NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hak Melayu Islam Menurut Teori Ibnu Khaldun.



oleh:Abdul Mu'izz Muhammad
1 Mei 2019.

Sering kali kita difahamkan seakan-akan agama & bangsa, tiada kaitan antara satu sama lain. Sangkaan ini selalunya dipasarkan, terutama dalam wacana-wacana politik liberal yang cuba membawa prasangka negatif terhadap isu hak agama & bangsa.

Hakikatnya, Islam memandang serius akan keterkaitan antara agama & bangsa. Bahkan 2 elemen tersebut merupakan kunci utama kepada kestabilan sesebuah negara.

⚫ Hadith Nabi.

Untuk menjelaskan perkara itu, Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimahnya mengemukakan hadith:

Ų§Ł„Ų£Ų¦Ł…Ų© Ł…Ł† Ł‚Ų±ŁŠŲ“

"Pemimpin-pemimpin (mestilah) dalam kalangan Quraisy" - Hr Ahmad.

Hadith di atas menjadi kaedah asas bagi para sahabat untuk melantik khalifah dalam kalangan mereka setelah kewafatan Nabi. Bahkan terlantiknya Abu Bakar secara kesepakatan total, antaranya bertitik tolak dari hadith ini.

⚫ Maqasid Disyaratkan Quraisy.

Ibnu Khaldun menjelaskan, majoriti para ulama' berpendapat bahawa Quraisy menjadi syarat sah dalam memilih kepimpinan. Kontra dengan Khawarij yang tidak meletakkan Quraisy sebagai syarat.

Kebanyakkan orang memahami bahawa bangsa Quraisy mesti diutamakan dalam memilih pemimpin adalah kerana mereka dari keturunan Nabi yang mulia. Salah faham ini dijelaskan oleh Ibnu Khaldun:

"Apabila kita membahaskan berkenaan syarat Quraisy dalam memilih kepimpinan & apakah tujuan Allah mensyariatkan sedemikian, ia tidaklah semata-mata kerana mahu mengambil berkat dari keturunan Nabi seperti yang difahami ramai"

Seterusnya Ibnu Khaldun menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan Quraisy itu merujuk kepada kelebihan asabiyah yang dimiliki oleh sesebuah bangsa dalam negara. Asabiyah di sini bukan dengan konotasi yang negatif.

Sebaliknya asabiyah yang dimaksudkan dalam topik ini lebih menjurus kepada kelebihan bangsa asal, majoriti, kuat & ramai. Lantas Nabi menyediakan kaedah sekiranya mahu memastikan negara stabil, maka hak & kelebihan bangsa dominan usah diremehkan.

⚫ Kriteria Bangsa Dominan.

Dalam konteks zaman Nabi, Quraisy wajar diberikan kelebihan politik kerana mereka memiliki keistimewaan dalam sistem sosial ketika itu. Ibnu Khaldun menjelaskan ciri-ciri bangsa dominan:

• Mampu memelihara & berpengaruh membuat sesebuah desakan. Bahkan berupaya mengumpulkan suara orang ramai bagi menangani sesebuah polemik.

• Memiliki upaya bagi menangani krisis & mempunyai suara penyatuan yang berpengaruh.

• Mampu memelihara kepentingan agama Islam & penganutnya.

• Mempunyai kelebihan dalam sistem sosial yang diiktiraf oleh semua.

• Merupakan bangsa majoriti. Merekalah yang memegang kunci kestabilan dalam sesebuah negara.

⚫ Quraisy Di Tanah Melayu.

Jika diperhalusi perbahasan yang telah dikemukakan oleh Ibnu Khaldun, kita boleh qiyaskan bahawa 'Quraisy' di Malaysia adalah bangsa Melayu. Realiti yang perlu diterima, bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa asal di tanah Melayu yang dipayungi oleh raja-raja Melayu.

Seburuk mana pun orang Melayu Islam, realitinya merekalah yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Islam & umatnya di Malaysia. Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, hak istimewa mereka diiktiraf sesuai dengan penarafan Malaysia sebagai tanah air Melayu.

Dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu bumiputera merupakan kaum yang dominan. Bahkan secara politik pun kita perlu menyedari, bahawa Melayu bumiputera merupakan pemegang undi teras Malaysia. Ditambah lagi dengan agama Islam yang mengidentitikan Melayu, melengkapkan karakteristik corak sosiologi di Malaysia. Itu realiti yang perlu diperakui oleh semua.

⚫ Bukan Fanatik Perkauman.

Apabila Nabi menegaskan hak istimewa bangsa Quraisy, bukanlah bermakna baginda fanatik apatah lagi rasis. Sebaliknya, Nabi mengajar kita bagaimana mahu memelihara kestabilan negara. Dalam sesebuah negara mesti ada kaum yang dominan & mereka mestilah menjadi peneraju dalam politik negara.

Antara salah faham yang popular, kononnya Islam tidak mengambil kira soal bangsa dalam politik bernegara. Ternyata kefahaman tersebut agak meleset jika dibandingkan dengan hadith 'Quraisy' yang telah dijelaskan di dalam tulisan ini. Bahkan hadith itu dipraktiskan secara politik oleh para sahabat.

Sememangnya penerimaan iman & Islam di sisi Allah tidak mengira warna kulit & bangsa. Tetapi dalam persoalan kestabilan politik negara, kedudukan bangsa dominan merupakan faktor penting yang tidak boleh dipandang remeh.

⚫ Situasi Yang Meresahkan.

Mutakhir hari ini, perkara-perkara sensitif yang terkait dengan Islam & Melayu, kelihatan tidak diuruskan dengan cermat. Contohnya sudah mula kedengaran orang mempertikaikan agama rasmi negara, status agama di kad pengenalan & hak istimewa bumiputera. Ditambah lagi dengan kempen-kempen liberal yang gemar mengusik orang Melayu dengan isu-isu sensitif berkaitan agama Islam.

Yang lebih membimbangkan, keberanian segelintir puak sudah mula lantang menghina raja yang menjadi simbol kedaulatan negara. Jika pihak pemerintah cuai menangani polemik-polemik ini, ia akan mengakibatkan kekacauan & perbalahan sesama rakyat Malaysia.

Justeru padanlah orang Melayu Islam hari ini mula merasa resah terhadap segelintir politikus & puak yang gemar melancarkan provokasi agama & kaum terhadap mereka. Tuan rumah mana yang tidak resah, jika hak istimewanya sebagai tuan rumah mula diusik.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo