang bertujuan mencari punca kematian Adib masih berjalan?



15. Ketiga, penarikan diri saat akhir peguam Syazlin Mansor.

16. Berlaku pertembungan dua pandangan pakar di antara Dr. Ahmad Hafizam (saksi ke-24), pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur dengan Prof Dr. Shahrom, bekas perunding kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (saksi ke-29) sepanjang inkues berlangsung.

17. Dr. Ahmad Hafizam menjelaskan bahawa "kecederaan Adib tidak sepadan dengan kesan dipukul". Beliau juga berpandangan Adib keluar sendiri daripada van EMRS dan dilanggar yang mengakibatkan kepatahan tujuh tulang rusuknya.

18. Sebaliknya Prof Shahrom menolak pandangan Dr Ahmad Hafizam serta menjelaskan Adib ditarik keluar dan dihentak ke pintu. Malah, jika beliau terhimpit seperti dakwaan Dr. Ahmad Hafizam, sudah pasti kemungkinan besar Adib akan mati ditempat kejadian.

19. Justeru, dengan penarikan diri peguam Syazlin, apakah kedudukan saksi Prof Shahrom juga akan turut terbatal seperti yang dimaklumkan peguam Syazlin tempoh hari ketika pengumuman penarikan diri beliau?

20. Jika begitu, sejauhmana keterangan Prof Shahrom akan diambil kira kelak dalam menentukan kesimpulan inkues ini?

21. Maka, ketiga-tiga situasi ini seperti sedang diasak kepada kesimpulan yang sama - kematian Adib hanya suatu kemalangan.

22. Kita tidak berhak mempersoalkan inkues yang sedang berjalan mahupun pandangan yang dikeluarkan oleh para pakar kerana ia hanya jalan yang tinggal bagi mendapatkan keadilan kepada keluarga si mati.

23. Namun perjalanan inkues tidak seharusnya dibiarkan mempunyai unsur-unsur yang meragukan serta boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya, apatah lagi seolah-olah ada tangan yang sedang menentukan hala tujunya.

24. Semoga keadilan tetap bersama Allahyarham Adib dan keluarganya.

"Islam Memimpin"

Haji Ahmad Amzad Bin Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo