Detik sedih 30 peniaga Bazar Masjid India


KUALA LUMPUR: “Jualan semalam paling memberangsangkan dan sudah lama tidak dapat hasil seperti itu, namun tidak sangka semuanya musnah sekelip mata,” kata Linda Razali, 35, salah seorang peniaga di Bazar Masjid India, di sini yang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Terletak berhadapan Wisma Yakin, Bazar Masjid India sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, khususnya warga bandaraya setiap kali tibanya Ramadan, khususnya bagi membeli pelbagai barangan keperluan menjelang Syawal.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi tadi, kira-kira 30 gerai jualan di bazar berkenaan yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar.

Linda yang berniaga tudung, berkata ketika kejadian berlaku, beliau berada di rumahnya di Cheras Indah dan hanya mengetahui mengenai insiden berkenaan melalui rakannya yang berada di kawasan bazar itu.

“Kawan saya telefon beritahu kedai saya terbakar. Terus saya rasa nak pitam dan lemah semangat. Saya menangis memikirkan nasib, terutama untuk sambut raya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ibu kepada dua cahayamata ini berkata, beliau baru sahaja menambah bekalan jualan sempena Ramadan dan sudah pasti kejadian itu menjejaskan punca rezekinya.

Namun, beliau reda dengan keadaan menimpa dan berharap pihak tertentu dapat membantu nasib peniaga yang terjejas dalam kebakaran itu.


Keadaan di sekitar kawasan Bazar Masjid India yang terbakar pada awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

Peniaga Rashid Ali, 49, meninjau gerainya di Bazar Masjid India yang hangus terbakar pada awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di gerai Jalan Masjid India. - Ihsan Bomba KL
Seorang lagi peniaga, Ahmad Daud Rafieei, 52, berkata beliau terpaksa menanggung kerugian apabila kasut dan pakaian yang dijual di gerainya hangus dijilat api.

“Saya tidak sangka hasil titik peluh bersama isteri terbakar. Anggaran kerugian mencecah RM100,000 kerugian terpaksa saya tanggung. Itu stok jualan serta stok untuk bulan puasa ini yang dikongsi bersama isteri.

“Punca pendapatan saya terjejas. Rugi itu sudah tentu dan kami runsing di mana tempat sementara untuk kami berniaga. Strategik atau tidak, itu saya tidak tahu tetapi lebih baik ada tempat sementara daripada tidak boleh berniaga langsung,” katanya.

Seorang saksi kejadian, Syed Yusof Abdul, 60, berkata kejadian itu yang ketiga sepanjang 16 tahun bazar itu beroperaso, dengan kejadian terakhir berlaku pada April tahun lalu, namun hanya membabitkan kebakaran kecil.

“Jiran niaga saya adalah orang pertama yang beritahu ada kedai terbakar. Ketika kejadian, saya baru mahu bersahur. Ada antara kami cuba memadamkan api, namun alat pemadam kebakaran tidak dapat berfungsi.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku sebab ia pernah berlaku pada saya dulu. Bila ditimpa musibah sebegini, memang sukar untuk kita mulakan semula. Harapan saya agar ada jalan penyelesaian dapat dilakukan bagaimana mahu bantu peniaga terbabit,” katanya. - BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget