NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gesa Hapus Matrikulasi, Gerakan Lebih Daripada DAP


KUALA LUMPUR – Gesaan parti Gerakan agar kerajaan memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
Ini kerana program matrikulasi dengan kuota kemasukan 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera diperkenal dan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) bersama-sama Gerakan selaku komponennya yang mendokong kuat dan tidak pernah menentang.

Jika benar program matrikulasi merupakan amalan diskriminasi kepada pelajar bukan Bumiputera seperti yang didakwa oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, mengapa tidak sekali pun beliau atau pemimpin parti lain mempertikaikannya sewaktu mereka masih bersama BN?

Tidak lain tidak bukan kerana mereka tahu bahawa program matrikulasi adalah dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perizaban tempat pengajian ke universiti awam malah ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Dominic membangkitkan perkara ini dan menekan DAP menyuarakannya adalah satu perlakuan yang tidak sihat, tambahan pula Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 telah memutuskan untuk mengekalkan kuota ini.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap itu, masalah asal yang dibangkitkan membabitkan beberapa pelajar bukan Bumiputera cemerlang yang tidak mendapat tempat pengajian telah selesai apabila Kabinet setuju menambah bilangan kemasukan pelajar matrikulasi kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

Gesaan Dominic adalah cubaan politik murah untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Bumiputera kepadanya setelah beliau kalah di semua kerusi ditandingi dalam PRU-14 dengan memperlihatkan Gerakan sebagai lebih DAP daripada DAP sendiri.

Cubaan begini, yang dibuat pada ulang tahun Peristiwa 13 Mei, sangat bahaya kerana ia boleh membangkitkan suara ekstremis, sekali gus mengingatkan rakyat kepada perarakan kemenangan Gerakan dan DAP dalam PRU-3 yang memulakan Peristiwa 13 Mei.

“Saya suka menasihatkan Dominic dan Gerakan supaya berpolitik secara sihat dan matang serta tidak cuba mengapi-apikan semangat perkauman pengundi bukan Bumiputera.

“Jika Dominic dan Gerakan mahu mendesak kerajaan supaya membuat reformasi dalam bidang pendidikan, buatlah desakan yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti menjadikan universiti awam mestilah percuma untuk semua.

“Memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan kelulusan STPM sesatunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam bukanlah janji yang terkandung dalam Manifesto PH dan program matrikulasi masih relevan kerana agihan kaum di universiti belum tercapai,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo