NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hospital Pengajar UniSZA Buka Peluang Pekerjaan Buat Anak Terengganu - Dr Mamad Puteh


KUALA NERUS, 20 Mei - Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2020 nanti akan membuka peluang pekerjaan buat anak Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, anak tempatan akan diberikan keutamaan untuk mengisi kekosongan apabila kerja-kerja pembinaan hospital setinggi enam tingkat di tapak seluas 12 hektar itu siap.

Katanya, para pekerja terutamanya doktor-doktor dan pegawai perubatan akan dinilai berdasarkan kepakaran mereka sebelum ditawarkan untuk berkhidmat di situ.

“Mereka (yang akan berkhidmat di hospital) ini akan mengajar pelajar-pelajar daripada pelbagai jurusan, yang memerlukan kepakaran yang tinggi dan pelbagai.

“Jadi sekiranya tiada tenaga pakar dari Terengganu, memang kita terpaksa ambil dari luar negeri ataupun negara untuk jaga mutu pendidikan itu, tetapi kita akan beri keutamaan kepada pakar (rakyat) yang berada di Terengganu dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Hospital Pengajar UniSZA, Gong Badak, di sini hari ini.

Beliau turut berkata, hospital yang telah siap 43.6 peratus itu bakal dijadikan model terbaik bagi hospital pintar berasaskan teknologi dalam negara apabila ia siap sepenuhnya nanti.

Jelasnya, kebanyakan hospital sebelum ini dibina dengan kurang menekankan aspek insfrastruktur yang mesra kepada pesakit termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelawat.

“Kita lihat hospital ini agak canggih, ianya mesra kepada syariah, pelanggan dan kita cuba untuk bina hospital ini supaya ia bersifat Islamik dari segi susun atur bilik yang patuh syariah (menjaga privasi pesakit).

“Hospital ini juga mesra kepada OKU, kalau lihat lihat kepada sesetengah hospital yang ada, ciri ini kurang dipraktikkan, jadi hospital ini ada disediakan kemudahan-kemudahan kepada golongan ini,” tambah beliau lagi.

Untuk rekod, fasa pertama projek berkenaan yang menempatkan 200 katil menelan belanja kira-kira RM345 juta manakala fasa kedua juga akan menempatkan 200 katil dan dilengkapi dengan kemudahan terkini.

Sumber: https://www.teganukita.net/2019/05/hospital-pengajar-unisza-buka-peluang.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo