NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Istiwa Adzam tentu arah kiblat


Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

UMAT Islam berpeluang menyemak dan menentukan arah kiblat berikutan fenomena Istiwa Adzam yang akan berlaku pada jam 5.16 petang, 28 Mei ini.

Fenomena berkenaan berlaku dua kali setahun dan bagi 2019, kejadiannya pada 28 Mei ini serta 16 Julai depan.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, terdapat pelbagai kaedah digunakan untuk menentukan arah kiblat, namun masyarakat boleh menentukannya sendiri berdasarkan fenomena Istiwa Adzam iaitu matahari berada di atas Kaabah.

Beliau berkata, semakan arah kiblat boleh dilakukan di mana-mana tempat berdasarkan kepada rujukan bayang matahari pada tarikh dan masa berkenaan.

“Penentuan arah kiblat yang tepat sebelum memulakan ibadah dalam rukun Islam kedua itu amat penting kerana dibimbangi solat yang dilakukan tidak diterima Allah SWT.

“Kaedah berkenaan paling tepat selain menggunakan kiraan falak dalam menentukannya dan orang ramai perlu mengambil kesempatan itu untuk memperbetulkan arah kiblat masing-masing.

“Arah kiblat arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu iaitu dari hujung bayang dan menghadap ke arah objek.

“Setiap individu boleh melakukan kaedah Istiwa Adzam namun masanya perlu tepat iaitu pada jam 5.16 petang (12.16 tengah hari waktu di Masjidilharam),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahman berkata, orang ramai boleh menggunakan apa saja objek seperti batang kayu untuk menentukan arah kiblat melalui bayang-bayang.

“Istiwa Adzam membuktikan Islam agama yang mudah dan menerusi fenomena alam boleh membantu dalam menentukan arah kiblat.

“Jabatan Mufti di setiap negeri kebiasaannya akan menggunakan waktu ini untuk menentukan arah kiblat dengan lebih tepat, malah menasihati kakitangan masjid atau jemaah surau untuk melakukan perkara sama pada hari terbabit,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/05/457788/istiwa-adzam-tentu-arah-kiblat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo