NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr M cadang mata wang baru berasaskan emas



TOKYO: Malaysia mencadangkan mata wang baru berasaskan emas memandangkan ia lebih stabil berbanding dagangan dalam mata wang semasa yang bersifat manipulatif, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata logam berharga itu boleh digunakan untuk menilai aktiviti import dan eksport dalam kalangan negara di Asia Timur.

"Kita boleh membuat penyelesaian menggunakan mata wang (baru) ini (emas). Mata wang itu perlu berkait dengan mata wang tempatan sebagai rujukan kepada kadar tukaran, sesuatu yang boleh dikaitkan dengan prestasi sesebuah negara.

"Berdasarkan kaedah ini, kita akan tahu jumlah hutang, jumlah yang perlu dibayar dalam mata wang khas Asia Timur," katanya pada sesi dialog Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) hari ini.

Dr Mahathir tiba di Tokyo semalam untuk lawatan kerja 3 hari.

Perdana menteri berkata mata wang baru itu juga boleh dipanjangkan kepada negara lain di luar kawasan Asia Timur.

"Di timur jauh, jika anda mahu bersatu, kita patut mulakan dengan mata wang seragam untuk perdagangan, bukan untuk penggunaan dalam negara, sebaliknya untuk tujuan penyelesaian dagangan".

Beliau berkata pada masa ini pasaran global terikat kepada dolar AS, yang membuka ruang untuk dimanipulasi.

"Hanya kerana sebuah negara terjejas, ia menular ke negara lain. Kedudukan Malaysia sangat stabil pada 1997… namun disebabkan masalah berlaku di Thailand (semasa krisis kewangan Asia), mereka berkata Malaysia juga perlu menambat mata wangnya.

"Apa berlaku? Pedagang mata wang menjual mata wang Malaysia, menyebabkan mata wang Malaysia susut nilai.

"Mereka tiada pun wang, mereka tidak ada pun mata wang Malaysia, namun mereka dapat menjual kuantiti besar mata wang Malaysia, dan apabila harga jatuh, sudah pasti mereka membeli dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi apabila nilainya meningkat," katanya.

"Apabila susut nilai, sudah pasti anda boleh membeli dan menjual pada harga yang lebih tinggi apabila harga meningkat. Dagangan mata wang ini bukanlah sesuatu yang sihat kerana ia bukan menunjukkan prestasi (ekonomi) sesebuah negara, sebaliknya ia merupakan manipulasi.

"Apa sahaja yang ada berlebihan, akan hilang nilainya. Jika bekalan kurang, nilai akan meningkat dan mereka jual dalam kuantiti wang yang besar yang mereka tidak ada pun, dan disebabkan jumlahnya sangat besar, berlakulah penyusutan nilai," katanya.

Perdana menteri menjelaskan jika (penarafan) negara diturunkan atau dinaikkan, ia sewajarnya dilakukan oleh forum antarabangsa yang tidak komited dan bukan oleh mana-mana negara.

Bidas AS label negara

Atas kedudukan ini, beliau membidas Amerika Syarikat (AS) kerana melabelkan negara-negara.

"AS suka melabelkan negara itu tidak bagus, negara ini tidak baik dan memberitahu negara-negara mengenai cara untuk menjalankan perniagaan mereka.

"Anda tidak demokratik. Bukan mana-mana negara tunggal mempunyai kuasa untuk membuat keputusan. Jika anda mahu tinggal di negara yang bersatu, dunia yang stabil, kita mesti memilih kemampanan menerusi perjanjian antara semua negara yang mempunyai kepentingan dalam sebarang masalah".

Ditanya sama ada yen Jepun atau yuan China boleh digunakan sebagai mata wang seragam di Asia, Mahathir menjawab: "Jika kita cuba mempromosi mata wang kita sendiri, akan berlaku konflik".

"Namun jika ada mata wang seragam untuk Asia Timur, mata wang dagangan yang sama yang digunakan di setiap negara untuk penyelesaian dagangan, akan wujud kestabilan.

"Namun untuk mempromosikan yen atau yuan, bukanlah caranya," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo